Pada 28 Februari 2009 lalu telah berlangsung Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1430H (MSM 1430H) buat kali kedua di Stadium Malawati, Shah Alam. Konsert anjuran Rabbani Productions (M) Sdn Bhd ditaja oleh Telekom Malaysia dan kerjasama penyiar TV3, diadakan untuk mendidik masyarakat supaya mengingati kelahiran, perjuangan dan jasa Nabi Muhammad s.a.w.
Bukan sekadar berzanji, bukan sekadar marhaban dan juga bukan sekadar bernasyid serta berceramah, namun apa yang penting memperkasakan ingatan dan kasih sayang umat Islam terhadap Rasullullah SAW.
Dipersembahkan tanpa henti membabitkan lima elemen utama persembahan iaitu nyanyian, qasidah, tazkirah, pentorama dan persembahan multimedia. Selain stesen TV3 menjadi penyiar rasmi konsert ini buat kali kedua, penyerahan tabung TV3 Bersamamu juga diadakan pada malam itu
Apa yang menarik, konsert ini ada empat segmen iaitu peristiwa imbas kembali sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, penghijrahan sehinggalah kewafatan Baginda. Selain Rabbani juga turut mengundang artis seperti Amy Search untuk lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur. Manakala, Dato’ Siti Nurhaliza berduet bersama Rabbani untuk lagu Ketika Cinta (sebuah lagu tema untuk filem Perempuan Berkalung Sorban) dan lagu Junjungan Mulia secara ramai-ramai di samping mendendang secara solo untuk lagu Kudus Sinarmu.
Ini adalah persembahan sulung Siti menyanyikan lagu Ketika Cinta di hadapan khalayak ramai.
Biarpun masih bersedih dengan pemergian bapa yang dikasihi, Tarudin Ismail, tanggal 15 Februari lalu, namun Dato’ Siti Nurhaliza menyampaikan lagu dengan penuh tenaga.
Rakaman konsert ini akan disiarkan di TV3 pada hari ini (9 Mac 2009) pada jam 3.30 petang.
Tampil bertudung litup, seperti adanya Dato Siti Nurhaliza kelihatan sangat manis.
Gambar dikreditkan kepada: [Minaq Jinggo]
Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1430H (MSM 1430H) kepada semua pembaca budiman.