in

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

Friedchillies Kembali Dengan Pesta Makan Unik Di Sunway Putra Mall: Kali Ini Kita Layan Nasi Kandaq!

Semua peminat tegar nasi kandar sila ambil perhatian! FriedChillies kembali dan kali ini mereka berkolaborasi dengan Sunway Putra Mall untuk pesta makan unggul yang digelar NASI KANDAQ FEST. 

Senarai Lejen-lejen Nasi Kandar telah dipilih khas oleh FriedChillies dan pakar-pakar dalam selok belok nasi kandar-  Nasi Kandaq Hunters dan Nasik Kandaq Transporters, jadi sudah tentu hanya yang terbaik akan menghidangkan kari-kari mantap dan lauk-pauk power mereka di Sunway Putra Mall untuk dua hari sahaja.

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

Lejen-lejen kita datang dari Penang dan KL dengan satu vendor dari Johor Bahru! “Seorang peminat nasi kandar tegar akan tahu yang sepinggan nasi kandar yang sempurna bukan hanya tertakluk pada kombinasi kari tetapi juga kemahiran seorang joki kari,” kata Mohd Adly Rizal, CEO FriedChillies. Seorang joki nasi kandar ibarat barista di cafe. 

Dengan hanya satu pandangan mereka akan menilai dan menghasilkan kombo kari yang secocok dengan citarasa pelanggan, dan ini disesuaikan untuk semua pelanggan yang datang untuk menikmati nasi kandar di kedai mereka. 

“Inilah yang membezakan kedai nasi kandar daripada kedai mamak, kemahiran joki tu yang membawa kelainan,” ujar Adly.

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

10 Lejen akan bertandang pada hujung minggu yang penuh dengan kelazatan kari ini terdiri daripada nama-nama terkenal seperti Pelita original dari Penang dan Restoran Kudu di KL, sehingga tempat-tempat lokal yang tersembunyi seperti Yusuf Restaurant di Relau, Penang dan Nasi Kandar Sithique. Datang dan nikmati kenduri kari yang mengiurkan ini bersama kombinasi lauk seperti daging masak hitam naik syahdu, ayam bawang panas-panas, sotong goreng garing dan kari kambing yang pasti akan membuat anda menjilat jari. Senarai lejen dan lauk-pauk yang membuat mereka terkenal tersenarai di fact sheet dibawah.

FriedChillies adalah jenama disebalik tabir acara-acara makan meletup seperti I Eat Nasi Lemak dan Ayam Lejen dan mereka selalu mencari lokasi yang menarik untuk dijadikan tapak acara. Tapak Ayam Lejen adalah stesen LRT Ara Damansara (pada tahun kedua acara tersebut, walaupun dilanda hujan ribut, peminat ayam goreng tetap datang untuk menjamu selera di lokasi stesen). 

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

I Eat Burgers pula menyajikan acara 12 jam penuh kegilaan burger, dimana 20 tokoh terdiri daripada gerai Ramli Burger ke kedai burger gourmet tak putus-putus menghidangkan burger-burger juicy kepada para fanatik burger. 

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

“Cara menarik hati orang Malaysia adalah melalui perutnya”, pepatah ini sangat tepat untuk menjelaskan betapa makanan menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia, hubungan intim kita dengan makanan yang sering membawa kita bersama. Kita akan mentransformasikan ruang legar di tingkat bawah menjadi seakan zon kenduri, jadi tak kira panas atau hujan semua boleh datang untuk menikmati juadah lejen-lejen ini dengan selesa,” Kata Tan Ai Vee, Ketua Pemasaran, Sunway Putra Mall. 

 “I Eat Nasi Lemak telah berlangsung di  Telekom Convention Centre dan kami sedar pada waktu itu yang orang kita suka makan nasi sambal sambil layan air-con, dan Sunway Putra Mall memang sudah lama berhajat untuk menganjurkan pesta makan yang boleh membawa rakyat Malaysia tak kira bangsa atau agama menikmati makanan bersama di bawah satu bumbung,” tambah Adly. Kebanyakkan acara FriedChillies telah diolahkan untuk berada di tapak-tapak yang berdekatan stesen pengangkutan awam dan juga ada tempat parkir yang sesuai. Sunway Putra Mall adalah sebuah mall yang sangat bagus lokasinya, berhampiran dengan LRT, MRT dan Komuter dan kemudahan lain termasuk servis e-hailing yang teratur.

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

Badrol Izam, salah seorang pengasas Nasi Kandaq Hunters berkata, “NKH cukup berbesar hati yang acara unik ini akan memberi peluang kepada komuniti kami yang hampir 250,000 (ramai yang bermastautin di Lembah Klang) untuk menikmati air tangan dari tokoh-tokoh nasi kandar yang tersohor dari tempat-tempat original di Malaysia. Kami memang tak sabar untuk mereka menghayati pelbagai rasa kari dan lauk nasi kandar sebab memang semua lejen di senarai ini ada kelebihan mereka yang tersendiri. Semua akan berada di bawah satu bumbung, bila lagi geng?” 

