Setelah berjaya meraih kutipan sebanyak RM3.5 juta dan kekal dalam ‘Top 10’ selama 7 minggu berturut-turut di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bagi filem blokbuster pembukaan tahun 2024, Anak Perjanjian Syaitan 2, pengarah dan penerbit terkenal, Dr. Ahmad Idham kini kembali dengan filem komedi seram terbaharu arahannya, Saka Perawan yang bakal menjejaki pewarisnya di pawagam bermula 27 Jun 2024!
Grand Brilliance Studio dengan kerjasama Primeworks Studios selaku pengedar dan rakan pemasaran menerusi Saka Perawan menampilkan barisan pelakon komedi ‘Legend’ dan baharu seperti Azlee Senario, Yassin Senario, Datuk Fauziah Nawi, Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nidzam, Afieq Shazwan, Dato’ Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak, Atu Zero, Mamak Puteh, Anne Abdullah dan Zalif Sidek.
Saka Perawan mengisahkan tentang misteri di sebalik penyakit misteri nenek yang berusia 80 tahun telah membuatkan anak-anaknya menjadi bingung. Setiap kali selepas Maghrib, keadaan nenek akan merosot dan nazak, tetapi sebaik sahaja mencapai pukul 5 pagi, keadaannya kembali normal dan hanya terbaring di katil. Sudah hampir sebulan nenek terbaring sakit dan doktor perubatan juga tidak mempunyai jawapan untuk penyakit misteri nenek ini.
Ternyata, akibat perbuatan lampau nenek, beliau yang berada di ambang kematian dan saka yang dimiliki oleh nenek perlu diturunkan kepada cucu perempuan yang masih perawan sebelum nenek meninggal dunia. Jadi, apakah pengakhiran cerita di sebalik penyakit misteri nenek ini, dan adakah nenek berjaya menjejakkan pewaris Saka Perawan ini?”
Filem ini telah menjalani sesi penggambaran pada tahun lalu dan akan ‘merasuk’ penonton di pawagam mulai 27 Jun 2024. Ia terus membawa keterujaan penonton, apabila poster dan video iklan acah berdurasi 15 saat berjaya mencecah lebih daripada 140 ribu capaian apabila dikongsi kepada penonton melalui media sosial. Ikuti perkembangan terkini mengenai promosi filem ini dari masa ke semasa.
Mari kita lihat siapa yang kena!