Depp yang tampil menerusi satu temu bual bersama The Sunday Times mendedahkan perkara tersebut selepas filem Minamata lakonannya tidak ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) sedangkan ianya sudahpun ditayangkan di semua pawagam di UK beberapa hari lalu.
Menurut Depp, filem tersebut wajar ditonton orang ramai kerana mesej yang terdapat didalamnya. Namun keputusan mereka untuk tidak menayangkan filemnya di Hollywood dan mengaitkannya dengan isu peribadinya pasti akan memberikan kesan yang tidak baik kepada keseluruhan produksi Minamata.
“Apa yang saya lalui, biar saya saja lalui. Tapi, paling utama bahagian tertentu dalam hidup saya ini memang tidak masuk akal.
“Mereka yang dalam Minamata pula berdepan apa? Ada orang menderita Covid-19? Ramai orang kehilangan nyawa mereka.
“Ini memberi kesan kepada semua dalam Minamata, kepada yang berdepan pengalaman sama, atau apa-apa saja.
“Saya diboikot Hollywood? Seorang diri, aktor yang terperangkap dalam situasi kacau-bilau, sejak beberapa tahun kebelakangan ini?”
– Johnny Depp
Tayangan perdana Minamata sebelum ini telah diadakan di Berlin International Film Festival pada 21 Februari 2020 sewaktu Covid-19 baru mula menyerang banyak negara di dunia dan dijangka ditayangkan di pawagam pada Februari 2021.
Ia bagaimanapun ditangguhkan kepada Ogos 2021 di UK, dan Jepun pada September 2021, namun tiada tarikh penetapan tarikh untuk tayangan di AS.
Ramai yang kemudiannya mengkritik penangguhannya di AS antaranya pengarah filem itu sendiri, Andrew Levita yang mendakwa MGM sengaja ‘menguburkan’ filem tersebut kerana mengaitkan isu peribadi Depp. MGM bagaimanapun kemudiannya menyangkal dakwaan tersebut.
Isu mengenai masa depan Depp bersama industri Hollywood sudah lama menjadi perhatian pengulas dan peminat selepas dia digugurkan dari membintangi watak Gellert Grindelwald filem Fantastic Beast pada awal November tahun lalu ekoran dari kekalahannya di dalam kes saman fitnah membabitkan akhbar The Sun yang mendakwanya mengasari bekasi isterinya.
Namun dia masih mendapat tempat dihati peminatnya yang yakin bahawa dia bukanlah seoarang ‘kaki pukul’ seperti yang didakwa Heard.
Depp sebelum ini berkahwin dengan Heard, pada tahun 2015 namun berpisah dua tahun kemudiannya.