FILEM-FILEM MENARIK MALAYSIA DAN INDONESIA MENGISI SLOT SINEMA JUMAAT SEPANJANG JULAI DI TV2
Tidak banyak bezanya antara penduduk negara kita dengan Indonesia yang dianggap masyarakat serumpun. Justeru dalam menjunjung semangat rumpun Melayu itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghidangkan filem-filem Malaysia dan Indonesia mengisi slot Sinema Jumaat yang sesuai ditonton untuk seisi keluarga.
Menariknya sepanjang Julai 2009 ini, RTM mempertontonkan filem-filem Mendam Berahi (3 Julai 2009), Olala Mbok Idur (10 Julai 2009), Black Maria (17 Julai 2009) dan Bilut (31 Julai 2009), setiap Jumaat, jam 12.30 tengah hari di TV2.
Bermula dengan Mendam Berahi mengisahkan semasa pemerintahan Kesultanan Melaka pada 1511, angkatan Portugis telah menyerang Melaka, Kapal Mendam Berahi di bawah pemerintahan Laksamana Khoja Hassan telah lari meninggalkan Melaka bersama dengan harta dan kaum keluarganya, Kapal Mendam berahi tidak dapat lagi dikesan sehingga kini.
Selepas lebih kurang 500 tahun, kerajaan Malaysia telah melantik sebuah agensi untuk mengesan kapal Mendam Berahi tersebut. Madam X, agen yang dilantik telah mengarahkan ketiga-tiga serikandinya iatu Edsa, Tania dan Sara di bawah latihan Komander Jiman untuk mengesan kewujudan kapal tersebut di kepulauan Sulu.
Mendam Berahi membariskan pelakon-pelakon Rita Rudaini, Shaleen Cheah, Tracy Trinita, Jalaluddin Hassan, Mega Utami, Zami Ismail dan Eizlan Yusoff.
Menyusul filem Indonesia, Olala Mbok Idur pula mengajak penonton berkongsi kisah pasangan Rudi yang baru berpisah dengan isterinya, Ineke. Apa terjadi bila Rudi menyamar menjadi pembantu dan pengasuh tiga anaknya di rumah bekas isterinya yang kaya raya itu? Atau Ineke akan sedar masih tetap memerlukan kehadiran Rudi? Sama-sama berkongsi watak dilakonkan Wulan Guritno, Arie K Untung, Yuki Kato, Randy Martin dan Irene Tanesya.
Diteruskan Black Maria yang mengetengahkan plot berlatar misi bekas tentera elit, Azman (Eizlan) mengamalkan undang-undang sendiri dalam memburu pembunuh isterinya. Dia menghapuskan setiap ketua penjahat sebagai dendam peribadi. Satu malam, Azman berjaya menyelamatkan seorang gadis, Maria (Lisdawati), yang hampir dibunuh oleh pembunuh dan perogol bersiri, Psycho (juga bertanggung jawab terhadap kematian isterinya).
Tirai slot tontonan ramai sepanjang Julai 2009 ini diakhiri dengan filem Bilut gandingan lakonan Rosyam Nor, Eja dan Rusdi Ramli yang memaparkan situasi berlaku tahun 2006, pembuat filem dokumentari dari Australia, Gabriel tiba di Malaysia dalam usahanya mengumpul maklumat sambil melihat dan mengalami sendiri perkembangan serta kemajuan yang telah dibuat FELDA. Di Kuala Lumpur, Gabriel bertemu Yusuf yang juga rakannya semasa sama-sama belajar di universiti di Brussels pada tahun 1976. Yusuf ialah anak peneroka yang sudah berjaya dan kini seorang eksekutif kanan FELDA.
Bermulalah kisah peneroka pada tahun 1960 di mana salah seorang daripada mereka ialah bapa Yusof iaitu Yazid, peneroka pertama di tanah rancangan FELDA Bilut. Yazid, sebagai ikhtiar untuk memperbaiki kehidupannya serta isterinya, Aisyah dan anak-anak mereka Yusof, Asmah dan Yamin diterima sebagai peneroka pertama di tanah rancangan FELDA Bilut. Di situ Gabriel mula meneroka satu-persatu kisah kepayahan dan kesungguhan bergelar anak felda.
Justeru usah lepaskan peluang beristirehat sambil mengisi waktu senggang Jumaat anda dengan menonton slot Sinema Jumaat yang membariskan filem-filem Mendam Berahi (3 Julai 2009), Olala Mbok Idur (10 Julai 2009), Black Maria (17 Julai 2009) dan Bilut (31 Julai 2009), setiap Jumaat, jam 12.30 tengah hari di TV2.