Suasana tenang menyelubungi galeri Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi apabila pelakon dan usahawan Fizo Omar melafazkan cerai terhadap isterinya, Mawar Abdul Karim pada pagi, Rabu. Ikatan perkahwinan selama enam tahun pasangan itu terlerai apabila Fizo atau Wan Hafizol Wan Omar, 34, melafazkan talak satu terhadap Mawar, 30, pada pukul 10.55 pagi.
Lafaz cerai Fizo dibuat di hadapan Hakim Syarie, Che Abdullah Che Hassan dan turut dihadiri oleh bekas isterinya.
“Tak ada apa-apa cerita sensasi ataupun aib yang perlu pihak saya atau pihak Mawar. Kami bertemu dengan cara baik dan berpisah dengan cara baik atas izin Allah.
“Buat masa sekarang saya tak boleh bagi kenyataan terperinci. Cukup untuk saya katakan hari ini jodoh saya dan Mawar berakhir di sini dan saya percaya ini adalah takdir Allah,”
– Fizo Omar
Menurut Fizo, baginya ia bukan satu pengakhiran dan ia satu permulaan yang baru kepada dirinya dan Mawar untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah untuk membesar dan mendidik anak kami iaitu Wan Maryam.
Ujarnya, setakat ini hubungannya dengan Mawar serta keluarga berada dalam keadaan baik-baik sahaja dan percaya selepas ini hubungan dia dan bekas isterinya lebih baik dan rapat.
“Tidak ada pergaduhan, perbalahan antara saya dan Mawar dan sehingga hari ini kami masih baik. Betul penceraian bukan satu benda yang baik, tetapi sekiranya takdir Allah kepada kita, bergantung kepada tindakan kita untuk menentukan hasilnya.
“Tindakan saya dan Mawar hari ini berharap berterusan positif kepada anak kami dan kepada seluruh masyarakat. Sekiranya takdir Allah, kita lalui dengan tenang dan sabar. Hikmah di sebalik kejadian ini kita ambil secara positif,”
– Fizo Omar
Sementara itu, Mawar pula berkata perasaannya ketika ini amat sedih, namun berharap ia merupakan satu pengorbanan yang besar buat dirinya dan keluarga.
“Saya reda dan pasrah apa yang terjadi ini pasti ada hikmah untuk masa depan saya. Saya tak boleh komen lebih kerana banyak pihak saya perlu jaga hati sebab saya takut apa yang saya kata mungkin di salah tafsir oleh orang luar.
“Sudah tentu sebagai seorang wanita akan cuba selamatkan rumah tangga, tetapi selama hampir enam tahun tempoh perkahwinan kami dah cuba. Mungkin sampai sini sahaja untuk saya cari keserasian Fizo dan keluarga,”
– Mawar Karim
Mawar sebelum ini memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 5 Julai lalu.
Hak penjagaan anak mereka Wan Maryam yang kini berusia dua tahun diberikan kepada Mawar.
Menerusi laporan media, Fizo juga mengakui terkejut apabila dimaklumkan isterinya sudah mendapatkan nasihat daripada peguam mengenai masalah rumah tangga mereka.
Mawar, 30, pernah memberitahu dia sudah menemui peguam untuk mendapatkan nasihat berhubung masalah rumah tangga mereka.
Perkahwinan pasangan itu mula dikatakan berdepan dengan masalah dan menjadi bualan hangat netizen apabila Fizo menyambut Aidilfitri berasingan dengan isteri dan anak.
Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.
Pasangan ini mendapatkan rawatan daripada Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Hamid Arsat untuk memperoleh zuriat.