“ONPAKU” adalahsebuah filem seram Jepun (art film) yang menceritakan tentang kesusahan dan keperitan perjalanan kehidupan seorang gadis bernama Sarah.
Percutian dan lawatan sambil bekerjanya bertukar menjadi kejadian penuh misteri apabila beliau mula menjejakkan kaki di sebuah rumah penginapan yang di panggil “minipaku”.
Di sinilah bermulanya Sarah mengetahui dan mencungkil tentang sejarah silamnya. Kehadiran Sarah sebenarnya adalah sebuah jemputan secara misteri tanpa dia sedari.
Shugo Fujii ialah seorang pengarah yang berasal dari negara Jepun. Beliau merupakan graduan California Institute of Arts dalam bidang perfileman. Dalam salah satu karyanya berjudul MIMICRY FREAKS, beliau merupakan pengarah Jepun pertama yang merangkul Anugerah Filem Asian Grand Prix di Festival Filem Brussels International Fantastic.
Shugo Fujii gemar mempamerkan kehidupan realiti sebenar manusia dalam setiap hasil kerjanya dari segi kesedihan, kegembiraan dan kesengsaraan. Emosi yang ditonjolkan itu mampu untuk mengganggu minda penonton agar lebih terbuka dengan kejadian kehidupan manusia yang sebenar dan isu sosial.
Filem “ONPAKU” merupakan hasil lakonan Josie Ho yang kedua ditayangkan di Malaysia pada tahun ini. Josie turut membintangi filem Rajah yang telah ditayangkan pada awal Mac 2023 bersama pelakon handalan tempatan iaitu Bront Palarae dan Shaheizy Sam.
Tiga babak Kontroversi Dalam ONPAKU Disunting
Tiga babak kontroversi dalam filem seram, Onpaku disunting pengedar filem itu sebelum naskhah berkenaan dihantar ke Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk dinilai.
Wakil pengedar filem itu, Bjarne Wong berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan filem terbitan produksi dari Hong Kong ini mendapat kelulusan penuh tayangan di Malaysia.
“Selain pengedar filem, saya juga pengarah. Justeru, saya sedia maklum mengenai garis panduan penapisan filem di Malaysia.
“Jadi, saya buat keputusan lebih awal babak yang harus disunting sebelum menyerahkan filem ini untuk dinilai LPF.
“Antara yang dibuang adalah babak membabitkan pelakon utama yang sangat ganas dan tidak sesuai ditonton umum.
“Babak lain yang turut disunting adalah paparan seorang nenek menghisap dada seorang wanita sebagai ritual ajaran sesat. Bagaimanapun, suntingan babak ini tidak mencacatkan jalan cerita,”
Wong menambah keputusan untuk membuat suntingan awal itu turut mendapat keizinan pengarah filem terbabit.
“Apa yang penonton lihat dalam filem ini di pawagam adalah hasil keputusan saya dan mendapat persetujuan Fujii.
“Saya rujuk Fujii sebelum buat suntingan. Untuk makluman, ‘trailer’ dan poster yang dikeluarkan di Malaysia berbeza dengan negara lain,”
Sinopsis Filem ONPAKU
Perjalanan dari Tokyo ke Hong Kong hanya mengambil masa selama lima jam, tetapi kedua negara ini sama sekali mengamalkan cara kehidupan yang berbeza. Sarah (lakonan Josie Ho) tiba di negara Jepun untuk membuat pelaburan hartanah sekali gus mengadakan percutian singkat untuk mencari ketenangan selepas berpisah dengan teman lelakinya. Segala persiapan telah diatur dengan baik terlebih dahulu sebelum tiba di negara itu termasuk penginapan hotel, perjumpaan bersama broker hartanah sehingga ke lawatan tapak.
Sejurus selepas ketibaannya, satu per satu perkara mula bertukar menjadi aneh dan tidak seperti yang dirancangkan. Ejen hartanah yang datang menjemputnya di lapangan terbang (lakonan Lawrence Chou) itu tanpa diduga merupakan kenalan masa lalunya. Kemudiannya dia dimaklumkan bahawa tempahan di sebuah hotel mewah yang ditempah awal telah dibatalkan berikutan penginapan tersebut ditutup khas buat Presiden Amerika Syarikat bersempena lawatan beliau ke negara tersebut.
Usaha untuk mendapatkan penginapan di hotel berdekatan juga gagal kerana kesemuanya telah penuh. Selepas melalui keadaan yang merumitkan, ejen hartanah berkenaan meletakkan Sarah di sebuah kediaman persendirian yang disewakan kepada tetamu untuk jangka masa pendek yang di panggil “minipaku”. Keadaan “minipaku” ini seolah-olah ditinggalkan dan kelihatan sangat usang dan menyeramkan. Tanpa melengahkan masa, setelah penat seharian melalui pelbagai dugaan, Sarah masuk ke dalam kediaman tersebut. Ketika mendaftar masuk, dia disambut baik oleh seorang wanita tua (lakonan Kazuko Shirakawa). Wanita itu seolah-olah mengenalinya dan ternanti-nanti akan ketibaan Sarah. Begitu juga dengan tetamu-tetamu yang lain.
Maka, bermulalah kejadian-kejadian aneh dan menyeramkan berlaku pada malam pertama penginapannya di minipaku tersebut. Keesokan paginya, Sarah cuba untuk meninggalkan minipaku tersebut tetapi malangnya dia dimaklumkan tiada penginapan lain yang kosong dan harus tinggal di situ beberapa hari. Apa yang Sarah tidak ketahui ialah ini adalah sebuah rumah yang mempunyai sejarah yang sangat misteri, menakutkan dan secara tidak langsung ada kaitan dengannya.
Minipaku ini pada masa yang sama sedang dalam siasatan pihak polis kerana berlaku kejadian kehilangan seorang wartawan yang sedang menyiasat rumah tersebut baru-baru ini. Berlaku kejadian aneh yang membawa kepada perhatian wartawan tersebut. Namun hasil siasatan membawa kepada penemuan rangka mayat dibawah papan lantai rumah berkenaan. Apa yang menjengkelkan lagi, apabila mayat tersebut dipenuhi dengan parasit ganas yang memakan mayat tersebut.
Detektif yang mengetuai siasatan ini (lakonan Kazuya Takahashi) percaya dan mengesyaki bahawa rumah penginapan ini menyimpan lebih banyak perkara yang misteri. Dengan apa yang berlaku dalam kehidupan peribadinya yang hampir membuat beliau kehilangan kerjayanya itu, dia yakin jika penemuan dan penyelesaian kes ini dapat membantu membaik pulih prestasi kerjayanya. Adik perempuannya merupakan seorang saintis di bahagian forensik turut bekerjasama membantu dalam siasatan kes ini. Pada awalnya, beliau menyangkal akan siasatan ini namun penglibatan beliau akhirnya membawa kepada kematian.
Dengan keadaan yang berlaku jauh dari apa yang dirancang sejak awal ketibaannya di Tokyo, lawatan Sarah ke negara itu berubah menjadi sebuah mimpi yang mengerikan.
Perkara yang mengejutkan lagi, apabila penjaga rumah penginapan minipaku itu memaklumkan bahawa Sarah mungkin sedang hamil dan kehadiran beliau ke rumah itu ibarat dia telah pulang kembali ke ‘rumah’ untuk melahirkan. Persoalannya apakah ini adalah permulaan atau pengakhiran misteri yang berlaku kepada diri Sarah.
Filem “ONPAKU” ini dibawah edaran Mega Films Distribution Sdn. Bhd. bakal bertemu penonton di semua pawagam berhampiran pada 31 OGOS 2023.