Filem Khas Meraikan Hari Ponggal Dalam Slot Spice Of India Di TV2
Rakyat Malaysia sememangnya lebih sinonim mengaitkan perayaan sambutan kaum India dengan perayaan Deepavali dan Thaipusam. Namun hakikatnya dalam bulan Januari ini, mereka turut meraikan sambutan Hari Ponggal dikaitkan dengan masa menuai yang diraikan 14 Januari setiap tahun.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan Hari Ponggal ini dengan menyiarkan sebuah filem Tamil hebat, Vaaranam Aayiram yang menemui penonton sekitar tahun 2008 sebuah filem romantis yang ditulis dan diarahkan oleh Gautham Menon.
Menariknya filem disiarkan mengisi slot Spice Of India pada 15 Januari ini, jam 2.00 petang di TV2 ini menyaksikan pelakon utama Surya Sivakumar bertindak membawa dua watak berlainan dengan dibantu pelakon Sameera Reddy, Divya Spandana dan Simran Bagga.
Vaaranam Aayiram menggambarkan plot bagaimana seorang bapa sering membayangkan kehidupan anaknya sebagai seorang wira dan menjadi inspirasinya. Kisahnya bermula dengan memperkenalkan watak Krishnan lakonan Surya Sivakumar. Imbas kembali kematiannya yang berlaku secara tiba-tiba meninggalkan isterinya, Malini (Simran Bagga) dan anak-anaknya, Shyera dan Priya (Divya Spendana). Berita kematiannya sampai kepada anak lelakinya, Surya (Surya Sivakumar) yang menyertai misi ketenteraan. Surya sedih mengenangkan masa indah mereka sekeluarga bersama.
Penonton dibawa menyoroti kehidupan Khrishnan, pelajar kolej yang jatuh cinta dengan teman sekuliahnya, Malini. Mereka kemudiannya berkahwin dan dikurniakan anak, Surya yang dilayan dengan penuh kasih sayang. Khrishnan menganggap Surya seperti teman baiknya dan mereka berkongsi kisah suka duka bersama. Surya menyambung pengajian di Kolej Kejuruteraan di Tiruchi dan dia mengambil bahagian dalam kebudayaan dan bermain gitar. Di situlah dia berkenalan dengan gadis cantik bernama Megha (Sameera Reddy) dan jatuh cinta pandang pertama. Namun cintanya ditolak secara baik oleh Megha yang menganggap hubungan mereka terlalu singkat untuk ke fasa sebagai pasangan kekasih.
Surya kemudiannya menyambung pengajian di Universiti of California, Berkeley. Pada masa sama Krishnan diserang sakit jantung. Usaha Surya untuk tetap merebut cinta Megha akhirnya membuahkan hasil bila mana gadis itu menerimanya setelah melihat kesungguhan Surya.
Namun di saat kedua-duanya baru ingin bercinta, musibah berlaku apabila Megha terlibat dalam kejadian pengeboman yang berlaku di bandar Oklahoma. Situasi itu benar-benar meruntun hati Surya. Sejak itu kehidupannya tidak menentu hingga dia terlibat dengan gejala dadah.
Keluarganya begitu risau masa depan Surya. Kakaknya memperkenalkan Surya dengan teman baiknya, Priya. Namun itu tidak berjaya mengubah diri Surya sehinggalah apabila Surya memutuskan untuk melapangkan fikiran dengan bercuti. Dia terlibat dengan kejadian penculikkan berlaku depan matanya setelah melihat pihak berkuasa tidak bersungguh untuk menyelesaikan kes tersebut. Surya kemudiannya nekad menyertai anggota tentera atas nasihat Priya.
Enam tahun berlalu, Priya datang ke Akademi Tenteraan India dan meluahkan rasa cintanya terhadap Surya. Jodoh mempertemukan kembali mereka dan keduanya akhirnya berkahwin dan memiliki seorang anak.
Satu hari ketika menyertai misi menyelamatkan seorang wartawan yang diculik, Surya menerima berita kematian bapanya. Bagaimanakah Surya berdepan dengan situasi itu? Mampukah dia bertahan dengan dugaan yang menimpa?