Fuyooh Cuti Sekolah Di TV1 : Isnin – Khamis, Jam 2.05 Petang
Sepanjang minggu cuti persekolahan ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton berhibur dengan empat filem animasi hebat yang bakal menceriakan petang hari anda.
Disiarkan empat hari berturut-turut, saksikan tayangan filem The Fox & The Hound (12 Mac 2012), The Fox & The Hound 2 (13 Mac 2012), Peter Pan 2 : Return To Neverland (14 Mac 2012) dan Wall-E (15 Mac 2012) yang kesemuanya disiarkan jam 2.05 petang menerusi TV1.
Berhibur dengan filem ke-24 dalam rangkaian filem animasi klasik Walt Disney, The Fox & The Hound yang mengisahkan tentang watak Todd, seekor anak rubah dan Cooper, anak anjing yang cuba mempertahankan persahabatan walaupun kedua-duanya memiliki naluri dan keinginan yang berbeza.
Keesokkan harinya ikuti sekuel filem The Fox & The Hound 2 yang mana kali ini Todd dan Cooper telah pun menjadi semakin dewasa. Kisah mereka semakin menarik apabila Cooper telah menyertai sebuah kumpulan anjing penyanyi. Situasi itu tanpa disangka telah menimbulkan rasa cemburu di hati Todd.
Peminat siri animasi Peter Pan pula usah ketinggalan untuk menyaksikan filem Peter Pan 2 : Return To Neverland. Meminjam suara pelakon Blayne Weaver dan Harriet Owen, filem ini membawa penonton berkongsi kisah Peter Pan dan adiknya, Tinker Bell telah membawa Wendy, John dan Micheal ke Pulau Neverland. Sewaktu di sana Wendy, John dan Micheal telah ditawan oleh Kapten Hook. Namun dapatkah Peter Pan menyelamatkan mereka?
Keletah robot Wall-E yang memiliki perasaan mahu menyelamatkan bumi serta rasa ingin dicintai robot lain dikenali sebagai Eva mewarnai plot filem Wall-E yang menyusul kemudiannya. Kisahnya bermula dengan Wall-E adalah satu-satunya robot terakhir di atas muka bumi yang dipertanggungjawabkan untuk membersihkan planet bumi. Ia dihantar oleh Buy n Large untuk membersih sementara menantikan kepulangan manusia yang sedang hidup mewah di atas kapal angkasa.
Berhibur dengan filem animasi menarik sepanjang cuti sekolah ini hanya di TV1.