Selepas buat pengakuan kepada media dan peminat tentang hubungan cinta kembali bertaut dengan Almy Nadia, pelakon berlesung pipit, Fizz Fairuz mengatakan dia akan berkahwin dengan Almy Nadia pada tahun depan. Nampaknya, Fizz Fairuz benar-benar dah belajar dari kesilapannya yang lepas. Termasuklah tragedi di mana beliau bertunang dengan wanita yang dikatakan masih bergelar isteri orang, Azlyn Massiela pada bulan Februari lalu.
Apa yang berlaku sebelum ini, biarlah ia menjadi sejarah yang tak mungkin berulang dan dalam hati Fizz Fairuz kuat mengatakan Almy Nadia adalah jodohnya yang sejati. Eloklah tu…
“Insya-Allah, saya memang berniat untuk menjadikan Almy Nadia isteri saya yang sah. Kalau boleh secepat yang mungkin. Tapi setakat ini masih belum ada perbincangan yang serius dan saya pun belum bertemu dengan keluarga Almy Nadia. ”
Fizz juga tak mahu bertunang sebab dia nak terus kahwin. Tak perlu nak tunggu lama-lama sebab sebenarnya mereka dah cukup faham dan kenal hati budi masing-masing.
Fizz anggap Almy Nadia seorang wanita yang sempurna. Cukuplah percintaan selama 7 tahun dulunya begitu utuh dan disatukan sebagai suami isteri.
Almy Nadia Tak Mahu Komen
Namun begitu, Almy Nadia tidak memberikan sebarang ulasan atau komen tentang pengakuan terbaru dari Fizz. Apa-apa pun, Almy Nadia sedikit terkejut dengan pengakuan tersebut dan menyerahkan sepenuh kepada Fizz untuk memberikan pengakuan. Almy Nadia menganggap semua yang berlaku sebelum ini sebagai pengalaman berguna buatnya.
“Saya tidak mengiyakan atau menafikan, sebaliknya biarlah Fizz saja yang memberikan kenyataan. Saya tidak mahu memberikan sebarang komen lagi, takut nanti disalah faham dan orang ramai sekali lagi akan menyalahkan saya.”
“Saya tidak mahu komen apa-apa tentang hubungan kami kerana saya perlu menjaga hati banyak pihak. Biar dia sahaja yang buat kenyataan itu kerana dia lelaki, saya hanya akan bercakap bila semuanya sudah jelas sahaja,”
“Memang benar saya ada berikan komen sebelum ini, tetapi mungkin orang salah faham maksud saya. Apapun, kita tunggu saja ketentuan Tuhan. Saya bukan nak mengelak atau melarikan diri, cuma takut komen yang akan diberikan memakan diri sendiri. Saya perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, bimbang ia melukakan hati orang lain.”
Dalam pada itu, Almy yang kini tampil dengan imej berambut pendek mahu memulakan hidup baharu.
“Beberapa bulan yang lalu ini memang banyak dugaan dan ujian yang saya hadapi tapi Alhamdulillah semuanya semakin baik dan berjalan lancar.
“Sekarang saya cuba imej baru dengan berambut pendek pula sebagai simbolik memulakan kehidupan yang lebih baik,”
Almy Nadia ketika ini sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Ibu, Mami, Mama.