KAMI SLOT SINEMA JUMAAT @ 2 PADA 22 MEI 2009 (JUMAAT), JAM 12.30 TENGAH HARI DI TV2
Memori terhadap pemilik nama sebenar Sudirman Haji Arshad pastinya segar di ingatan setiap daripada kita. Kemerduan suaranya tersendiri meninggalkan bukan sedikit kesannya terhadap industri muzik tanahair bahkan diiktiraf sebagai penghibur nombor satu Asia dan penyanyi pertama rakyat Malaysia memenangi Anugerah Penyanyi Terbaik Asia pada 19 Mac 1989 di Royal Albert Hall, London selain mendapat jolokan sebagai Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia.
Dari sisi lain, berbekalkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, beliau telah memegang watak utama sebagai Tookoo dalam filem Kami bergandingan dengan Zul Zamrin Huri yang diarahkan oleh Patrick Yeoh pada 1982 di mana filem ini telah memenangi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-3 yang mana telah mengungguli kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Dalam mengimbas kembali kegemilangan penghibur tersohor ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menayangkan semula filem Kami yang pernah mengangkat nama beliau dalam bidang lakonan pada 22 Mei 2009 (Jumaat), jam 12.30 tengah hari mengisi slot Sinema Jumaat @ 2 di TV2..
Kami mengangkat watak Tookoo, remaja yang inginkan kebebasan dan mencari kehidupan sendiri. Namun taraf pelajaran Tookoo yang terkandas setakat darjah lima tidak menjanjikan apa-apa dalam hidupnya. Lalu dia cuba berjuang meneruskan hidup dengan melakukan sebarang kerja yang dapat memberikannya sesuap nasi.
Satu hari dia bertemu Din, kanak-kanak berusia 11 tahun yang buta huruf. Din telah dipelihara oleh mak ciknya yang garang yang membuatkan dia melarikan diri dari rumah. Bertemu Tookoo membuatkan Din rasa dihargai meskipun pada mulanya kehadirannya kurang disenangi Tookoo. Mereka tinggal dan mencari pekerjaan bersama dalam situasi gembira malah Din menganggap Tookoo umpama seorang abang dan juga bapa bagi dirinya.
Begitu pun kehadiran pegawai kebajikan masyarakat untuk mengambil Din yang dianggap tidak memiliki keluarga menimbulkan situasi sedih keduanya. Mereka terpaksa berpisah kerana Tookoo juga beranggapan Din wajar tinggal bersama keluarga angkat untuk meneruskan persekolahannya.
Selain Sudirman Haji Arshad dan Zul Zamrin Huri, turut membintangi Kami adalah Kwee Leng (Ibu tiri Tookoo), Ibrahim Din (Mamak), Shariff Babu (Pak Du) dan Azmi Mohamad (Abang Husin).
Justeru usah ketinggalan menyaksikan filem Kami, popular sekitar tahun 1982 ini pada 22 Mei 2009 (Jumaat), jam 12.30 tengah hari mengisi slot Sinema Jumaat @ 2 di TV2.