Berita baik buat penggemar filem klasik yang sebelum ini masih mencari-cari saluran TV mana yang menyiarkan antara filem lama yang sememangnya mempunyai pengikutnya sehingga kini apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan slot khas menyiarkan filem klasik popular menerusi slot Pilihan Jumaat di TV2.
Saksikan barisan tayangan filem-filem klasik Melayu dan Hindi dibintangi oleh pelakon-pelakon popular pada zamannya dan ada yang masih dikenali sehingga sekarang sepanjang Disember ini bermula dengan filem Panji Semerang (6 Disember), Adik Manja (13 Disember), Jurang Bahaya (20 Disember) dan diakhiri Bobby (27 Disember), setiap Jumaat; pukul 2.00 petang.
Imbas kembali lakonan hebat dan berkesan pelakon berpengalaman Saadiah, Aziz Jaafar, S. Kadarisman, Dayang Sofia dan Normadiah dalam filem Panji Semerang yang diterbitkan pada tahun 1961. Filem menarik ini diarahkan oleh pengarah tersohor Omar Rojik.
Kongsikan babak-babak lucu dan mencuit hati dalam filem Adik Manja lakonan Dharma Harun, Noor Kumalasari, Adibah Amin, Shasha dan Noraini Hashim. Filem arahan Othman Hafsham ini mengisahkan seorang guru muda, Cikgu Azmi ditawarkan mengajar di sebuah sekolah perempuan. Reaksi pelajar amat menggelikan hati, kerana pertama kali guru lelaki ditugaskan di situ. Sebelum melaporkan diri, dia terjumpa dengan seorang bayi yang ditinggalkan di sebuah klinik lalu dibawanya ke sekolah itu. Bayi itu telah menimbulkan reaksi yang melucukan di kalangan pelajar dan pengajar. Cikgu Bedah tidak senang dengan kehadiran Cikgu Azmi lalu berusaha menyingkirkan Cikgu Azmi. Cikgu Azmi mendapat bantuan menjaga bayi tersebut daripada seorang cikgu muda, Sharina dan beberapa pelajar yang lain. Perhubungan dia antara Cikgu Azmi dan Cikgu Sharina menimbulkan gosip kononnya anak itu adalah hasil hubungan sulit mereka berdua. Dalam masa yang sama timbul masalah seorang pelajar yang cuba membunuh diri kerana kecewa dalam percintaan.
Menyusul kemudiannya filem Jurang Bahaya yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1968. Filem Jurang Bahaya diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna dan diarahkan oleh pengarah Low Wai. Ia menampilkan lakonan berkesan Jins Shamsuddin, Landi Chang dan Shen Yi.
Sesuatu yang ditunggu-tunggu pastinya tayangan filem Hindi Klasik, Bobby yang pernah mencatuskan fenomena tersendiri di kalangan penonton dan peminat setia filem Hindi. Imbas kembali perjalanan kisah watak Nath terkenal dengan gaya hidup yang sangat kaya raya di India dengan isterinya, Sushma bersama seorang anak lelaki tunggal, Raj, berumur 6 tahun. Nath dan Sushma masing-masing menjalani kehidupan yang sangat sibuk hingga tanpa sedar mengabaikan Raj yang kemudiannya menerima kasih sayang sepenuhnya daripada orang gajinya, Braganza. Malah Raj juga telah menganggap Braganza seperti ibunya sendiri.
Selepas itu Raj telah didaftarkan oleh ayahnya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh jauh dari tempat tinggalnya. Sejak itu hubungannya dengan Braganza terpisah tanpa sebarang khabar berita. 12 tahun kemudian, Raj kembali semula ke pangkuan keluarganya. Tiada banyak benda yang berubah kecuali ketiadaan Braganza di rumah itu. Dia telah dipecat oleh Sushma.
Pada parti hari jadi ke-18, Raj buat pertama kalinya bertentang mata dengan gadis genit bernama Bobby yang mempunyai hubungan darah dengan Braganza. Dia menyedari dirinya jatuh cinta dengan gadis tersebut. Malangnya hubungan tersebut mendapat tentangan hebat daripada ayah dan ibunya yang beranggapan keluarga gadis itu tidak setaraf dengan keluarga mereka yang hebat dan kaya raya. Setelah puas dipujuk keluarga Raj setuju bertemu keluarga Bobby. Namun dalam pertemuan itu keluarga Bobby telah diaibkan dengan teruk oleh ayah dan ibu Raj.
Ini tidak menghalang Raj dan Bobby daripada terus bertemu, sehingga Nath memberi kata dua kepada Raj jika meneruskan hubungan dengan Bobby. Syarat yang membenarkan mesti mencapai umur 21 untuk menjadi suami isteri digunakan sepenuhnya oleh Nath dalam menyekat hubungan tersebut.
Raj memutuskan untuk menunggu selama 2 tahun lebih untuk menentukan kesudahan hubungannya dengan Bobby. Raj akan sedar bahawa ibu bapanya telah pun mempunyai calon lain untuk dipilih sebagai isterinya iaitu Alka Sharma, satu-satunya anak perempuan hartawan terkenal Mr Sharma. Lalu bagaimanakah kesudahannya kisah cinta yang menyayat hati ini?