Astro Shaw Sdn Bhd dengan kerjasama Double Vision Pictures Sdn Bhd bakal mempersembahkan sebuah cerita komedi alih suara ekslusif untuk tayangan di Astro First yang berjudul “Kawan-Kawanku Hantu”
Filem alih suara ini diambil daripada sebuah filem Cina terbitan bersama berjudul “Ghost Buddies” yang telah ditayangkan sejak 10 Mei yang lalu. Dibintangi oleh pelakon dan pelawak terkenal dari Singapura; Mark Lee dan juga pemegang Anugerah Pelakon Hong Kong Terbaik; Maggie Shiu sebagai pendukung utama. Filem ini turut dilakonkan oleh pelakon berbakat dari Singapura; Yao Wen Long, penyanyi dan penerbit; Lenny Ooi, Wee Kheng Ming, pelawak TV dan filem dan juga DJ One FM; Lim Ching Miao, DJ Radio MY FM; Vivian Tok, artis radio veteran; Chow Kee Moo dan juga Kelvin Leong.
Kawan-Kawanku Hantu akan menggunakan gabungan khidmat suara tiga selebriti iaitu Zizan Razak, Harun Salim Bachik dan Sharifah Shahira. Menariknya, ianya hanya boleh ditonton oleh peminat menerusi tayangan ASTRO FIRST sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat 2 pakej istimewa ditawarkan buat pelanggan Astro yang mana mereka boleh memilih untuk menonton di dalam Bahasa Cina (Hokkien) atau dalam Bahasa Melayu.
Tak lama lagi, Budiey akan menyaksikan cabaran bagaimana Zizan Razak, Harun Salim Bachik dan Sharifah Shahira menggunakan kreativiti mereka menjadikan dialog untuk setiap babak nampak bersesuaian dan mencuit hati namun ia masih mengekalkan perjalanan cerita asal Ghost Buddies.