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

Kosongkan jadual anda untuk acara istimewa ini. Kalau anda peminat nasi dan kari, ini adalah tanggungjawab anda untuk memenuhi selera dan perut anda dengan mencuba lejen-lejen ini. Anda juga boleh menjumpai mereka yang telah mendedikasikan hidup mereka kepada nasi kandar- inilah peluang keemasan untuk mendalami hasil kulinari mereka dan menyertai geng foodie FriedChillies. 

Bukan itu sahaja, semua pengunjung acara ini boleh memperolehi baucar tunai dan diskaun dari Sunway Putra Mall untuk minuman, pencuci mulut dan banyak lagi barangan lain pada hari-hari pesta. 

Bayangkan, asal usul nasi kandar ini bermula dengan servis nasi dan lauk yang dikandar diatas bahu pada awal tahun 1900s, untuk dijual kepada pekerja-pekerja dok di pelabuhan Georgetown. Hari ini ia telah menjadi institusi makanan tempatan dengan peminat-peminat fanatik. Jangan lepaskan peluang untuk datang ke Nasi Kandaq Fest pertama di Malaysia!

Untuk maklumat lanjut Nasi Kandaq Fest dan info terkini sila ke IG dan FB FriedChillies di @friedchillies atau laman web kami www.friedchillies.com

KANDAQ FACT SHEET

Ini caranya untuk datang dan tahu nasi kandaq mana nak bantai dulu. Bawaklah sedara-mara, kawan-kawan sekalian, nanti boleh cuba lagi banyak lejen kegemaran ramai.

DAN LEJEN-LEJEN KITA ADALAH… *drumroll…

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

PENANG MAI

1/ Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed) 

Kalau hangpa semua pi Sebarang Perai, ni lah tempat orang sana pi untuk pekena nasi kandaq. Bukak waktu malam aje. Dulu nama manjanya nasi kandar bawah pokok ketapang sebab depa jual bawah pokok ketapang. Sekarang nama glamer- Jamal Mohamad. Depa ada lagi display kari-kari depa kat atas troli ori sebab ye lah nak kasi ‘feel’ macam dulu. Joki kat sini mantap dan memang susah jugak nak buat pilihan, ayam bawang ke, daging hitam ke? Satu lauk, satu teluq, bendi, kuah mesti kasi banjir. Lagi satu tu bungkus je lah. Tu lah nasihat kami. 

2/ Yusuf Restaurant

Port tersembunyi ni kat Relau, Penang kiranya taklah rahsia sangat sebab kadang-kadang trafik nak ambik nasi kat sini macam kat jambatan Pulau Pinang masa cuti sekolah. Sampai depa letak notis mintak pelangan depa untuk bersabaq. Masa pandemik tempat ni terus viral dengan Nasi Kandaq Hunters mewar-warkan juadah depa- terus boomz! Kat sini semua orang gemar nasi kandar dengan daging rendang pekena dengan telur masin. Juga popular ayam ros dengan taburan bawang goreng dan wajib makan dengan sambal kelapa terangkat depa. Jangan cakap abang tak payung.

3/ Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng

Sebelum francais-francais timbul macam cendawan lepas hujan di sekeliling KL dengan pakaian seragam biru depa, ini tempat ori Pelita. Joki depa nanti datang dari Penang untuk cedok kari untuk hangpa semua. Memang ons dengan ayam goreng crispy depa. Selalu orang kat sini carik sotong special atas sepinggan kuah kari campur. Sapa yang kuat makan cubalah kari lamb shank depa, dagingnya lembut boleh terus kutil dari tulang dan ngap!

4/ Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam Negro

Ada ura-ura yang mengatakan yang restoran ini ada kait-mengait dengan Nasi Kandar Subaidah kat Penang dan depa dapat resipi original ayam hitam yang telah dinamakan ‘Ayam Negro’. Ayam ini sangat juicy dalam sos hitam yang akan buat anda ketagih. Ini memang sedap dikawankan dengan kari yang beraneka jenis, acar timun, telur rebus dan sambal kelapa yang pedas.

5/ Hameediyah Restaurant

Sapa tak kenal Hameediyah? Kenalah jemput kan sebab depa salah satu tempat nasi kandar yang tertua di Malaysia. Dari tahun 1907 lagi depa dah hidangkan berbagai juadah nasi kandar kat kedai original depa di Penang. Kari-kari yang menusuk kalbu, ayam bawang juga berkari and rendang daging memang lejen kat sini. Cawangan depa kat Bukit Bintang sangat popular dan hangpa semua boleh belajaq sejarah nasi kandar sebab ada muzium kecik kat sini. Sangat hipster dan moden!

6/ Nasi Kandar LC (Line Clear) Kampung Baru

Ini lagi satu nama dari Penang yang pasti semua orang tahu. Cawangan depa di Kampung Baru tak pernah kering orang. Orang ramai memang suka kari-kari kat sini yang pedas termasuk kari kepala ikan depa. Ayam goreng kat sini juga fevret dengan kuah kari banjir. Kalau datang hari Jumaat macam konsert rock! Cuba juga ayam kuzi dan sotong di sini.

