Ketika itu, penerbit, pengarah dan pelakon Dato’ Hans Isaac dan Dr. Ahmad Idham masing-masing telah dilantik sebagai Pengerusi dan CEO dan ia nyata mendapat sokongan padu daripada penggiat seni lain yang berharap akan berlaku perubahan bagi membela nasib penggiat seni yang sebelum ini sering dipandang enteng.
Bagaimanapun, selepas menjawat jawatan itu selama beberapa bulan timbul berita mengenai Pengerusi dan CEO tidak lagi sehaluan dan spekulasi itu dikuatkan lagi apabila Ahmad Idham mengambil keputusan untuk meletak jawatan walaupun kontraknya belum tamat.
Apabila kerajaan baru dibentuk, jawatan Pengerusi FINAS yang disandang oleh Hans Isaac telah digantikan dengan Zakaria Abdul Hamid dan Ahmad Idham dilantik semula sebagai CEO FINAS.
Walaupun menyedari ramai yang mempersoal dan tidak berpuas hati dengan perlantikannya menjawat jawatan untuk ‘kerusi panas’ itu, Ahmad Idham tidak melatah sebaliknya bersikap terbuka mengenai pandangan setiap orang.
Rangka Strategi Untuk Pulihkan Semula Industri Seni Tanah Air
Ahmad Idham mengakui berdepan cabaran lebih besar apabila dilantik semula sebagai CEO FINAS berikutan perlantikannya berlaku ketika negara dilanda pandemik dan keadaan industri ketika itu sangat tenat dan perlu lakukan ‘misi menyelamat’ supaya industri seni tanah air tidak lumpuh terus.
Selepas kembali menjawat jawatan CEO, beliau telah mengadakan mesyuarat bagi merangka strategi dan agenda untuk memulihkan semula industri dan memegang kata-kata Pengerusi FINAS iaitu ‘beri semua orang makan’ telah membuatkannya merancang pelbagai program bantuan kepada penggiat seni yang terjejas teruk akibat pandemik.
Selain itu, misi utamanya juga adalah untuk merancakkan semula ekonomi industri seni dengan memperkenalkan Dana Kandungan Digital (DKD) yang mana FINAS akan memberi dana kepada syarikat produksi tempatan untuk mereka terus berkarya dalam menghasilkan drama, telefilem, filem.
Pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) Secara Berperingkat
FINAS tidak mengambil masa yang lama apabila menyerahkan surat tawaran DKD bernilai RM7.8 juta kepada 23 buah syarikat produksi pada Julai. Ia kemudian disusuli dengan penyerahan surat tawaran PELAKSANA DKD kepada 40 buah syarikat produksi membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM13 juta.
Ahmad Idham berkata sejak pemberian dana, FINAS telah berjaya mencipta lebih 5,000 peluang pekerjaan dan membantu lebih 100 buah syarikat produksi untuk terus beroperasi dan menghasilkan pelbagai jenis karya.
Menurutnya, FINAS mempunyai beberapa kategori dana seperti umtuk drama, telefilem, filem komersial dan juga dana untuk filem kenegaraan.
Pada masa sama, Ahmad Idham turut mengulas pendedahan mengejutkan Pengerusi FINAS baru-baru ini berkaitan sembilan buah syarikat disyaki terlibat dalam penyelewengan dana membabitkan jumlah RM11 juta apabila sehingga kini masih tiada perkembangan daripada syarikat produksi tersebut.
Menurut beliau, isu penyelewengan dana FINAS ini sebenarnya sudah berlaku sejak sekian lama lagi iaitu sekitar tahun 2016 dan kini pihaknya cuba menghubungi produksi yang menerima dana tetapi gagal menyiapkan karya mereka bagi mengetahui punca mengapa ia tidak dapat disiapkan.
Ketika ini FINAS akan menggunakan budi bicara iaitu memanggil pihak produksi untuk bertemu dengan FINAS dan berbincang masalah yang dihadapi. Sekiranya mereka berdepan kekangan kewangan mereka mungkin akan dibantu.
Tetapi sekiranya pihak produksi mengambil pendekatan untuk menyepikan diri, FINAS akan mengambil tindakan undang-undang, dan sekiranya tindakan perundangan sudah diambil pihaknya tidak akan melayan sebarang rayuan kerana ia sudah menjadi urusan mahkamah.
Sekiranya produksi itu terbukti bersalah, maka pada masa akan datang produksi tersebut akan disenarai hitam dan tidak akan mendapat sebarang bantuan lagi daripada FINAS.
Mahu Pastikan FINAS Lebih Telus Dan Tersusun
Selain mahu pulihkan semula industri, Ahmad Idham juga mahu pastikan pentadbiran FINAS dilakukan secara telus dan terbuka supaya tiada lagi isu penyelewengan berlaku sekaligus dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap FINAS yang sebelum ini tercalar akibat beberapa isu kontroversi terutamanya membabitkan penyelewengan dana filem.
