Januari lalu, Datuk Aznil Nawawi membuka lembaran hidupnya dengan bertandang ke Los Angeles atas jemputan NBC Universal untuk acara International Press Junket. Acara itu bertujuan memperkenalkan program musim baharu seperti Live From Red carpet, The Kardashians dan Fashion Police. Malah ketika ke sana beliau juga berkesempatan menghadiri acara Anugerah Golden Globe.
Baru-baru ini, beliau diundang pula oleh pihak HBO Asia menjayakan acara permaidani Anugerah Academy Awards kali ke- 87. Acara berprestij itu diadakan di Hollywood pada 22 Februari yang lalu.
Pemergiannya Januari lalu keseorangan. Bagaimanapun kali ini beliau turut disertai tiga kakitangan penerbitan lain untuk rancangan HBO Sentral di saluran HBO. Bersama BH Online, Aznil berkongsi pengalamannya di sana membuat liputan di lintasan permaidani merah.
“Apa yang saya perhatikan bagaimana mereka memberi perhatian utama kepada soal keselamatan. Kami diminta untuk membuat pas keselamatan yang dikawal dengan penuh ciri keselamatan.
“Pada hari anugerah, sebelum masuk kawasan permaidani merah di Dolby Theatre, kami disaring badan dan barang yang dibawa. Tiada seorang pun yang terlepas daripada saringan dan dapat dilihat bagaimana penuh teliti kawalan keselamatan dijalankan ketika membabitkan acara berprestij itu.”
Tambah Aznil lagi, tempat yang diperuntukkan untuk mereka membuat liputan adalah sangat kecil iaitu di pinggiran permaidani merah bersama beratus ratus wartawan dan petugas produksi dari seluruh dunia.
“Berhimpit jugalah kalau nak diceritakan. Tempat kami juga tiada akses ke permaidani merah kerana dipisahkan dengan penghalang. Jadi cara kami menarik perhatian bintang besar Hollywood itu adalah dengan cara berteriak. Teriakan itu harus kuat kerana suasana di situ sangat kecoh termasuk dengan sorakan peminat.
Kami berada di permaidani merah seawal jam 11 pagi sedangkan acara itu hanya bermula pukul 4 petang. Kami terpaksa berdiri selama lima jam sebelum acara bermula kerana tiada kerusi yang disediakan.”
Menurut Aznil lagi, beliau turut memerhati gelagat artis yang kebanyakannya lebih gemar menggayakan busana mereka untuk dirakamkan jurugambar berbanding untuk ditemubual.
“Ada juga antara bintang yang cuma berjalan laju sambil melambai tangan dan memberikan tiupan ciuman sahaja kepada kami dan peminat mereka. Antara yang berbuat demikian adalah Adam Lavine, John Legend, Lady Gaga, Oprah Winfrey, Meryl Streep, Jeniffer Lopez, Jennifer Hudson, Jennifer Aniston, John Travolta, Scarlet Johansson dan Emma Stone.
“Namun ada juga yang begitu prihatin dengan tugas kami dan singgah daripada satu kamera ke satu kamera untuk ditemubual. Antaranya adalah Robert Duvall, Michael Keaton, JK Simmons dan Ryan Potter.
“Apa yang saya boleh rumuskan juga, kebanyakan bintang senarai A lebih gemar tiba di karpet merah pada saat saat akhir supaya mereka tidak perlu berhenti untuk bergambar atau ditemubual akibat kesuntukan masa kerana acara Anugerah Oscars akan bermula.”
Di akhir bicara, Aznil memanjat kesyukuran atas pengalaman berharga itu selain dapat menyempurnakan mandat yang diamanahkan dengan baik berbekalkan pengalaman ketika menjadi wartawan tv 25 tahun yang lalu.
Rakaman Aznil di acara itu bakal ditayangkan di rancangan HBO Sentral pada 5 Mac Astro Ria jam 10 malam, 6 Mac Astro Maya HD jam 10.30 malam dan 8 Mac HBO jam 1:25 tengah hari.
Sumber: Berita Harian
Sumber Gambar: Instagram Aznil Nawawi