in

Gambar Artis Untuk Persembahan Anugerah Bintang Popular Berita Harian

PERASAAN teruja menular dalam diri lima selebriti wanita berbeza latar menjelang acara kemuncak, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang akan melabuhkan tirainya di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April ini.

Masing-masing tidak sabar untuk melaram sakan pada malam yang yang mengangkat Sentuhan Tenunan’ sebagai tema. Lebih daripada itu, mereka hadir dengan pelbagai tanggungjawab yang tergalas di bahu.

Pada malam penuh gemilang itu, Zizie Ezette, Ayu One In A Million (OIAM), Diana Danielle, Sharifah Shahira dan Farah Asyikin tidak ketinggalan bakal menggayakan pakaian pereka popular tanah air sambil diserikan dengan koleksi mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre.   

Anugerah berprestij yang memasuki tahun ke-22 penganjurannya ini menggandingkan dua nama besar dalam industri iaitu Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira sebagai pengacara. Tanggungjawab ini bukan yang pertama buat Shahira kerana sebelum ini dia pernah memikul tugas itu bersama Raja Azura tiga tahun lalu.

“Nampaknya lutut saya akan kembali menggigil kerana mengacarakan acara sebesar ABPBH bermakna semua mata akan bertumpu kepada kita pada malam itu. Begitupun, tentunya pemilihan saya sebagai pengacara kali ini satu penghormatan yang amat tinggi.

“Saya belum pernah bergandingan dengan Adlin sebelum ini. Namun dengan latihan yang bakal diadakan, saya pasti keserasian bakal terjelma nanti. Sehingga kini, saya sendiri belum merancang apa-apa gimik. Kita tengoklah dulu bagaimana bentuk skripnya. Selepas itu, saya dan Adlin pasti akan menambah apa yang patut di dalamnya,” katanya.

Kata Shahira, paling penting, dia berusaha mengendalikan acara itu sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran rancangan sepanjang lebih dua jam dilangsungkan.

“Sekiranya berlaku sebarang kesilapan, pandai-pandailah kami menjadikannya lawak spontan. Pada ketika itu, adalah cukup penting untuk pengacara bersikap selamba, tetapi tetap memastikan penonton memahami apa saja yang cuba disampaikan,” kata wanita yang sedang hamil tiga bulan ini.

Bagi finalis kategori Pelakon TV Wanita Popular, Diana Danielle dia berharap supaya diberi pelepasan untuk sama-sama memeriahkan majlis kemuncak ABPBH 2008 nanti. Mulai 19 Mac ini, pelakon drama bersiri Air Mata Maria itu akan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama tiga bulan di Kem PLKN, Princess Haliza, Sepang.

“Semestinya Diana mahu meraikan kejayaan malam anugerah ini sebagai tanda sokongan kepada akhbar Berita Harian dan peminat yang setia menyokong di belakang.

“Soal menang atau tidak itu perkara kedua kerana yang paling penting, saya dapat bersama-sama dengan penggiat seni tempatan lain,” katanya yang pertama kali mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 di Terengganu baru-baru ini.

Beralih kepada pelakon berkulit gebu, Zizie Ezette, anugerah ini bukan lagi asing dalam trek pencapaian seninya kerana pernah dicalonkan beberapa tahun dulu. Ketika itu, Zizie dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.

Katanya yang baru saja selesai penggambaran sebuah drama untuk siaran Astro Oasis, kewujudan ABPBH dilihat sebagai penanda aras mengekalkan legasi dunia seni tempatan.

“Terima kasih kepada Berita Harian kerana sudi memanggil saya sebagai penyampai anugerah. Saya tidak boleh menidakkan kredibiliti ABPBH sebagai pemangkin menentukan tahap populariti seseorang artis.

“Prestij ABPBH dapat disaksikan dengan kehadiran penggiat seni bagi meraikan malam penuh bermakna ini. Paling menarik malam itu, kita juga dapat melihat pelbagai ragam artis bergaya sakan dengan rekaan pilihan masing-masing,” katanya yang bakal melaram dengan busana rekaan Sya Syaharani.

Dua penyanyi yang lahir daripada program realiti Ayu dan Farah Asyikin pula buat pertamanya bakal beraksi di pentas berprestij ABPBH 2008. Kedua-duanya amat berbesar hati diberikan peluang yang tidak diperoleh semua penyanyi. Namun pada waktu yang sama, jauh di sudut hati mereka menyimpan debaran yang sama rancaknya dengan finalis. Apatah lagi bagi Ayu yang turut bersaing dalam kategori Artis Baru Wanita Popular.

Ayu yang bakal mendendangkan sebuah lagu milik penyanyi cukup terkenal suatu ketika dulu kini giat berlatih sendirian di rumah walaupun susunan baru lagu berkenaan masih belum diterima.

Kata Ayu, tiada gimik yang akan dilakukan kerana fokusnya hanya kepada lirik dan melodi lagu yang bakal dipersembahkan.

“Pengalaman beraksi di pentas yang besar bukanlah sesuatu yang baru buat Ayu. Sebelum ini Ayu pernah menempuh pertandingan besar seperti OIAM dan Anugerah Juara Lagu (AJL) Januari lalu, jadi sedikit sebanyak perasaan gementar sudah dapat dikawal.

“Bagaimanapun, Ayu hanya dapat katakan yang Ayu berasa amat dihargai kerana diberi peluang menyanyi di atas pentas besar seperti ABPBH. Ayu berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kerana peluang seperti ini dapat membantu memperkenalkan lagi nama Ayu di kalangan peminat dan penggiat industri seni,” katanya.

Farah Asyikin juga begitu menghargai peluang diberikan Berita Harian kerana menyedari ABPBH bakal disaksikan berjuta penonton.

Sama seperti Ayu, Farah tidak menjanjikan sebarang kejutan sebaliknya dia hanya menjanjikan sebuah persembahan terbaik pada malam itu nanti.

“Saya akan cuba menampilkan sebuah persembahan yang baik. Ada kalanya peminat lebih mengenali sesebuah lagu berbanding penyanyinya. Jadi inilah masa yang terbaik untuk saya menonjolkan diri.

“Saya tahu pasti ada yang akan mempertikaikan pemilihan saya ke acara sebesar ini, tetapi semua itu saya tolak ke tepi. Saya berasa bertuah kerana penyanyi yang sudah lama berada dalam industri pun belum tentu mendapat peluang seperti ini,” katanya yang baru saja muncul dengan single terbaru berjudul E.R.T (Ekonomi Rumah Tangga).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Jom Menonton Filem The International

Penyakit Gout