Impian dua nama selebriti ini adalah untuk mengembangkan lagi bakat dan menaikkan mutu drama dan filem Melayu. Bukan sekadar mahu popular dan glamour, Ady Putra dan Rozita mahu membentuk identiti mereka sendiri.
Ady Putra atau nama sebenarnya Hadi Putera dah enam tahun sebagai pelakon di Malaysia, kredibilitinya tidak boleh dipertikaikan.
“Perjalanan dunia lakonan saya seperti diatur Tuhan dengan begitu cantik. Saya menerima pelbagai peluang dan kepercayaan untuk merealisasikan variasi watak sama ada berat, ringan, komedi dan sedih. Mungkin saya mengambil masa yang agak panjang untuk dikenali namun alhamdulillah kerana karier lakonan saya tidak terumbang-ambing.
“Sebagai pelakon saya sebenarnya sangat pemilih. Saya melihat dulu watak dan jalan cerita kerana sebagai pengkarya, saya perlu merealisasikan peranan yang diamanahkan tanpa membiarkannya tenggelam. Saya dibayar untuk berlakon, jadi saya harus menggalas tanggungjawab itu dengan sempurna. Saya tidak mencari ganjaran atau pengiktirafan, cukup jika penghargaan yang baik atas bakat yang dianugerahkan Allah,” katanya.
Diajak bercerita mengenai kelahiran ramai bakat baru yang semakin menyerlah di layar kaca, Ady berkata, setiap pelakon mempunyai kelebihan serta identiti tersendiri. Justeru, mereka harus menetapkan hati untuk memilih jalan mana yang mahu diikut – mencari kualiti atau mengejar kuantiti.
“Tidak mudah memberikan lakonan berkesan dan saya selalu percaya kepada lakonan serta perwatakan yang meninggalkan impak. Saya selalu berpegang kepada keikhlasan dan kejujuran dalam setiap kerja yang diberi. Jika dua sifat itu menguasai diri, Insya-Allah, ia akan menyerlah apabila kita beraksi di layar nanti,” kata Ady yang turut melahirkan album, Kelahiran yang menjengah pasaran Isnin lalu. – Berita Harian