FINAS TAYANG PIALA DUNIA 2010
Dalam usaha memeriahkan suasana siri perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengambil inisiatif untuk menayangkan 2 siri perlawanan Piala Dunia kepada orang ramai.
Finas menyediakan skrin gergasi yang berukuran 15 x 20 kaki di Dataran Karyawan Finas bagi membolehkan peminat bola sepak tempatan untuk menonton secara percuma dan santai.
Menurut Timb. Ketua Pengarah Finas, Mohd Zulkifli Abd Wahab, Finas akan menyiarkan perlawanan di antara pasukan Belanda dengan Brazil pada 2 Julai 2010 jam 10 malam dan Argentina dengan Jerman pada 3 Julai 2010 jam 10 malam. Usaha ini adalah diilhamkan oleh Ketua Pengarah Finas sendiri yang berhasrat untuk menjadikan Finas lebih dekat dengan khalayak ramai.
Langkah ini juga diharap dapat memperkenalkan Finas kepada orang ramai menerusi siaran sukan yang akan disiarkan ini.
Ujar beliau lagi Finas hanya menayangkan perlawanan bola sepak Piala Dunia yang bersiaran pada awal malam berikutan ketidaksesuaian untuk menyiarkan jadual perlawanan awal pagi disebabkan faktor bekerja dan teknikal.
Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan sesi karaoke lagu-lagu filem sebelum tayangan disamping promo-promo dokumentari terbitan Finas selain berpeluang menikmati sajian istimewa yang disediakan oleh Kafe Lagenda Finas. Keterangan lanjut tentang perlawanan boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat di talian 03 4104 1397/ 98.