ADAPTASI NOVEL KE DRAMA BERSIRI : KAU LAKSANA BULAN MULAI 31 MEI INI DI RTM
Diadptasikan daripada karya novelis terkenal tanahair, Aina Emir bertajuk Kau Laksana Bulan mulai 31 Mei ini penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) berpeluang menyaksikannya pula di layar skrin menerusi drama bersiri 13 episod yang menonjolkan perjalanan hidup seorang insan yang bergelar wanita. Pelbagai situasi pahit manis dan renyah yang terpaksa ditempuhi dan bagaimana setiap rintangan dan konflik dalam hidupnya itu diatasi oleh srikandi drama ini yang bernama Adrianna dengan penuh ketabahan.
Mengekalkan tajuk sama, Kau Laksana Bulan menemui penonton setiap Isnin, jam 8.30 malam menerusi saluran TV2 ini diangkat sebagai daya tarikan terbaharu drama bersiri menarik di RTM yang mampu menambah jumlah penonton terutama di kalangan remaja yang pernah membaca novel ini mahu pun yang ingin menyaksikannya drama mengetengahkan dramatis jelita Ayu Raudhah membawakan watak utama di samping aktor Zulhuzaimy, Fizow Omar, Ashraff Muslim, Bienda, Dian P. Ramlee dan Fathil Dani.
Skrip drama ini juga banyak memaparkan mesej-mesej untuk penonton antaranya termasuklah persepsi masyarakat terhadap mereka yang minat dalam bidang seni penulisan. Masalah yang dihadapi oleh watak utama novelis seperti Adrianna dalam dunia sastera tanah air. Persepsi terhadap hidup dengan cara makan gaji sahaja, terutama bagi golongan graduan. Persepsi bahawa bila mempunyai wajah cantik dan berpelajaran tetapi masih tidak kahwin, menunjukkan ada sesuatu yang tak kena dengan seseorang itu.
Menariknya drama ini juga menonjolkan amalan dan budaya ‘suka jaga tepi kain orang’ dan betapa gosip yang sering disebarkan selalunya akan terjadi juga pada diri sendiri. Pada masa sama menonjolkan perasaan kasih sayang yang wujud dalam keluarga, sekalipun banyak konflik dan sangka buruk yang terjadi. Satu lagi mesej positif yang disampaikan ialah bagaimana kita tidak sekadar menilai kebaikan seseorang hanya sekadar melalui kata-kata romantis dan puitis sahaja, kerana akhirnya sifat kejujuranlah yang patut dijadikan pegangan hidup ke arah kebahagiaan rumah tangga.
Kisahnya bermula pada babak Adrianna Johan, gadis yang dilahirkan dalam sebuah keluarga sederhana. Dia telah memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian dalam bidang penulisan sambil melanjutkan pelajaran untuk mengikuti program sarjana di Universiti Malaya.
Walaupun ayahnya sentiasa memberi sokongan, ibu Adrianna, Salmah tidak pernah merasakan bahawa kerjaya anaknya sebagai seorang novelis sesuatu yang boleh dibanggakan. Baginya, lebih elok sekiranya Adrianna bekerja seperti graduan lain dan beri perhatian untuk mencari jodoh. Rungutan demi rungutan daripada ibunya itu meresahkan hidup Adrianna namun dia cuba memahami ibunya yang kebetulan tidak berpelajaran dan merupakan seorang suri rumah yang lebih suka bergosip dengan jiran-jirannya. Adrianna tidak senang dengan tabiat buruk ibunya dan dia juga sentiasa rimas dengan kerenah jiran-jiran tetangga yang suka jaga tepi kainnya.
Dalam bidang kerjayanya pula, Adrianna yang menggunakan nama samaran ‘Jenna Johan’, merupakan seorang novelis ‘Romance Thriller’ yang sedang mengukir nama dalam pesada dunia penulisan. Semasa memulakan program sarjananya, Adrianna sedang sibuk menulis manuskrip untuk novel ketiga yang berjudul ‘Penantian di Hujung Kabus’.
