Senarai barisan pelakon untuk filem biopik lagenda Badminton Malaysia Dato’ Lee Chong Wei akhirnya telah didedahkan.
Filem yang diberi judul “Lee Chong Wei” itu sudah pun siap menjalani penggambaran pada Ogos 2017 dan dijangka akan ditayangkan pada suku pertama 2018.
Kesemua barisan pelakon telah diperkenalkan semalam dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh pemain badminton nombor satu negara itu.
Datuk Rosyam Nor bakal membawa watak sebagai jurulatih Chong Wei iaitu Misbun Sidek, manakala pelakon wanita Malaysia Yeo Yann Yann dan pelakon Singapura Mark Lee pula akan membawa watak sebagai ibu bapa Chong Wei.
Pendatang baru Jake Eng dan Tosh Chan pula akan membawa watak Chong Wei ketika kecil dan remaja, sementara Ashley Hua akan membawa watak sebagai cinta hati Chong Wei, Wong Mew Choo.
Ketika sidang media berlangsung, Chong Wei turut memberitahu bahawa dia turut terlibat dalam filem itu.
“Penampilan saya dalam filem ini hanya kecil dan ketika saya menjalani penggambaran saya menyedari ia sangat sukar. Saya lagi sanggup menjalani latihan badminton!,” seloroh pemenang pingat perak Olimpik itu.
Dato’ Lee Chong Wei (tengah) bergambar bersama barisan pelakon yang membawa watak sebagai dirinya ketika kecil dan remaja dalam biopik “Lee Chong Wei”.
Dalam pada itu, Chong Wei berkata sepanjang penggambaran filem itu berlangsung, dia tidak banyak mebabitkan diri dalam pembikinan kerana mempunyai kepercayaan tinggi terhadap pengarah Teng Bee.
“Saya sangat teruja untuk filem ini. Tidak pernah dalam hidup saya terfikir yang kisah hidup saya akan diangkat menjadi filem. Jadi saya ingin berterima kasih kepada keluarga dan semua yang sentiasa menyokong saya,” tambahnya.
Pengarah filem biopik, Teng Bee terkenal dengan filem arahannya sebelum ini iaitu “Kepong Gangster” dan “Kepong Gangster 2”.
Filem ini akan turut dibintangi oleh Freddie Wong, Bernard Hiew, Uriah See dan Dato’ Norman Pang.