in ,

Forum Perniagaan Inisiatif Bantu Usahawan PKS

Kegiatan ekonomi di Malaysia nyata terkesan setelah hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda dunia terutamanya terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Peralihan ke fasa endemik sedikit sebanyak memberi sinar baru kepada industri PKS dan para usahawan.

Berita Harian (BH) dan REV Media Group telah mengambil inisiatif untuk membantu para usahawan PKS dengan menganjurkan Forum Perniagaan PKS BH 2021 bertujuan mengupas persoalan serta iltizam untuk terus bangkit, mendepani cabaran masa depan PKS.

Terdapat hampir 960,000 PKS di Malaysia yang terkesan sepanjang pandemik ini sehingga ada yang terpaksa gulung tikar. Sebagai penyumbang 48% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan menyediakan tujuh juta peluang pekerjaan, PKS harus mampu berdaya saing kembali.

Forum Perniagaan PKS BH 2021 yang bakal berlangsung selama dua hari pada 14 dan 15 Oktober ini mengumpulkan ahli panel jemputan yang arif dalam industri PKS bagi memaklumi masalah dan realiti sebenar pengusaha PKS, mengenal pasti usaha yang boleh dilakukan PKS seterusnya membincangkan inisiatif dan galakan pelbagai pihak untuk menyokong proses pembangkitan semula PKS.

Forum Perniagaan Inisiatif Bantu Usahawan PKS

Antara pakar industri yang terlibat berkongsi pandangan dan idea, pengalaman dan cabaran adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz, Ketua Jualan & Pengurusan Akaun Perniagaan Celcom Axiata Berhad, Iskandar Dzulkarnain Abd Razak, Ketua Pegawai Kewangan, Bukit Bintang City Centre (BBCC), Farizal Zainudin dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.

“Pendigitalan operasi perniagaan telah menjadi satu keperluan kepada PKS untuk terus kukuh dan berdaya saing dalam persekitaran perniagaan global yang sentiasa berubah seiring dengan perkembangan teknologi.

“Sebagai peneraju ekonomi digital negara, MDEC sedia menyokong transformasi digital PKS di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif di bawah kempen #SayaDigital, yang selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Turut sama menjayakan forum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara, Muhd Firdaus Azharuddin, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin, pengasas Terato Tech, Reza Razali dan pengasas Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli di mana mereka akan berkongsi kisah jatuh bangun mereka dalam perusahaan yang dilakukan.

Terdapat lima sesi forum yang dipecahkan kepada dua hari (2 forum pada hari pertama dan 3 forum pada hari kedua) akan disiarkan secara langsung menerusi laman web mikro Forum Perniagaan PKS BH 2021, dan orang ramai yang ingin menyaksikannya boleh mendaftar di https://www.bharian.com.my/bhsme di mana mereka boleh turut serta dengan bertanyakan soalan, berkongsi pengalaman dan meninggalkan komen ketika forum berlangsung.

Celcom, MDEC dan Malaysia Grand Bazaar tampil selaku rakan penaja dalam forum yang akan menampilkan Fiza Sabjahan dan Datin Seri Fazilah Hani Harun sebagai hos dan moderator.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

band seventeen indonesia

Filem Dokumentari Panjang KEMARIN Tayang di Astro First 21 Oktober 2021

Drama Sekuel KEKASIH HATI MR BODYGUARD Menyentuh Perasaan Penonton