Setiap kali menjelang musim lebaran, pastinya orang ramai akan mula mendengar lagu-lagu raya dimainkan di corong radio, mahupun menerusi platform penstriman digital. ‘Mood’ yang disampaikan dalam sesebuah lagu raya semestinya menyuntik lebih semangat untuk pendengar dalam membuat pelbagai persediaan sempena kedatangan Syawal.
Dua pelawak terkenal Malaysia iaitu Atu Zero dan Danial Zaini kini tampil dengan lagu raya terbaru berjudul Jom Beraya. Lagu ini merupakan runut bunyi rasmi bagi filem Sumpahan Malam Raya, sebuah filem komedi seram arahan Dato’ Professor Dr. A. Razak Mohaideen.
Menurut Atu, dia rasa beruntung kerana dapat bekerjasama dengan Danial menerusi ‘Jom Beraya’ yang merupakan lagu raya pertama nyanyiannya untuk filem dan di bawah edaran Sony Music Entertainment Malaysia.
“Saya rasa beruntung dapat bekerjasama dengan Danial kerana dia seorang pelawak dan penyanyi yang bagus. Suaranya pun bagus, tambahan lagi dia pernah mengeluarkan lagu sebelum ini. Jadi, Danial sudah ada penjenamaan dalam nyanyian, hal itu memberi kelebihan untuk saya berduet bersamanya.
“Pengalaman merakamkan lagu ini ternyata menarik dan saya pun boleh menambah pengetahuan baharu. Saya dan Danial kedua-duanya pelawak, jadi apabila pelawak yang boleh menyanyi dan tampil dengan lagu raya, ia memberi pengalaman yang bagus untuk saya dalam bidang seni ini,” katanya.
Dalam pada itu, Atu juga akui bahawa maksud penceritaan di sebalik lirik lagu ‘Jom Beraya’ mempunyai kaitan dengan dirinya yang merupakan seorang perantau.
“Saya asal dari Sabah dan merantau di Semenanjung, apabila saya menyanyi dan dengar lagu ini, saya terus rasa ada kaitan kerana bait liriknya mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak ketika beraya di tempat asal saya,” katanya lagi.
Pertama kali menyanyi bersama Atu, Danial pula akui dia berasa teruja dan berharap agar lagu Jom Beraya disambut baik oleh orang ramai.
“Pengalaman berduet lagu ini bersama Atu sangat menyeronokkan kerana ini kali pertama kami menyanyi bersama, kalau melawak dan berlakon bersama sudah banyak kali sebelum ini. Apabila menyanyi bersama, tentunya ada kelainan tersendiri,” jelasnya.
Bercakap tentang proses rakaman, Danial akui semuanya berjalan lancar kerana proses rakaman lagu hanya mengambil masa kurang satu jam.
“Antara semua lagu yang pernah saya hasilkan, lagu inilah yang mengambil masa paling cepat untuk siap dirakam. Kami hanya ambil masa 30 minit sahaja untuk proses rakaman. Kami datang ke studio, lakukan ‘rehearsal’ dalam 2 jam, kemudian terus rakam.
“Pembikinan muzik video pula kami lakukan ketika penggambaran filem Sumpahan Malam Raya, ianya siap dilakukan dalam tempoh dua hari. Proses rakaman muzik video juga sangat menyeronokkan, saya harap dapat bekerjasama lagi dengan Oja selepas ini,” katanya.
Justeru, Danial berharap agar lagu ‘Jom Beraya’ dapat menyuntikkan semangat dan ‘mood’ beraya untuk orang ramai selepas beraya secara sederhana beberapa tahun lalu akibat dilanda pandemik COVID-19.
“Selepas pandemik COVID-19 selama dua tahun di mana kita beraya dalam keadaan sederhana, saya harap lagu ini dapat membangkitkan kembali semangat orang ramai meraikan lebaran dan semoga para pendengar menyukai lagu ‘Jom Beraya’ daripada saya dan Atu ini,” katanya.
Selain menyanyikan lagu ‘Jom Beraya’, Atu dan Danial Zaini juga turut membintangi filem Sumpahan Malam Raya bersama barisan selebriti popular seperti Nora Danish, Reen Rahim, Dato’ Yusry Abdul Halim, Saiful Apek, Yassin Yahya, Bell Ngasri, Ropie Cecupak dan ramai lagi.
Lagu ‘Jom Beraya’ dilancarkan secara rasmi pada 7 April 2023 dan boleh dimuat turun di iTunes serta dinikmati menerusi platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
Sementara itu, filem Sumpahan Malam Raya terbitan Veedu Production dan MGE Production akan menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 22 April 2023.
Kredit
Artis: Atu Zero & Danial Zaini
Tajuk: Jom Beraya
Produser: Veedu Production
Lagu: Merpati Biru
Susunan Muzik: Merpati Biru / Oja
Penulis Lirik: Waami
MENGENAI ATU ZERO
Atu Zero atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif dilahirkan pada 20 April 1992. Atu merupakan pelawak kumpulan Zero bersama anggota lain yang merupakan adik beradiknya, Syaiful dan Sharif.
Sebelum ini, Atu telah banyak muncul dalam filem-filem tempatan seperti Hantu Nan Sempit, Syif Malam Raya, Hantu Boceng 2.0 dan pelbagai lagi.
Atu juga aktif berlakon drama tempatan diikuti pelbagai program televisyen yang kebanyakannya berkonsepkan lawak, sesuai dengan bakat dan kebolehan dirinya. Antara perkembangan terkini, Atu merupakan terlibat sebagai mentor dalam program Awesome Raja Lawak di Awesome TV bersama Tauke dan Ajak.
MENGENAI DANIAL ZAINI
Pemilik nama lengkap Mohamad Danial Mohd Zaini ini merupakan pelawak, pelawak, pengacara, penulis lagu dan penyampai radio.
Dilahirkan pada 27 September 1993 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Danial berpindah ke Kuala Lumpur pada usia 19 tahun untuk menyambung pengajian dalam bidang penyiaran di sebuah universti swasta.
Danial mula membina nama dalam industri hiburan tempatan selepas memenangi pertandingan Astro Lawak Solo pada tahun 2016.
Sejak itu, Danial bergiat aktif dan muncul dalam beberapa filem tempatan seperti Syif Malam Raya, Hantu Tenggek dan Selamat Hari X Jadi, diikuti beberapa drama serta telefilem. Danial yang juga aktif sebagai pengacara pernah terlibat dalam program TV seperti StalkeRIA dan Suara Viral 2.0.