Dalam kesibukan mencari perwatakan yang sesuai untuk manuskripnya itulah Adrianna terserempak dengan Firas Ali di dalam tren komuter Nilai-KL. Dengan tidak sengaja, Adrianna terduduk di atas riba Firas semasa cuba mendapatkan tempat di suatu pagi, semasa menaiki tren komuter itu. Mereka bertemu lagi beberapa kali selepas itu dan pertemuan itu telah mendorong Adrianna untuk melakarkan watak Firas ke dalam manuskrip novelnya.
Adrianna juga pernah suatu ketika dahulu bercinta dengan Syafik, seorang lelaki yang sebaya dengannya, sejak zaman persekolahan lagi. Malangnya, pertalian mereka terputus ketika mereka sama-sama sedang melanjutkan pelajaran di menara gading. Namun Syafik telah muncul kembali dalam hidup Adrianna dengan tiba-tiba sahaja. Kemunculan Syafik itu menggembirakan Salmah, ibu Adrianna yang terlalu suka kepada Syafik dan mengharapkan sangat agar Adrianna memilih Syafik sebagai bakal suaminya sebaliknya kemunculan Syafik telah menimbulkan kekeliruan dalam hidup Adrianna.
Dalam begitu, Adrianna tetap keliru bila Firas berulang kali meminta agar pertalian mereka dirapatkan lagi bukan sekadar kawan biasa tetapi sebagai kekasih. Adrianna tidak mampu melakukannya kerana dia masih terikat dengan bayangan Razif, seorang lelaki yang pernah wujud dalam hidupnya selepas Syafik.
Razif merupakan seorang lelaki yang romantis dan puitis dan Adrianna yang mengenalinya melalui Internet, telah jatuh hati dengannya. Malang buat Adrianna, pertalian percintaan mereka terputus kerana Razif telah meninggal dunia. Malang juga buat Adrianna, kerana kematian Razif telah menutup ruang-ruang di hati untuk jatuh hati dengan lelaki lain.
Keadaan ini merumitkan lagi hidup Adrianna, bila dengan tiba-tiba muncul pula Eizlan yang terlalu mengingatkan Adrianna kepada Razif. Eizlan juga merupakan seorang peminat novelnya yang suka menghantar mesej-mesej puitis dan romantis yang seringkali menggugatkan perasaan ‘wanita’ Adrianna.
Perjalanan cerita di teruskan bila pada suatu ketika nanti, Adrianna dan Firas terpaksa berpisah kerana Firas tidak mempercayai kepada kejujuran Adrianna. Bila berpisah dengan Firas, Adrianna kecewa dan berasa hampa. Tetapi keadaan terus menekannya dan kerana itu, Adrianna telah bersetuju untuk menerima Syafik sebagai bakal suaminya. Malangnya, perancangan itu tidak kesampaian dengan perbuatan Syafik yang dianggapkan sebagai tidak serius.
Ketika itulah, Adrianna mula memberi perhatian kepada Eizlan. Kerana layanan Adrianna, Eizlan mula menaruh harapan untuk berkasih dengan Adrianna. Tiba-tiba, Adrianna sekali lagi terserempak dengan Firas yang sudah lama hilang dalam hidupnya. Kemunculan Firas kali ini telah mewujudkan perasaan cintanya yang sudah tidak berbelah-bahagi lagi. Mereka memilih untuk mendirikan rumah tangga.
Walaupun itu merupakan perancangan Adrianna, hidupnya menjadi kucar-kacir bila Razif (yang pernah dikatakan meninggal dunia) muncul semula. Dalam begitu, Eizlan terus mengganggu hidupnya. Ke mana sahaja Adrianna pergi, Eizlan menunggunya. Perbuatan Eizlan membuatkan Adrianna menjadi tidak tentu arah.
Pelbagai kejadian kini berlaku membuatkan hidupnya tercabar, penuh suspens dan sentiasa cemas. Begitu juga dengan kehadiran Razif yang telah memporak-purandakan rumah tangga Adrianna bersama Firas. Lalu bagaimanakah kesudahannya? Adakah cinta sejati untuk Adrianna muncul? Saksikan Kau Laksana Bulan di TV2.