Peminat filem cinta dari Indonesia ini dapat menonton di pawagam mulai 19 Julai 2007.
Filem terbaru ini ialah kisah mengenai Ryan (Irwansyah) dan Cinta (Acha Septriasa), dua sahabat akrab yang baru sahaja menamatkan pengajian di sekolah menengah tinggi. Di sebalik kemesraan mereka sebagai rakan karib, tersemat di hati masing-masing bahawa mereka sebenarnya saling mencintai satu sama lain tetapi malu untuk meluahkan perasaan. Masa berlalu, Ryan mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat. Tragedi malang menimpa Ryan sebelum dia sempat melafazkan kata cintanya kepada Cinta. Cinta kecewa kerana Ryan pergi tanpa memberitahu sejauhmana hubungan mereka berdua. Ryan turut gelisah dan tidak akan pergi sebelum memberikan kepastian hubungannya, walaupun melalui perantaraan orang lain, iaitu Doni (Raffi Ahmad).
Doni berusaha menghubungi Cinta, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Malang menimpanya bila keluarga Cinta turut tidak mempercayai bahawa dia adalah Ryan, kawan karib Cinta suatu ketika dahulu. Keadaan menjadi semakin kelam kabut bila Ryan mengesyaki Doni menjalinkan perhubungan sulit dengan seorang lelaki, Papi (Sabar).
Pada masa yang sama, Cinta menemui pengganti dalam hidupnya, Ivan (Andhika Pratama). Demi kesuntukan masa, Ryan melakukan apa sahaja bagi membuktikan kesahihan cintanya terhadap Cinta. Namun dia hanya berhasil memujuk keluarga Cinta menerimanya tetapi Cinta masih berbelah kerana Ivan mengakui dia turut mencintainya.
Ryan semakin jauh daripada Cinta dan memutuskan untuk berpisah. Namun dia sempat memberitahu Cinta bahawa dia akan pergi ke tempat mereka selalu berjumpa untuk mendapatkan kepastian.