Menerusi filem arahan M. Amin yang turut melonjakkan lagu Hapuslah Air Matamu dendangan Datuk Sharifah Aini dan lagu Seiring Sejalan kolaburasinya bersama Broery Marantika, tayangan filem ini pastinya dapat mengubat kerinduan peminat terhadap lakonan artis kesayangan ramai Datuk Sharifah Aini di awal kemunculannya dalam bidang seni.
Imbas kembali perjalanan ceritanya mengisahkan seorang penyanyi yang berasal dari kampung, Aini (Sharifah Aini) lupa daratan setelah terkenal sebagai artis rakaman. Aini yang pada mulanya seorang gadis kampung yang bersopan santun serta berbudi tinggi berubah sikap menjadi angkuh apatahlagi bila dirinya mula dikenali ramai.
Atas galakan Adi (Latiff Ibrahim), kekasihnya yang sedang menuntut di universiti dia berjaya menjadi seorang penyanyi tersohor dan mengumpul ramai peminat. Adi pada masa sama begitu menyokong cita-cita Aini dan sering membantunya dalam segala hal.
Sementara itu pengurus syarikat piring hitamnya memberi peluang Aini untuk berpadu suara dengan penyanyi terkenal Indonesia, Broery (Broery Marantika). Tanpa diduga, lagu yang menggabungkan mereka diterima ramai baik di Malaysia mahu pun di Indonesia.
Sejak itulah bermula titik kejayaan dalam kerjayanya sebagai penyanyi yang menyebabkan namanya semakin terkenal dan menjadi rebutan syarikat piring hitam.
Ketika itu juga kelab-kelab malam telah menawarkannya membuat persembahan dengan bayaran yang tinggi. Semasa Aini dengan Broery di Indonesia, dia berubah menjadi angkuh dan sombong. Aini merasakan dirinya hebat dan hanya layak di dampingi oleh orang-orang kaya dan terkenal. Kemuncaknya dia melupai janji-janjinya yang lalu terutama kepada ibu dan kekasihnya.
Lebih menyedihkan apabila ibunya pergi ke kelab untuk menemuinya, dia memarahi serta menghina ibunya menyebabkan ibunya merajuk lalu jatuh sakit. Justeru masih adakah ruang buat Aini kembali ke pangkal jalan?