Tambahnya lagi FINAS juga kini semakin aktif di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan beberapa medium lagi dalam menyampaikan agenda dan perancangan dari semasa ke semasa untuk rujukan semua pihak terutamanya kepada penggiat seni.
Malah mereka juga memperkenalkan slogan ‘Tanya FINAS’ yang mana sesiapa sahaja termasuk penggiat industri yang ingin mengetahui apa sahaja berkaitan dengan FINAS boleh terus menghubungi pihak FINAS menerusi talian hotline mahu pun secara e-mel.
Pada masa sama FINAS juga telah melantik ahli jawatankuasa daripada kalangan penggiat seni sendiri bagi memastikan segala isu dan cadangan daripada penggiat seni dapat didengari sekaligus memudahkan lagi apa sahaja urusan membabitkan FINAS dan penggiat seni.
Skim Wajib Tayang (SWT) Akan Diubah
Bagi penerbit filem mereka sudah sedia maklum dan faham dengan Skim Wajib Tayang (SWT) yang diperkenalkan oleh FINAS dalam membantu filem tempatan supaya mendapat peluang untuk menayangkan filem mereka di pawagam di seluruh negara.
Bagaimanapun dengan situasi ketika ini, Ahmad Idham berkata pihaknya akan membuat perubahan kepada SWT bagi memastikan pembikin filem tempatan tidak berdepan situasi seperti sebelum ini iaitu tayangan filem mereka ditarik apabila tidak mendapat sambutan dalam tempoh tiga hari.
Secara umumnya SWT mewajibkan pawagam untuk menayangkan filem tempatan dalam tempoh dua minggu, tetapi sekiranya filem itu tidak mendapat sambutan pihak pawagam boleh menarik tayangan filem itu mengikut syarat yang ditetapkan.
Jelasnya, syarat SWT ketika ini sudah lapuk dan perlu diubah mengikut situasi ketika ini dan perubahan baru SWT ini akan menyaksikan setiap filem tempatan akan diberi peluang untuk ditayangkan lebih lama dari sebelum ini. Bagaimanapun butiran lanjut mengenai SWT yang baharu hanya akan didedahkan apabila ia sudah ditetapkan kelak.
Terus Banteras Cetak Rompak
Isu cetak rompak yang tampak seperti tiada pengakhirannya ini turut mendapat perhatian Ahmad Idham yang turut memandang serius perkara ini kerana ia menjejaskan periuk nasi penggiat seni. Oleh itu, FINAS sentiasa memantau dan akan terus membanteras isu cetak rompak ini.
Pada tahun ini isu terdapat dua isu cetak rompak membabitkan filem “Ada Apa Dengan Dosa” dan “Mael Totey” yang mana ia membabitkan platform e-dagang popular. FINAS memandang serius isu tersebut dan apabila mendapat tahu ada filem yang dijual secara haram di platform e-dagang, pihak terus menghubungi pihak e-dagang tersebut untuk menurunkan filem itu serta merta.
Ahmad Idham sedar ada segelintir pihak yang beranggapan FINAS seperti tidak membantu penerbit yang menjadi mangsa cetak rompak. Ia tidak benar kerana pihaknya sentiasa memantau dan telah berjaya menurunkan banyak blog-blog dan individu yang memuat naik filem tempatan secara haram dalam talian.
Ketika ini FINAS mengambil pendekatan untuk mendidik sebelum mengambil tindakan perundangan kerana dedah Ahmad Idham kebanyakkan individu yang mencetak rompak filem tempatan ini adalah di kalangan remaja selepas siasatan dijalankan oleh pihak FINAS bagi mengesan siapakah yang memuat naik filem secara haram.
Oleh itu, FINAS akan terus memandang isu cetak rompak ini dengan serius dan akan terus memberi kesedaran kepada orang ramai tentang isu cetak rompak dan akibat sekiranya ditangkap melakukan jenayah itu.
Harap Penggiat Seni Dapat Terus Bersama Finas Untuk Memajukan Industri Seni Tanah Air
Tidak dapat dinafikan di kalangan penggiat seni sendiri ketika ini tidak bersatu dan berpuak-puak, namun Ahmad Idham berharap agar penggiat seni dapat kembali bersatu untuk terus maju ke depan.
Jelasnya lagi FINAS baharu kini bukanlah seperti FINAS dahulu kerana mereka kini bersikap lebih terbuka terhadap sebarang kritikan atau pandangan untuk memajukan industri. Sekiranya masih lagi ada pihak yang masih berfikiran seperti dahulu dan tidak mahu berubah beliau tidak dapat berbuat apa, sebaliknya bagi mereka yang ingin maju boleh terus bekerja rapat dengan FINAS.
Tambahnya FINAS kini berada pada landasan yang tepat kerana ia diterajui oleh mereka yang cukup berpengalaman dalam dunia seni dan mempunyai pemikiran yang selari dengan visi dan misi FINAS iaitu untuk memajukan industri seni ke tahap tertinggi.
*Sumber: Cinema Online