Drama adaptasi novel “Gaduh-Gaduh Sayang” karya Immaz Huda yang menyaksikan gandingan Shukri Yahaya dan Nur Risteena sebagai teraju utama bakal menjadi tarikan utama slot Widuri mulai 1 Julai ini, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 7.00 malam di TV1.
Drama romantik komedi 26 episod arahan Feroz Kader ini turut dibintangi oleh Riz Amin, Zarynn Min, Shima Anuar, Moer Mohd, Kenji Sawahi, Fazlina Hj. Ahmad Daud, Abdul Manan Hj. Sulaiman dan Hashimah Muhamad Zaki.
Kisah drama kekeluargaan yang diselitkan unsur komedi dan pengajaran ini bermula dengan Lady Lee Syazana baru pulang ke Malaysia setelah tamat pembelajaran perubatan di Jakarta, dan kepulangannya tidak diketahui kedua ibu bapanya. Yang tahu hanya setiausaha bapanya, Mira. Syazana mahu berehat seketika sebelum memberitahu orang yang dia sebenarnya sudah pulang. Apabila Mira melihat Syazana, dia sedikit terkejut, kerana kali terakhir dia berjumpa dengan Syazana dulu, Syazana adalah seorang yang gemuk dan tidak menarik.
Nur Risteena, Shukri Yahaya Dalam Adaptasi Novel “Gaduh-Gaduh Sayang” di TV1
Rafiqi Rayyan pula didesak dengan masalah kewangan syarikat bapanya. Dato Sabri dan Datin Sofea merasa kalaulah Rafiqi boleh berkahwin dengan anak orang yang sama kaya, mungkin keluarga isteri Rafiqi boleh bantu melabur dalam syarikat dia. Akhirnya, Dato Sabri dan Datin Sofea memujuk Rafiqi untuk berkahwin dengan anak kenalan mereka, Dato Lee dan Datin Helena.
Sementara itu, pertemuan beberapa kali antara Rafiqi dan Syazana selalu dalam keadaan bermasalah dan sering menimbulkan perkelahian mereka berdua. Setiap kali berjumpa, ada saja yang tak kena sama ada dengan sengaja atau tak sengaja.
Syazana bengang apabila dia dapat tahu yang dia akan dikahwinkan oleh bapanya. Dia mula membuat satu rancangan agar idea untuk kahwin itu gagal. Dia pulang ke rumah memakai sut gemuk, membuatkan ibunya Datin Helena dan bapanya Dato Lee terkejut dan risau sekiranya keluarga Dato Sabri tidak bersetuju. Tetapi lebih memeranjatkan mereka adalah apabila Rafiqi yang dikatakan ‘kacak’ itu, tiba dengan perut boroi dan gigi yang jongang.
Rupanya Rafiqi juga mempunyai rancangan menukar identiti asal dengan alasan untuk mengenali sama ada bakal isterinya nanti benar-benar ikhlas atau berkahwin kerana rupa dan harta.
Bermulalah episod perkenalan Rafiqi ‘jongang’ dan Syazana ‘gemuk’. Pelbagai insiden mencuit hati berlaku sepanjang perkenalan dalam samaran mereka ini. Akhirnya, rahsia mereka terbongkar dan wajah sebenar masing-masing dapat dilihat. Rafiqi dan Syazana tidak menyangka mereka telah saling mengenali tapi dalam beberapa insiden perkelahian sebelum ini. Rancangan untuk cuba mensabotaj perkahwinan sendiri gagal. Mereka akhirnya dikahwinkan juga.
Perkahwinan Syazana dan Rafiqi bermula dengan rasa kurang senang apabila bekas teman lelaki Syazana (Aiman) dan bekas teman wanita Rafiqi (Qistina muncul semula). Lebih mengharukan adalah apabila Rafiqi dapat tahu yang Qistina juga merupakan teman baik Syazana sewaktu di sekolah dahulu.
Aiman cuba untuk untuk memujuk Syazana supaya memaafkan dia sebab memutuskan pertunangan dulu. Dan Qistina juga masih lagi menaruh harapan pada Rafiqi, dan dia tahu yang Rafiqi masih belum boleh melupakan dia memandangkan Qistina adalah cinta dia dari zaman persekolahan dulu. Terdahulu, ibu Rafiqi telah memisahkan Qistina dengan Rafiqi menyebabkan Qistina melarikan diri ke luar negara. Ini menjadi rahsia yang disimpan oleh Qistina untuk memberitahu Rafiqi apabila sampai masanya nanti dengan niat untuk merebut kembali Rafiqi daripada kawan baiknya Syazana. Situasi hubungan dengan bekas kekasih masing-masing menimbulkan rasa tidak senang dan pertelingkahan dalam rumahtangga yang baru dibina oleh Syazana dan Rafiqi.
Qistina berpakat dengan Danny, setiausaha Rafiqi, yang dalam diam juga menaruh minat pada Syazana. Bagi Danny, sekiranya dia berkahwin dengan Syazana, hidup dia akan lebih terjamin dan dengan mudah dia akan dapat mentadbir syarikatnya sendiri. Qistina dan Danny membuat rancangan bagaimana untuk memisahkan Syazana dan Rafiqi.
Pelbagai cara dan helah dilakukan Qistina dan Danny untuk membuatkan mereka berpisah hingga akhirnya usaha itu menjadi kenyataan bila Syazana dan Rafiqi benar-benar bercerai atas desakan orang di sekeliling.
Namun rahsia jodoh sememangnya milik Allah. Walaupun berlaku banyak perkara dan fitnah tetapi mereka tetap bersatu bila kebenaran terbongkar. Syazana tidak teragak-agak lagi lalu memberi amaran dan menampar Qistina kerana cuba merosakkan hubungannya dengan Rafiqi. Apakah yang kembali menyatukan Rafiqi dan Syazana sebagai suami isteri?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.