Akhirnya, Ajai dan Liza telah selamat diijabkabulkan hari ini setelah hampir dua tahun pertahankan cinta mereka. Tahniah~!
Komposer dan penyanyi, Ajai atau nama sebenarnya Faizal Maas, hari ini selamat diijabkabulkan bersama pilihan hatinya Norliza Ilyas, yang merupakan bekas pegawai kanan Maestro Talent Management.
Pasangan ini telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Rujuk-Nikah Pejabat Agama Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Ustaz Hj Mansur dengan hanya sekali lafaz dari Ajai, kira-kira pukul 11 pagi tadi di Masjid Negeri Pulau Pinang. Norliza diwalikan oleh bapanya, Ilyas Muhammad.
Mas kahwin bagi perkahwinan mereka adalah sebanyak RM 1001 manakala jumlah wang hantaran pula adalah RM 15 ribu. Menurut Norliza yang ditemubual mStar Online selepas majlis akad nikah tersebut menyatakan kesyukurannya kerana majlis tersebut berlangsung dengan selamat seperti yang dirancang.
“Alhamdulillah, majlis hari ini berjalan seperti yang dirancang dan berjalan dengan selamat. Malah semua ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara tidak kira yang dekat dan jauh hadir ke majlis hari ini untuk meraikan saya dan Ajai,” kata Norliza.
Ditanya mengenai perancangan berbulan madu, Norliza berkata, dia dan Ajai masih belum membuat perancangan itu kerana lebih ‘excited’ untuk menyambut bulan Ramadan bersama.
“Buat masa ini, belum ada perancangan untuk berbulan madu lagi kerana kami lebih ‘excited’ untuk sambut puasa bersama-sama. Lagipun kami masing-masing ada komitmen dengan kerja, jadi mungkin untuk bulan madu kami akan tangguh dulu hingga hujung tahun ini,” jelas Norliza yang agak sibuk melayan tetamu yang hadir ketika itu.
Norliza turut menyatakan harapannya terhadap perkahwinan bersama Ajai setelah hampir dua tahun menjalin hubungan cinta dan pernah dilanda kisah panas yang menguji keutuhan cinta mereka.
“Sama seperti semua pasangan yang baru berkahwin, saya berharap perkahwinan kami akan berkekalan hingga ke akhir hayat dan dapat membina sebuah keluarga yang bahagia. Saya juga tidak sabar untuk mulakan sebuah keluarga dengan Ajai,” katanya.
Ditanya mengenai bilangan cahaya mata yang diinginkannya, Norliza berkata: “Berkenaan anak, kami terima je apa yang Tuhan bagi. Kami pun belum ada perancangan lagi. Tapi mungkin saya nak anak dalam tiga atau empat orang anak,” katanya sambil ketawa.
Anggun dan berseri, kedua-dua pasangan pengantin ini menggayakan busana pengantin yang direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Rizalman. Pihak lelaki menghantar tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada mas kahwin, sebentuk cincin, sepasang kasut LV, sebuah beg tangan Louis Vuitton, satu set solekan Chanel, kek dan juga tepak sireh.
Manakala pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada senaskhah al-Quran, sebentuk cincin, satu set tali pinggang dan dompet Cartier, satu set kemeja Emporio Armani, sepasang kasut Gucci, kek yang dihiasi dengan nota muzik yang tertera lirik lagu Ungkapan Terindah yang pernah dihasilkan Ajai untuk Ning Baizura, tepak sireh, satu set wangian Cartier dan sebuah telefon bimbit jenis Blackberry.
Pada majlis akad nikah itu, pasangan tersebut menggayakan busana pengantin yang direka oleh pereka fesyen terkenal, Rizalman.
Selamat Pengantin Baru buat Ajai & Liza, semoga kalian berdua terus bahagia ke akhir hayat.