Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tapisan filem itu yang menjadi persoalan pengamal media yang hadir pada Malam Gala Harum Malam di GSC The Starling Mall pada Isnin malam.
Rata-rata yang hadir memuji filem tersebut menyatakan inilah filem tempatan lain daripada yang biasa namun menimbulkan sedikit ketidakpuasan hati susulan beberapa babak yang ditapis.
Selaku salah seorang penerbit filem Harum Malam, Yusof juga berharap di masa akan datang Lembaga Penapis Filem (LPF) akan lebih bersifat terbuka.
“Saya sendiri pun agak kesal kerana banyak juga dialog yang tidak semestinya dipadamkan, tetapi itu saya minta akan datang supaya LPF lebih bersifat terbuka sedikit.
“Kita sudah berada di zaman orang yang sudah berfikiran terbuka, kita tengok dalam Netflix dan macam-macam lagi, kenapa kita mesti nak bodohkan penonton?
“Jadi bagi saya, saya harap, ini kritikan terbuka saya kepada LPF, saya ada ramai kawan saya di LPF, sebenarnya kita perlu ada perubahan jika tidak kita akan ‘stagnant’, ini tak boleh, ini tak boleh.
“Dan banyak lagi hal yang lain yang pernah saya suarakan kepada LPF dan saya haraplah orang yang duduk di LPF itu biar mereka buka minda sikit,” ujar Yusof.
Menurut penerbit, Nandita Solomon, sebanyak 14 tapisan dalam Harum Malam yang ditayangkan pada malam itu berbanding 17 potongan seperti yang diminta LPF.
“Pada mulanya LPF minta 17 potongan ‘cuts’ tetapi akhirnya selepas kita membuat ‘negotiation’ sikit untuk mendapat rating P13, kita ada 14 ‘mute’ dan ‘blur’ dan itu adalah apa yang pengarah dan saya yang kita okay dengan benda itu ‘instead of’ terus potong,” jelas Nandita.
Pengarah Harum Malam, Dain Said turut menegaskan bahawa semua yang diletakkan dalam filem tersebut adalah berkait bagi membina jalan ceritanya.
“Bila kita tengok ‘censorship’ kita mesti tengok juga di dalam konteks, kita sebagai penerbit memang bertanggungjawab, bukan kita sia-sia sahaja nak buat ‘shock value’.
“Kalau anda dengar dialog-dialog itu semuanya berkait untuk membinakan dunia ini, subteks semua itu,” katanya.
Harum Malam merupakan filem seram yang menampilkan bakat baharu sebagai watak utama iaitu Idan Aedan dan Arnie Shasha, di samping dibintangi pelakon terkenal seperti Bront Palarae, Remy Ishak dan Nadiya Nisaa.
Filem tersebut bakal menemui penonton secara rasminya di seluruh pawagam pada 9 Februari ini.