in

Fiqh Wanita di TV3

FIQH WANITA LAHIRKAN GOLONGAN MUSLIMAH YANG BERIMAN & BERTAQWA

Sesungguhnya Islam merupakan cara hidup yang lengkap dan sempurna di muka bumi ini untuk menjamin kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat. Namun masih ada di antara kita masih kabur mengenai hukum-hukum Islam terutamanya berkaitan wanita terutama tentang bersuci, ibadat, mu’amalat, kewajipan-kewajipan dan hak-hak wanita. Menyusuli program keagamaan Al-Hidayah, sebuah lagi program bual bicara wanita terbaru terbitan Primeworks Studios iaitu FIQH WANITA, akan mendedahkan kepentingan pengetahuan fiqh wanita dalam kehidupan sebagai muslimah serta memahami tentang hukum islam seperti bersuci, ibdat, dan kewajipan lain berkaitan wanita dengan lebih jelas.

Logo Fiqh Wanita

Fiqh Wanita yang telah pun membuka tirainya pada 6 Julai 2012 yang lalu, akan membuka segala persoalan serta memberi penyelesaian kepada para penonton khususnya kaum muslimah untuk menjalani sebuah kehidupan yang lebih baik dan diredhai di dunia mahupun akhirat. Lebih menariknya lagi, program 30 minit ini lebih memfokuskan kepada topik dan isu yang boleh dijadikan panduan dan amalan buat seseorang muslimah dalam meneguhkan iman, taqwa dan kerohanian.

Fiqh Wanita yang menampilkan Shadiya Abbas sebagai pengacara, akan membincangkan persoalan-persoalan menarik untuk dikupas oleh barisan panelis akademik yang berpengetahuan luas dalam aspek teori dan amali agama Islam seperti Prof. Dr. Zaleha Kamarudin (Rektor UIAM Gombak), Ustazah Asmak Husin (Pensyarah UiTM Shah Alam), Ustazah Noraslina Jusin, Ustazah Nourul Iman Niamat, Ustazah Wan Habsah Wan Ahmad dan Ustazah Norhafizah Musa.

Antara kelainan ketara yang dibawakan oleh program bual bicara baru ini adalah setiap topik yang dibahaskan akan disertakan dengan sesi praktikal yang dilaksanakan oleh penonton di studio. Sesi praktikal dan demonstrasi ini pastinya akan memudahkan penonton dalam memahami persoalan yang dibincangkan. Di samping itu, penonton di rumah boleh turut serta melontarkan soalan kepada panelis menerusi laman sosial Facebook Fiqh Wanita.

Antara isu lain yang mendapat perhatian ialah perbincangan menerusi tajuk ‘Darah Wanita’ yang akan dibahas selama tiga minggu berturut bersama Ustazah Asmak Hussin. Menariknya topik ini adalah kerana panelis bakal membawa penonton menyelami mengenai masalah yang sering berlaku kepada setiap muslimah semasa berada di dalam keadaan haid, istihadah dan nifas.

Bagi topik ‘Darah Istihadah’ atau dikenali juga sebagai darah penyakit, penalis akan membahaskan darah istihadah selepas sucinya seorang wanita daripada haid. Penalis juga akan menjawab segala persoalan mengenai wanita mustahadah dari aspek mengangkat wuduk, solat dan mengenai hubungan intim seorang isteri berada dalam keadaan istihadah dengan suaminya.

Seterusnya, menerusi topik ‘Darah Nifas’, penalis akan mengupas isu mengenai darah yang keluar daripada rahim selepas bersalin, darah wiladah, tempoh bersuci untuk muslimah, syarat untuk qadha puasa dan solat serta amalan yang sesuai dilakukan semasa berada dalam keadaan bernifas.

Terdapat pelbagai lagi isu menarik bakal dirungkai menerusi program Fiqh Wanita yang diterajui oleh Penerbit Puan Shadiya Abbas dan Penerbit Eksekutif, Mohd Naim Niamat. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kesemua 13 episod di dalam FIQH WANITA setiap hari Jumaat, jam 1.00 tengahari di TV3!

Fiqh Wanita-Panel menunjukkan aurat wanita bertudung

Panel menunjukkan aurat wanita bertudung

Fiqh Wanita-Pengacara Fiqh Wanita-Shadiya Abbas

Pengacara Fiqh Wanita – Shadiya Abbas

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peminat Peterpan Sambut Ariel Keluar Dari Penjara

Siaran Sukan Olimpik 2012 Di London Dalam Bentuk 3D