Friedchillies Anjur Acara Nasi KANDAQ Fest 2023 di Sunway Putra Mall

PAKAR KARI KL

7/ Restoran Kudu bin Abdul

Ini kiranya instiuti nasi kandar di Jalan Tunku Abdul Rahmah, jadi jangan haraplah takde queue. Ditubuh tahun 1969 oleh En. Kudu bin Abdul, pada mulanya kedai ni kopitiam santai saja. Peminat kedai ni tak jemu makan lauk sperti ayam sambal bawang, ayam hitam, daging hitam, hati goreng dan paling dicari, teluq ikan gemuk-gemuk. Bayangkan telur yang lemak masin digaul dengan nasi panas-panas tambah lagi kombinasi power kuah kari diorang, lepas tu gigit bendi, inilah dikatakan nasi kandar level kayangan! Sekarang ni dah generasi ketiga Kudu yang mengelolakan kedai ini.

8/ Sithique Nasi Kandar

Kitorang nak ucapkan terima kasih kat tokeh Yaseem Nasi Kandar sebab dia yang kasi idea untuk Sithique (& Ibrahimsha) untuk bukak kedai sendiri pada tahun 1973. Tempat yang bawah radar ni bukan aje terkenal untuk nasi kandarnya tapi jokinya juga ada following sebab ramai kata rupanya mirip Richard Gere (versi mamak). Datanglah untuk fefeeling hollywood bila dia hidangkan pinggan nasi Kandar kat korang. Mesti cuba dengan kari kambing, ayam hitam yang disukai ramai atau sotong goreng ‘mengandung’. Ini adalah sotong yang sarat dengan telur lepas tu digoreng manja. Syok!

9/ Sadam Nasi Kandar

Menurut nasi kandar underworld (tak boleh kasitau sapa, nanti kena target) nasi kandar kat sini paling dekat dengan ‘taste’ Penang. Tengok gambar ayam hitam kuah banjir pun perut dah berkeroncong. Peminat kedai ni pun tangkap cintan dengan ayam Sadam, resepi yang terhasil kalau ayam goreng, ayam madu dan sambal berkahwin dan ada anak yang sedap nak mampos. Cuba juga sotong yang penuh dengan rempah, try sekali, mesti nak lagi. 

WAKIL JOHOR BAHRU!

10/ Nasi Kandaq Talam Johor Bahru

Kedai yang tak disangka pada senarai kita (dan memang semua acara FriedChillies mesti ada tempat tak expect sebab kalau sedap tu, kita kena masukkan jugak) adalah tempat nasi kandar dari Johor Bahru ni. Tagline diorang… Padu, Syahdu, Merindu… walaupun kiranya orang baru, mereka semakin serius masa PKP dan lepas tu terus meletupz. Rasa karinya lebih pada taste orang Johor tapi sedap beb… Sotong diaorang besar gedabak, ayam bawang pun sedap dan sini diorang guna pinggan besi. Dan diorang tak kedekut bawang goreng, satu pinggan nanti akan diselimuti bawang crispy jadi memang krupkrap lah bila makan.

*Lejen-lejen kami akan bawa beberapa pilihan lauk sahaja ke pesta ini, jadi kalau korang nak tengok kesemua lauk-pauk, kenalah rancang roadtrip ke kedai depa.

FriedChillies adalah syarikat food media yang mengetengahkan tempat makan best kepada orang ramai sejak tahun 1997. Merekalah crew disebalik pesta-pesta makan ikonik seperti I Eat Nasi Lemak, I Eat Burgers, Ayam Lejen dan FriedChillies Makan Best Series. Setiap acara dirancang dan vendor dipilih dengan teliti. Ini bermakna hanya yang terbaik akan dikumpul dibawah satu bumbung untuk dinikmati oleh semua warga Malaysia. FriedChillies juga ada resipi-resipi, rancangan bertemakan makanan dan juga projek konservasi kuih bernama Projek KWIH yang dijalankan bersama Yayasan Hasanah. Layari web kami www.friedchillies.com atau ikuti kami di FB dan IG @friedchillies

Nasi Kandaq Hunters (NKH) adalah grup Facebook yang telah dimulakan oleh pencinta-pencinta nasi kandaq. Grup ini terbuka untuk semua peminat nasi kandar berkongsi tempat fevret dan kembara nasi kandar mereka.  Sekarang followers yang gila kari mereka hampir mencecah 250,000 orang!

Nasi Kandaq Transporter menjalankan servis penghantaran nasi kandar. Buat masa sekarang mereka telah bawa lebih dari 100,000 nasi kandar dari Penang ke KL. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem RAIN TOWN Lakar Kejayaan Terpilih Wakili Malaysia

Ebit Lew Fail Saman Terhadap Caprice Dan Mondy Tattoo