Rampas Cintaku semakin menghampiri kemuncak dengan hanya tinggal 2 episod lagi yang bakal disiarkan hujung minggu ini. Plot-plot menuju ke pengakhiran drama ini bakal membongkar beberapa rahsia gelap, konspirasi serta bakal menampilkan hubungan yang tidak dijangka.
Untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku kepada watak-watak yang penuh dengan skandal, di sini disenaraikan apa yang anda terlepas dalam episod lalu:
Rizal Desak Kata Putus Dari Datin Safieya – Dia atau keluarganya
Hubungan antara Datin Safieya (lakonan Fasha Sandha) dan Rizal (lakonan Afieq Shazwan) berubah selepas malam penuh ghairah diantara mereka. Rizal meluahkan perasaan yang terbuku dihatinya dan melamar Datin Safieya, sekali gus ia memberikannya ultimatum kepada Datin Safieya untuk memilih Rizal atau suaminya, Dato Jefri (lakonan Zarul Husin). Bagaimanapun, Datin Safieya menolak lamaran Rizal, sebaliknya memilih keluarga dan anak perempuannya, Inara berbanding hubungan ‘terlarang’ mereka.
Rizal Patah Hati dan Hilang ‘Sumber Kewangan’, Pulang ke Kampung
Patah hati akibat lamarannya ditolak Datin Safieya, Rizal kembali ke kampung, sekaligus berhenti menjadi ‘anak ikan’ kepada Datin Safieya. Mak Ngah (lakonan Zarynn Min) tidak berpuas hati apabila menemukan Rizal sedang tidur di hadapan rumahnya. Tanpa berselindung, dia memaksa Rizal meninggalkan kampung dan kembali ke kehidupan ‘anak ikan’ kerana dia enggan ‘hidup miskin’ sekali lagi.
Ayuni ‘Ucap Tahniah’ kepada Datin Safieya di atas Kewujudan Anak Baru Suaminya
Ayuni (lakonan Erynn Abdullah) mendapati dia telah hamil dan berdepan dengan Datin Safieya dengan mengucap tahniah kepadanya kerana anak itu sebenarnya adalah milik Dato Jefri, pertemuan itu menyusul selepas ancamannya kepada Dato Jefri untuk mendedahkan hubungan mereka kepada Datin Safieya.
Dato Jefri dan Ibu Mertuanya Membuat Rancangan Jahat Untuk Merampas Sesuatu Secara Paksa dari Datin Safieya
Semua perbincangan sulit dan perbualan hangat antara Dato Jefri dan ibu mertuanya mendedahkan bahawa mereka sudah lama merancang untuk merampas harta pusaka Datin Safieya. Selepas terdengar perbualan antara ibu dan suaminya, Datin Safieya dengan santai menyebut mengenai pemindahan asetnya di atas nama suaminya kepada ibunya, lantas membuatkan wajah mereka ceria serta-merta, sekali gus mengesahkan lagi syak wasangka Datin Safieya.
Adakah Rizal dan Datin Akan Bersama Akhirnya?
Inara cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari ketika ingin menyambut kepulangan Rizal di kediaman Datin Safieya. Adakah Inara akan terselamat daripada kemalangan itu? Dan jika tidak, masihkah ada erti lagi hubungan Rizal dan Datin Safieya?
Perkara yang Dijangka di Episod Akhir
Dua episod terakhir akan tiba ke kemuncak dengan pendedahan besar tentang identiti sebenar Rizal dan masa depan hubungannya bersama Datin Safieya. Rancangan jahat dan licik Dato Jefri dan ibu mertuanya juga bakal terbongkar. Nantikan ‘finale’ yang akan disiarkan hujung minggu ini untuk mengetahui bagaimana kesudahan drama ini. Adakah anda telah bersedia?
‘Rampas Cintaku’ adalah drama bersiri 14 episod, sarat dengan plot twist, kisah cinta, dendam serta perhubungan yang rumit. Drama ini disiarkan secara global di aplikasi iQIYI dan www.iq.com/local dengan episod baharu setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam.