SEBELUM IBLIS MENJEMPUT BAKAL UNDANG MIMPI BURUK PENONTON DI MALAYSIA
Usai sukses menghadirkan igauan buruk kepada audiens di pawagam-pawagam Indonesia, filem bergenre seram, Sebelum Iblis Menjemput garapan sutradara terkenal, Timo Tjahjanto kini bakal menghantui peminat di Malaysia pada 20 September ini.
Sebelum Iblis Menjemput menjadi filem ke-9 tahun ini yang berjaya melepasi 1 juta penonton di Indonesia selepas 3 minggu ditayangkan. Dibarisi oleh pemain utamanya, Chelsea Islan dan Pevita Pearce, filem ini diklasifikasi amat seram apatah lagi sosok hantu dimunculkan sangat mengerikan dengan keberkesanan lakonan pendukung lainnya seperti Samo Rafael, Karina Suwandi, Ruth Marini dan Ray Sahetapy.
Mengangkat simbolik; “Dia akan datang! Saat ia datang, tak ada satu pun tempat yang aman untuk berlindung.” Justeru, dua kalimat itu digambar amat bertepatan terhadap emosi penonton saat menyaksikan sendiri kengerian sang iblis melakukan kejahatan terhadap golongan manusia.
Begitupun, esensi Sebelum Iblis Menjemput tidak melulu tertumpu mengenai kepandaian iblis menguasai kotak fikiran manusia. Adegan seram yang dipertontonkan sebaliknya bakal membuai mental peminat menerusi sekuen mencengkam satu demi satu sepanjang filem tersebut ditayangkan di layar lebar.
Sekalung pujian harus diberi buat pelakon utama, Chelsea yang nampak sangat natural dalam mengendong wataknya sebagai Alfie. Pelbagai adegan yang perlu dilakukannya termasuklah beraksi di liang lahad bersama tengkorak manusia dalam keadaan hujan. Bahkan, kerja keras Pevita Pearce (Maya) sehingga harus beradegan mandi lumpur di hutan dalam cuaca sejuk menusuk juga wajar memperoleh segudang kebanggaan.
Menerusi Sebelum Iblis Menjemput, Chelsea mahupun Pevita ingin membuktikan bahawa filem seram ini juga memerlukan kualiti tinggi berserta komitmen total sebagai pelakon utama ataupun pendukung.
Sebelum Iblis Menjemput yang diedarkan oleh Ideate Media untuk pasaran Malaysia akan menganjurkan malam gala di Kuala Lumpur pada 13 September ini yang dihadiri oleh pengarahnya, Timo serta Chelsea dan Pevita dengan SukaSucre Creatives sebagai agensi promosi serta publisiti di negara ini.
Sertai Festival Antarabangsa
Saat Sebelum Iblis Menjemput yang diumum memasuki pawagam di Malaysia, pada waktu yang sama filem ini menerima perkhabaran gembira apabila diundang sempena L’Etrange Festival Paris 2018 sekali gus menebar pengaruhnya ke seluruh Eropah.
Diberikan judul antarabangsa; May The Devil Take You, filem ini terpilih berdasarkan oleh penilaian panitia penyelenggara bersama 21 buah filem lain di serata dunia dalam kategori Feature Length Competition. Tidak ketinggalan, ia turut bersaing dalam nominasi Public Choice Award sepanjang 5 hingga 16 September ini berlangsung festival tersebut.
Lebih membanggakan, filem ini juga dipilih untuk tayangan rasmi di Austin, Texas sempena Fantastic Fest 2018 yang akan berlangsung dari 20 hingga 27 September ini dan juga di BFI London Film Festival pada Oktober 2018.