Perkataan ‘Waruga’ mungkin agak asing dalam kalangan orang Malaysia, namun ia bermaksud tempat persemadian mayat atau makam (kubur) orang yang meninggal dunia bagi kaum Minahasa yang wujud di Indonesia.
Mengikut kepercayaan Minahasa, jasad manusia yang meninggal dunia akan disemadikan di dalam Waruga dengan kedua-dua lutut dirapatkan ke dada seperti kedudukan bayi semasa dalam kandungan kerana dipercayai jasad berkenaan akan dilahirkan semula pada masa akan datang.
Melihat kepada keunikan kepercayaan tersebut, ia telah memberi ilham kepada D’ Ayu Pictures untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.
Pengarahnya, Azaromi Ghozali atau Romi berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan bermula dengan penceritaan seorang penulis bernama Gawar Sawba’yah mengenai kepercayaan kuno berkenaan.
“Pada masa sama, saya turut mempunyai sebuah idea cerita seram yang berkait dengan ilmu hitam dan pemujaan mayat, secara tak langsung ia berkait dengan tentang kepercayaan kaum Mihanasa ini. Jadi saya gabungkan dua idea ini maka terhasilnya filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.
“Filem ini menceritakan tentang ilmu hitam serta pemujaan untuk membangkitkan semula jasad orang yang telah mati. Saya memilih tajuk Waruga ini sebagai simbolik dan inspirasi kepada upacara kelahiran semula mengikut kepercayaan Minahasa.
Azaromi berkata, beberapa babak yang dipaparkan dalam filem itu tidaklah dipaparkan dengan terlalu extreme kerana terikat garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem demi menjaga sensitivity masyarakat.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa ia tidak menjejaskan jalan cerita dan babak-babak yang dirasakan tidak sesuai itu telah diringankan agar sesuai untuk ditonton dan filem berkenaan berjaya mendapat rating P13.
Bakal ditayangkan di pawagam pada 15 FEBRUARI 2024, Waruga: Kutukan Ilmu Hitam menampilkan barisan pelakon popular seperti Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Adik Putri Amirah Maisara dan Adik Syed Irfan.
Menjalani penggambaran di sekitar Lembang Klang pada Mac 2021 selama 20 hari, Azaromi menyatakan Waruga bukanlah sekadar sebuah naskhah seram semata-mata.
Jelasnya, filem terbaharu arahannya itu memberikan kelainan dengan menimbulkan banyak konflik hubungan yang diperkuatkan lagi dengan elemen seram.
“Untuk filem ini, saya menggunakan konsep ‘open ending’ supaya penonton boleh membayangkan sendiri apa kisah yang berlaku seterusnya.
“Apapun saya inginkan agar mereka yang menonton filem ini melihat dari sudut positif tentang mesej yang disampaikan, misalnya segelintir yang masih terpedaya dengan tipu daya iblis sehingga melakukan perbuatan yang sesat dan salam di sisi agama,” ujarnya.
Sementara itu, Penerbit D’ Ayu Pictures iaitu Dato Rosmarayu Mokhtar berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan filem seram kerana genre seram adalah salah satu kegemaran penonton tempatan dan sering mendapat sambutan baik.
Ujarnya, selepas kali pertama menerbitkan filem seram Harum Malam, dia merasakan Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang menelan kos pembikinan sebanyak RM1.8 juta menampilkan sebuah jalan cerita yang menarik yang diinspirasikan daripada sebuah kepercayaan kuno.
“Sudah tentu sebagai seorang penerbit, pastinya saya mengharapkan filem ini mendapat sambutan hangat penonton, terutama kepada penggemar filem seram. Dan buat masa sekarang saya telah dilamar oleh tiga syarikat pengedaran dari Indonesia bagi mengadakan tayangan serantak di sana. Filem Waruga juga bakal ditayangkan di negara Asean lain seperti Vietnam, Myammar, Singapura, Brunei dan Filipina.”
“Sekurang-kurangnya dengan kutipan memberangsangkan, mungkin filem ini nanti akan ada sambungan atau saya akan terus menghasilkan filem seram yang lain pula,” ujarnya.
SINOPSIS
Mengisahkan seorang penuntut ilmu perubatan tradisional iaitu Rewan yang tidak dapat menerima kematian isterinya. Rewan mula merayu kepada Mbah Usu Lijah yang merupakan guru perubatannya kerana dia tahu Mbah Usu Lijah memiliki ilmu membangkitkan jasad tanpa roh melalui kitab keturunan kaum Mihanasa. Walau bagaimanapun Mbah Usu Lijah tidak membenarkan ia berlaku kerana Rewan bukan dari keturunan tersebut dan jika inginkan juga ia perlu melalui beberapa fasa atau tempoh waktu. Sikap tidak sabar Rewan terlalu memuncak sehinggakan dia sanggup mencuri kitab tersebut serta membunuh Mbah Usu Lijah.
Sebelum semua kejadian ini berlaku, Rewan telah mengarahkan anak tunggalnya Yamin untuk keluar dari kampung itu supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini terhadap Yamin atas sebab kelakuannya. Selepas 10 tahun, Yamin telah menikahi seorang gadis bernama Ardila dan hidup tenang bersamanya. Walaubagaimanapun, Yamin merahsiakan tentang keluarganya dengan menyatakan ayah dan ibunya telah lama meninggal.
BARISAN PELAKON
Zahiril Adzim – Yamin
Elvina Mohamad – Ardila
Eriza Allya – Anom
Ruminah Sidek – Mbah Usu Lijah
Sahronizam Noor – Rewan
Along Eyzendy – Sarom
Ustaz Dinie – Imam Thoha
Syed Irfan – Yamin Kecil
Putri Amirah Maisara – Anom Kecil
Izzue Islam – Jawahir