Setelah bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu Dato Awie kini diberi peranan sebagai seorang pengarah.
Menariknya, Awie telah dipilih untuk bertindak selaku pengarah menerusi sebuah filem aksi berjudul REBEL: Berontak Untuk Berotak.
Bercerita lebih lanjut tentang permulaan beliau diberikan peluang mengarah filem, Awie memberitahu ia berlaku setelah pertemuan dengan Allahyarham Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London.
“Arwah bersama penerbit datang berjumpa saya dan kami berbincang mengenai filem Rebel, namun agak terkejut apabila mereka turut menawarkan saya mengarahkan filem ini.
“Secara jujurnya, saya anggap ini satu tanggungjawab yang besar. Apapun saya terharu dengan peluang yang diberikan dan menerimanya dengan hati terbuka,” ujarnya.
Menariknya, filem berkenaan menampilkan dua pelakon lelaki popular iaitu Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, selain Shiqin Kamal, Azlan Komeng dan Awie sendiri yang turut berlakon.
Rebel: Berontak Untuk Berotak mengisahkan tentang perseteruan antara dua individu iaitu Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique), meskipun mereka berada dalam sebuah pertubuhan yang sama.
Biarpun idea dan cerita asal filem Rebel ini adalah cetusan daripada dirinya sendiri, Awie menyatakan jalan ceritanya langsung tiada berkaitan dengan mana-mana pihak atau pertubuhan.
Jelas Awie, apa yang ingin dipaparkan olehnya adalah tentang proses ‘baik pulih’ dalam sesebuah pertubuhan yang mungkin ada berlaku sebarang kepincangan.
“Selain itu, intipati paling utama yang ingin saya paparkan adalah sikap ‘rebel’ atau memberontak yang ada dalam diri dan jiwa seorang individu.
“Dalam kehidupan ini, setiap manusia tak ingin dilahirkan nak jadi jahat. Tentu ada punca yang membuatkan individu itu ada sikap ‘rebel’ dalam dirinya, Itu yang saya ingin tonjolkan dalam filem ini,” ujarnya.
Mengenai pemilihan Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, Awie merasakan sudah tiba masanya untuk industri perfileman menampilkan muka-muka baharu berlakon dalam filem aksi.
“Memang saya rancang untuk tampilkan pelakon seperti Ben Amir yang sebelum ini lebih dikenali dengan naskhah romantik. Jadi, saya cuba nak ubah dia untuk menjadi hero dalam filem aksi pula.
“Begitu juga dengan MK yang lebih menonjol dalam bidang nyanyian dan sudah mula aktif berlakon. Sepanjang penggambaran, saya lihat dia mempunyai kebolehan dan bakat yang besar,” jelasnya.
Memandangkan Rebel ini merupakah naskhah sulung buat dirinya selaku pengarah, Awie meletakkan harapan yang tinggi agar filemnya itu dapat diterima penonton.
Ujarnya, setelah agak lama bergelar seorang pelakon, sudah tiba masanya untuk dia menonjolkan dirinya sebagai pengarah.
“Tidak dinafikan tugas menjadi pengarah itu lebih sukar berbanding pelakon. Namun, sekurang-kurangnya saya belajar banyak perkara.
“Untuk filem pertama ini mungkin ada beberapa kelemahan dan kekurangan, tetapi saya akan perbaiki sekiranya mendapat peluang sebegini pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Zamin Fakry Zainol selaku penerbit berkata, pemilihan Awie selaku pengarah dibuat lantaran pengalaman luas beliau dalam bidang lakonan.
Maka, pihaknya merasakan sudah tiba masanya untuk Awie diberi peluang meraih pengalaman sebagai seorang pengarah filem.
“Sudah banyak filem yang beliau berlakon dengan pelbagai watak yang pernah dilakonkan. Jadi, kami begitu yakin pengalaman yang dimiliki itu dapat diterjemahkan pula apabila beliau duduk di kerusi pengarah.
“Sepanjang penggambaran dilakukan kami lihat beliau melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ia dibuktikan dengan filem ini,” jelasnya.
Pada masa sama, Zamin juga berharap agar filem Rebel ini akan mendapat tempat serta memberikan impak kepada penonton terutama sekali penggemar filem aksi.
“Sudah tiba masanya penonton dapat menonton karya sulung daripada Awie, apatah lagi jalan cerita dan idea asal adalah daripada beliau sendiri.
“Kami juga yakin peminat yang suka kepada filem-filem genre aksi berpuas hati dengan naskhah yang dihasilkan ini,” ujarnya.
Dihasilkan dengan kos hampir RM1 juta, filem Rebel akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 MEI 2024.
SINOPSIS
Luka, seorang pemuda yang berasal dari penempatan setinggan, membesar dalam keadaan serba kekurangan dan di kelilingi elemen-elemen yang tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran dan gangsterism. Walaupun berasal dari persekitaran sedemikian, Luka tetap cuba untuk menjalani kehidupan yang normal. Luka bagaimanapun mempunyai satu sifat yang membezakan dirinya dengan orang lain seperti tidak boleh menahan diri jika melihat ketidakadilan berlaku di depan matanya.
Pada masa sama, berlakunya perseteruan antara Luka dan Bono, seorang budak nakal yang sering mengganggu ketenteraman di situ. Berlaku pergaduhan ketika mereka remaja apabila Bono dan gengnya cuba memeras ugut gerai ibunya. Pergaduhan itu tidak memihak kepada Luka, tetapi ia merupakan titik perubahan dalam hidupnya. Dia mula memberontak dan menentang ketidakadilan yang berlaku di sekelilingnya.