Bukan mudah mencari cinta sejati kalau tidak kena pada gayanya. Ada yang mementingkan harta hingga sanggup mengetepikan perbezaan umur atau paras rupa. Malah tak kurang juga yang sanggup berkorban harta mahu pun maruah semata-mata mengejar cinta yang hakikatnya berlandaskan nafsu semata.
Namun sebagai insan yang masih waras dalam memilih yang terbaik dalam kehidupan sendiri, kita seharusnya membuka mata hati untuk menentukan pasangan hidup yang dirasakan sesuai untuk berkongsi hidup. Bukannya kerana sebab-sebab tertentu yang berkemungkinan menyumbang perbalahan kerana ikatan yang dibina tidak ikhlas dan bersebab.
Begitu pun bayangkan sekiranya setelah benar-benar pasti mengenali seseorang itu untuk dijadikan pasangan hidup, secara tiba-tiba baru terbongkar hakikat pemuda itu rupa-rupanya tidak seperti yang disangka. Lalu bagaimanakah seseorang gadis itu dapat berdepan dengan hakikat sukar tersebut?
Plot-plot penuh pengajaran ini mewarnai perjalanan kisah seorang gadis bernama Nadira yang dilakonkan wataknya oleh pelakon jelita, Fouziah Ghaos menerusi drama menarik Terlebih Sudah disiarkan khas Hari Bapa pada 25 Jun 2010 (Khamis), jam 10.00 malam mengisi slot Citra di TV2.
Nadira sememangnya seorang gadis yang tidak betah hidup tanpa cinta. Sejak alam remaja, dia sudah mula punyai teman lelaki silih berganti. Namun belum satu pun yang mampu menjadi cinta agungnya. Dia kemudiannya nekad untuk ‘bersara’ dari bercinta untuk beberapa waktu.
Begitu pun dalam keluarganya, Nadira begitu kaya dan melimpah-ruah dengan cinta dan kasih sayang dari ibunya, Marni seorang ibu tunggal. Nadira begitu bersyukur meskipun tidak mendapat kasih sayang seorang ayah kerana perhatian sepenuhnya daripada si ibu.
Satu hari Nadira bertemu dengan pemuda bernama Idham. Hubungan berjalan baik dan Idham yang baru bercinta melayan Nadira seperti puteri. Ketika itu hubungan mereka mula berkembang daripada teman biasa kepada hubungan sebagai kekasih.
Walau bagaimanapun entah kenapa Marni mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan Idham. Segalanya berpunca kerana dia merasakan Idham terlalu obses dan terlalu memberi perhatian terhadap Nadira. Ini menakutkan Marni dan risau akan keselamatan Nadira terutama apabila Nadira memutuskan untuk berkahwin dengan Idham.
Hinggalah kemuncaknya mereka baru menyedari rupa-rupanya Idham sebenarnya mengalami gangguan emosi dan masalah mental. Lalu bagaimanakah mereka berdepan dengan situasi itu? Adakah hubungan cinta itu berterusan? Selain Fauziah Gous drama ini turut dibintangi Zamarul Hisham, Khatijah Tan, Shahrol Nizam Noor, Aishah Md Desa dan Marsha Londoh.