in , , , , , , ,

Filem ZOMBI KAMPUNG PISANG – Komedi Sinikal ala Mamat Khalid

Pada 3 April 2007 (Selasa), Sensasi Selebriti dijemput ke Malam Gala Filem Zombi Kampung Pisang di Golden Screen Cinemas Mid Valley. Terima kasih kepada Tayangan Unggul Sdn Bhd atas jemputan.

Berlangsung dalam majlis yang sederhana dengan dihadiri oleh para pelakon filem, krew produksi, penggiat seni perfileman, artis, selebriti, media wartawan dan penulis blog hiburan. Sebelum tayangan, hadirin sempat menjamah hidangan makan malam di Amarin Heavenly Thai Restaurant. Sedap dan lazat sekali menu juadahnya. Setelah perut kenyang, barulah dapat menonton filem arahan Mamat Khalid ini dengan lebih selesa.

Zombi Kampung Pisang Movie

Melihat kepada poster ‘gothic’ dan nama pelakon yang tertera, saya dah dapat meneka apa yang akan dipertontonkan. Di posternya ada Awie memegang obor api dikelilingi oleh mayat hidup. Ada sepasang tangan di hadapan mereka dalam suasana malam yang menyeramkan. Jelas menceritakan filem genre komedi seram ini mengisahkan tentang gelagat penduduk Kampung Pisang yang diserang hantu Zombi.

Nama-nama besar seperti Awie, AC Mizal, Zami Ismail, Nadia Mustafar, Soffi Jikan, Ezlynn dan Que Haidar pasti menjadi pertaruhan utama filem ini. Yang penting, filem ini bisa ‘memecahkan’ pawagam dengan ketawa penonton. Memang lawak habislah kan.

Sempat lagi tuh Zombi ni posing.

Sesiapa yang gemar dengan komedi ala Mamat Khalid yang sebelum ini pernah mengarah Lang Buana (2003), Rock (2005) dan Man Laksa (2006) pasti terpanggil untuk menonton filem ini. Bagi saya, filem ke-16 terbitan Tayangan Unggul ini menghiburkan dengan lawak-lawak yang ringan dan santai. Plot ceritanya senang difahami.

Tambah lagi, filem ini menggunakan garis masa yang selari (timeline) bermula dengan malam berakhir pada malam itu juga. Hanya sekali sekala penonton diberi imbas kembali tentang apa yang berlaku pada siangnya.

Tampil dengan unsur ‘spoof’. Menggunakan asap dan tata cahaya yang samar-samar untuk babak yang menggunakan ciri-ciri teknik filem jenis noir seperti mood, stail dan warna di dalam filem ini.

Sebuah lagu tema nyanyian Awie dan AC Mizal berjudul Zombifikasi (lirik ditulis oleh Mamat Khalid & ciptaan Shamril Salleh) turut berkumandang dalam filem ini.

Mesej tentang isu semasa seperti alam sekitar, vandalisme, mat rempit, gejala dadah dan budaya muzik rock turut diberi penekanan. Semangan patriotik juga diselitkan oleh Mamat Khalid dengan ada imej Tugu Negara dan nyanyian lagu negaraku. Mesej patriotik itu sampai walaupun disampaikan dengan humor.

Lagi pun, sebelum tontonan bermula hadirin disuruh bangun untuk menyanyikan lagu Negaraku. Lama tak nyanyi lagu Negaraku dalam panggung, rasa ralat pulak. Dulu, masa menonton wayang di zaman persekolahan dulu memang wajib nyanyi lagu Negaraku dalam panggung Lido Kota Bharu. Aduhai, semua itu tinggal kenangan manis…

Yang kelakarnya, semua mesej ini diselit-selit dalam adegan-adegan yang sukar untuk kita duga. Agak sinis juga Mamat Khalid bercerita. Begitu juga dengan karakter-karakter yang dibentuk dalam setiap watak. Semuanya mewakili masyarakat Melayu kita.

Mamat Khalid juga sudah terkenal dengan semangat anak jati Peraknya. Apa taknya, hampir semua pengambaran filemnya dibuat di Perak. Termasuklah filem ini dibikin di Kuala Kangsar.

Katanya, penggambaran dibuat sepanjang bulan puasa dan menelan belanja RM1.2 juta. Langkah menggunakan 100% loghat Perak sebagai medium jenaka adalah satu idea yang bijak. Lelucon yang bisa buat anda senak perut ketawa.

Satu lagi filem Mamat Khalid yang masih dalam pembikinan iaitu filem Kala Malam Bulan Mengambang.

Katanya menggunakan warna hitam putih seperti filem lama. Mamat Khalid sempat mempromosi filem  Kala Malam Bulan Mengambang dalam filem Zombi Kampung Pisang.

Saya tidak mahu bercerita panjang lagi. Apa kata, anda ke pawagam untuk mengikuti kisah penduduk Kampung Pisang ini selanjutnya. Gelaklah sampai anda menangis!

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam mulai 19 April 2007.

TRIVIA:

1.  Zombi Kampung Pisang sebuah filem ‘spoof’ melayu sentuhan Mamat Khalid.

2.  Dari hero romantik bermotor besar, Awie bertukar ke hero berkain pelikat menunggang motor kapcai.

3.  Que Haidar  – Deris yang suka bercakap besar tapi penakut.

4.  Filem kedua Que Haidar di bawah arahan Mamat Khalid selepas ‘Rock’.

5.  Zombi Kampung Pisang menjalani penggambaran sepanjang bulan puasa, selepas solat terawih hingga ke pagi.

6.  Membabitkan  kira-kira 100 penduduk kampung sekitar Kuala Kangsar.

7.  Filem melayu pertama menampilkan rupa bentuk ‘Zombi’ versi melayu

8.  ‘Zombi’ beerti mayat hidup.

9.  Hakikatnya, hantu jenis ‘Zombi’ tidak dapat ditemui (tidak pernah wujud) di kalangan masyarakat melayu atau keseluruhan masyarakat Malaysia .

10.Lakonan Mak Mah @ Ruminah Sidek tetap ‘happening’; memberangsangkan walaupun beraksi sebagai ‘Zombi’.

11.Banyak unsur patriotik yang ditonjolkan secara tidak langsung di dalam filem Zombi Kampung Pisang.

12.Salah satu babak dalam Zombi Kampung Pisang:- Awie bercakap dengan kamera seperti aksi allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam beberapa buah filem seperti ‘Masam Masam Manis’ dan ‘Keluarga 69’.   

13. Perkataan ‘Dahsyat giler ..!’ yang dituturkan oleh Awie dalam loghat Perak, kedengaran amat melucukan dan pasti meninggalkan kesan pada penonton.

14. Awie memang berasal dari Perak.

kredit: Tayangan Unggul Sdn Bhd

Ezlynn
Ezlynn ditemubual.
Antara selebriti yang hadir

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar & Rebiu Masa Pra Tonton Filem JANGAN PANDANG BELAKANG

Gambar Seksi Ebi Jadi Viral & Info Pelancaran Dafi FC Esok!