in , ,

Sinopsis Filem Korea LUCK KEY

Benarkah cinta mampu melembutkan hati seorang penjenayah yang penuh dengan kebencian dan kekejaman? Setujukah anda masih ada kuasa cinta yang dapat mengubah seseorang kembali menghargai nyawa yang diberikan Allah.

Mengisi slot Layar Asia di TV2 pada 5 Januari ini, pukul 10.00 malam sebuah filem Korea bertajuk LUCK KEY yang memaparkan seorang lelaki pembunuh upahan hilang ingatan sementara selepas terjatuh. Pada waktu hilang ingatannya identiti dirinya telah dicuri oleh seorang lelaki dan identiti mereka bertukar. Dia kemudiannya jatuh cinta dengan gadis yang menjaganya sehingga sembuh.

Filem Korea LUCK KEY

Cinta Lembutkan Hati Penjenayah Dalam Filem Korea LUCK KEY di TV2     

Menampilkan lakonan mantap Lee Joon, Lim Ji Yeon, Yoo Hae Jin, Jeon Hye Bin, dan Jo Yoon Hee, ia menyorot kisah watak utama iaitu Hyung Wook yang dianggap seorang pembunuh upahan, tetapi hakikatnya dia tidak pernah membunuh. Beliau hanya membantu menukar identiti orang yang disasarkan untuk dibunuh. 

Jae Sung pula seorang pelakon sambilan. Mereka yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain terserempak di sebuah bilik mandi awam. Hyung Wook terjatuh dan didapati hilang ingatan secara sementara apabila bawa ke hospital. 

Situasi itu membuatkan Jae Sung mengambil kesempatan untuk menukar kunci lokarnya dengan kunci lokar beliau ketika Hyung Wook terjatuh dan mencuri maklumat identiti termasuk kunci rumahnya. 

Hyung Wook yang kini dikenali sebagai Jae Sung balik ke suasana kehidupan asal Jae Sung dan mula kehidupan baru. Dia menjadi rapat dengan Kang Ri Na, seorang gadis yang membantunya untuk memulakan kehidupan baru. Hyung Wook mula bekerja di kedai kek Kang Ri Na dan perniagaan mereka berkembang maju. Beliau juga menjadi seorang pelakon yang terkenal. 

Jae Sung pula menikmati kekayaan Hyung Wook. Pada suatu ketika ingatan Hyung Wook pulih seperti sedia kala dan dia dapat mengecam Jae Sung dan apa yang terjadi kepadanya. Sebelum itu Jae Sung berkenalan dengan Song Eun Joo seorang wanita yang turut menghuni di apartmen Jae Sung. 

Song Eun Joo diburu oleh beberapa orang samseng kerana memiliki sepucuk Pemacu Pena yang mengandungi rahsia korporat beberapa orang peniaga besar. Jae Sung dan Hyung Wook juga turut diburu kerana berkenalan dengan Song Eun Joo.

Akhirnya mereka berpakat menipu ketua samseng itu dan cuba melepaskan diri serta memulakan kehidupan biasa. Berjayakah cubaan mereka untuk kembali memulakan kehidupan seperti biasa? Ikuti kesudahannya di TV2.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Profile Sophia Fredskild 

Dokumentari KHAZANAH BORNEO di TV1