Dipilih untuk disiarkan kepada penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada hari seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, pukul 9.30 malam menerusi TV2, filem ini dibintangi oleh pelakon handalan Kangana Ranaut, Lisa Haydon dan Rajkummar Rao.
Bukan suatu yang mudah bagi seorang wanita berdepan dengan hakikat majlis perkahwinan yang dirancang gilang-gemilang dibatalkan begitu sahaja. Pelbagai kemungkinan dan umpat keji diterima daripada orang sekeliling meskipun sedar tiada siapa pun yang inginkan situasi tersebut berlaku dalam diri seorang gadis yang bakal berumahtangga.
Namun berbeza dengan semangat jati diri gadis bernama Rani yang bermaksud Ratu dalam bahasa Hindi. Seorang pengantin muda naif dari Delhi yang kecewa ketika tunangannya, Vijay membuat keputusan mengejut membatalkan perkahwinan mereka dua hari sebelum tiba hari mereka disatukan.
Tindakan Vijay benar-benar mengecewakan Rani namun dia bangkit semula dengan meneruskan hasratnya mengujungi Eropah dimana mereka dijadualkan pergi berbulan madu bersama. Meskipun bersendirian Rani tetap dengan keputusannya untuk melawat dan bercuti ke bandaraya Paris dan Amsterdam.
Di Paris, Rani telah berjumpa dengan seorang wanita dikenali sebagai Vijaylakshmi. Sejak itu mereka mula bersahabat dan menjalinkan hubungan baik. Lebih manis persahabatannya dengan wanita itu berjaya membantu Rani menjadi orang baru yang lebih berani dan yakin pada diri sendiri.
Kemuncaknya Rani kembali ke India sebagai seorang wanita yang memiliki personaliti dan jati diri yang baru. Dirinya tampil lebih berkeyakinan dan menghargai diri sendiri berbanding sebelumnya. Rani tidak mahu menoleh ke belakang dan kembali kecewa dengan tindakan Vijay meninggalkannya.
Konflik terjadi bila mana muncul seseorang yang menagih kembali cinta kepadanya. Adakah Rani sanggup mengetepikan prinsip hidupnya untuk orang itu? Atau pun terus melangkah ke depan dengan semangat jitu untuk mendapatkan jodoh yang lebih baik berbanding sebelumnya? Ikuti kesudahan filem ini di TV2.