Antara kategori penerima surat tawaran itu adalah syarikat yang menghasilkan produk untuk program televisyen (TV), dokumentari dan dana mikro.
Saifuddin berkata, insentif kerajaan bertujuan membantu penggiat seni termasuk pembikin filem untuk terus berkarya.
“Terutama pemuda-pemuda yang mana saya nampak hari ini (semalam). Ramai dalam kalangan penerima surat tawaran adalah orang muda.
“Ini secara tidak langsung menggalakkan mereka berkarya dalam situasi pandemik COVID-19.
“Mudah-mudahan dengan apa yang diberi ini dapat membantu mereka, sama ada memulakan penggambaran baharu atau menyambung kerja.
“Sememangnya, mengikut perancangan kami, apabila tibanya 2021, kita semua dapat melangkah dengan lebih gagah daripada segi pengeluaran filem tempatan yang bermutu tinggi,”
– Saifuddin
Beliau berkata semasa majlis penyerahan surat tawaran fasa kedua DKD dan cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, ITFC bernilai lebih RM1.8 juta diserahkan kepada 14 syarikat yang menerbitkan 16 filem pelbagai genre.
Antara syarikat yang menerima ITFC adalah Primeworks Studios Sdn Bhd, DA Motion Media Sdn Bhd, Lomo Pictures Sdn Bhd, Asia Tropical Films Sdn Bhd, Jet Poh Asia Media Sdn Bhd dan Story Film Sdn Bhd.
Pada majlis sama, memorandum persefahaman (MOU) akreditasi antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) turut dimeterai.
Majlis itu dihadiri Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri; Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional UiTM (iCEPS), Prof Dr Azizul Halim Yahya dan Presiden Presiden MBOT, Tan Sri Ahmad Zaidee Laidin.
Mengulas mengenai MOU akreditasi yang dimeterai, Saifuddin berkata, inisiatif itu dapat melindungi kepentingan individu, perseorangan dan institusi berkaitan dengan memastikan pengiktirafan diberi memenuhi standard ditetapkan.
“Latihan yang disediakan badan akreditasi atau organisasi yang mendapat pengiktirafan daripada agensi mampu mempercepatkan proses peningkatan dan kebolehupayaan kerjaya dan kendiri individu.
“Ini bermakna pemohon tidak perlu hanya menunggu berdasarkan pengalaman kerja yang mungkin mengambil masa puluhan tahun untuk diiktiraf.
“Malah, ia juga menyediakan ‘self-assessment’ (penilaian sendiri) alternatif kepada individu yang ingin meningkatkan diri dalam bidang perfileman.
“Selain itu, watikah akreditasi menjadi bukti bahawa individu atau pemohon mempunyai kelayakan diiktiraf. Inisiatif itu tidak lain adalah bagi meningkatkan kualiti pengeluaran filem tempatan,” katanya.
– – Saifuddin
Saifuddin berkata, inisiatif diambil adalah pencapaian yang baharu kerana secara rasminya, soal akreditasi ditangani dengan sistematik.
“Langkah ini mustahak untuk kita memperkasakan latihan berkaitan dunia perfileman dan menggalakkan ‘self assessment’ dalam kalangan penggiat filem.
“Kalau kita mahu bersaing dengan negara maju, ini antara langkah yang perlu kita lakukan. Kita dapat lihat ramai pelajar universiti mengambil program pengajian bidang perfileman. Namun, ada antara mereka tidak mendapat pekerjaan selepas tamat belajar.
“Bagaimana pula dengan mereka yang sudah lama dalam dunia perfileman tapi tiada kelayakan dan latihan formal. Akreditasi ini akan bantu mereka.
“Kami akan beri pengiktirafan dalam bentuk sijil dan pada masa sama, mengiktiraf mereka yang berpengalaman,” katanya.
– Saifuddin
Sementara itu, Zakaria berkata, ITFC diwujudkan untuk menjana industri filem melalui strategi galakan dan insentif kepada penggiat industri.
Tambahnya, ITFC bertujuan menyuntik semangat penggiat industri selain mengukuhkan industri kreatif tempatan.
“Sebelum ini, dua serahan sudah dilakukan daripada tiga serahan yang ditetapkan setiap tahun. Agihan seterusnya dijangka, November depan,”
– Zakaria
Mengenai MOU akreditasi antara FINAS, UiTM dan MBOT, Zakaria berkata, inisiatif itu adalah kerjasama yang akan memastikan pembangunan latihan diselanggara secara tersusun.
“Ia juga menjadi badan pemantau bagi mewujudkan pangkalan data sistematik dengan menyatukan pemain industri sama ada individu, organisasi atau persatuan di bawah satu bumbung.
“Visinya adalah untuk menjadi badan pengiktiraf utama bagi pekerja dan penggiat industri kreatif, khususnya sektor perfileman negara,” katanya.
– Zakaria
Zakaria berkata, objektif memorandum ini adalah meningkatkan tahap keupayaan kumpulan tenaga kerja industri kreatif selain melindungi dan menjaga kepentingan serta hak tenaga kerja industri kreatif.
“Selain itu, ia juga mengiktiraf kolaborasi tahap profesional dalam kalangan kumpulan sasaran serta menjadi pusat pangkalan data tenaga kerja industri kreatif berdasarkan rating, faktor pengalaman, kemahiran, sumbangan dan pencapaian,” katanya.
– Zakaria