Sama-sama kita saksikan pentas akhir Famili Duo 2023 yang akan bersiaran langsung pada 3 Disember 2023 (Ahad), pukul 9.00 malam dari Studio 1, Glenmarie.
Pentas Akhir Famili Duo 2023 menampilkan tiga pasangan duo sebagai finalis iaitu duo adik-beradik Sharif & Syaiful ZERO, duo sepupu Haqiem Rusli & Ariff Bahran dan duo adik beradik Adira & Emma Suhaimi. Kesemua finalis perlu melakukan dua persembahan yang bertema ‘bebas’ dan ‘vokal berkumpulan / duet popular.’ Bagaimanakah dengan persiapan akhir mereka? Duo manakah bakal bergelar juara dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000?
Bermula dari episod pertama, duo adik-beradik Sharif & Syaiful ZERO sering melemparkan idea-idea yang kreatif dalam persembahan mereka. Apakah strategi mereka kali ini? Menurut Sharif: “Kami sudah bersiap sedia untuk malam final. InsyaAllah, kami janji akan buat lain daripada yang lain. Saya berharap persembahan kami di final dilihat layak untuk menang jika ada rezeki untuk menang. Kejutan itu pasti ada di pentas akhir. Dari segi pemilihan lagu, saya dan abang saya kena bersepakat dan selesa dengan lagu-lagu itu. Untuk susunan lagu, terima kasih kepada pengarah muzik abang Rio dan Achoi (Zai Hamzah) daripada Floor 88 yang banyak membantu.”
Haqiem Rusli & Ariff Bahran, duo sepupu yang memberikan saingan hebat dan selalu buat yang sehabis baik di pentas Famili Duo 2023. Menurut Haqiem: “Kami akan bagi the best yang kita boleh bagi kerana program ini sudah sampai ke penghujung. Untuk persembahan dua lagu ini, kami akan menggunakan elemen meriah dan juga elemen yang boleh menyentuh hati penonton.Terima kasih kepada TV3 kerana sudi mempelawa kami ke Famili Duo. Selain dapat menyatukan pasukan saya dengan pasukan yang lain, kami juga dapat berkenalan dengan pasukan produksi baharu, musician dan peserta Famili Duo yang lain. Ia adalah satu pengalaman yang manis. InsyaAllah, saya akan masuk lagi pada tahun depan jika ada peluang.”
Bahran pula berkata, “Bagi saya, persediaan agak stress sebab dah sampai final. Kita bagi yang sehabis baik untuk dua persembahan pada malam Ahad ini. Kami akan ada cameo yang dapat mencuit hati penonton, jadi kena tunggu kejutan itu. Terima kasih kepada semua yang menyokong Famili Duo. Terima kasih kepada TV3, juri-juri dan semua yang terlibat dalam Famili Duo dan doakan yang terbaik untuk kami.”
Duo adik-beradik, Emma & Adira Suhaimi pula berkongsi, “Persediaan final memang kami akan all out dan buat sebaik mungkin. Pemilihan lagu pun sangat teliti untuk final nanti. Kami mengambil berat segala komen juri. Jadi, nantikan persembahan kami di final nanti.”
Jangan terlepas juga peluang untuk gandakan sokongan buat duo kegemaran anda sebanyak 50 kali undian apabila anda menggunakan kod ‘FAMILIDUO2023’ ketika melanggan pakej TontonUP dengan harga serendah RM20 bagi 3 bulan pertama.
Nantikan Pentas Akhir Famili Duo 2023 pada 3 Disember 2023, pukul 9.00 malam di TV3.