Filem komedi seram, Hantu Ke Lima menampilkan gandingan pelakon- pelakon popular seperti Raysha Rizrose, Aisar Khaled, Izzue Islam, Shiha Zikir, Elly Mazlein, Pu Azman, Adibah Noor, Danish Danieal dan Azman Ahmad. Filem terbitan AT Movies ini mengetengahkan genre komedi seram serta memaparkan kisah pempengaruh (influencer) dalam mengejar konten yang sangat popular dalam masyarakat kita sekarang ini.
Filem Hantu Ke Lima menjadi filem melayu pertama oleh produksi AT Movies kerana sebelum ini hanya menumpukan perhatian dalam menghasilkan filem Tamil tempatan, antaranya ‘Athaiyum Thaandi’ dan ‘Azhaggiye Thee’.
Filem Hantu Ke Lima bakal menemui penonton bermula 7 Oktober ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First. Menariknya tentang filem ini, jalan ceritanya bukan sahaja padat dengan unsur komedi yang bakal mengundang gelak tawa, tetapi watak-watak yang ditampilkan juga mempamerkan lakonan yang cukup berbeza sangat menghiburkan.
Antaranya, watak Oya yang dijayakan oleh Shiha Zikir, menyaksikan seorang yang penakut dan kalut; Kent (Izzue Islam) seorang editor; Taufiq (Aisar Khaled) pempengaruh, Kam (Elly Mazlein) sering ada idea menyeramkan; Auni Qaisara Putri (Raysha Rizrose) anak tunggal yang kesunyian dan menyamar menjadi hantu.
Hantu Ke Lima telah telah menjalani sesi penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Port Dickson. Di samping sinematografi menarik, set penggambaran juga telah berjaya menghidupkan suasana seram.
Penerbit Hantu Ke Lima & Wakil ATHY Movies, Dato’ Athy menyatakan filem ini dihasilkan bagi memenuhi kehendak penonton yang sering menjadikan genre komedi dan seram sebagai pilihan utama.
“Saya berasa sangat teruja kerana filem terbitan produksi AT Movies akan dipersembahkan kepada penonton. Dalam pada itu, saya juga rasa gementar untuk melihat reaksi penonton. Ini adalah kali pertama pihak kami menghasilkan sebuah filem melayu. Jadi saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak FINAS kerana telah memberi sokongan kepada produksi kami untuk menghasilkan karya ini dan terima kasih kepada Astro Shaw di atas kepercayaan dan turut berkongsi komen dan cadangan bagi penambahbaikan filem Hantu Ke Lima.”
“Sementara itu, pembikinan filem ini telah dijalankan sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu berakhir. Sesi penggambaran berjalan dengan lancar meskipun dalam situasi yang amat mencabar dan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan. Harapan saya agar filem Hantu Ke Lima dapat menghiburkan penonton dari setiap lapisan umur. Dalam pada itu, kami juga harap filem ini diterima ramai dan mampu meningkatkan aspek filem tempatan,” tambah Dato Athy lagi.
Manakala Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kali ini Astro First membawakan sebuah filem komedi seram yang mempertaruhkan bakat-bakat muda sebagai teraju utama seperti Shiha Zikir, Izzue Islam, pempengaruh terkenal, Aisar Khaled dan Raysha Rizrose. Selain jalan cerita yang padat dengan unsur komedi, kami yakin gandingan pertama kali pelakon-pelakon ini mampu menarik minat penonton untuk menyaksikan filem ini. Tambah pula, kemunculan Elly Mazlein atau lebih dikenali Kak Lina Pom Pom pasti mengubati rindu penonton dengan gelagat pelakon, penyanyi dan pengacara popular tersebut. Kami juga turut berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan penerbit dan produksi AT Movies buat julung kalinya dalam membawakan filem ini kepada penonton sasaran. Kami harap, platform Astro First mampu dilihat sebagai salah satu ruang yang bukan hanya mengangkat bakat kreatif seperti pengarah filem, penulis skrip; tetapi turut menjadi platform bagi penerbit mencuba sesuatu di luar kotak dan kebiasaan mereka kepada penonton dan industri filem tempatan.”
Filem arahan pengarah Azhari Zain dan berdurasi 90 minit ini mengisahkan tentang Auni Qaisara Putri (Raysha Rizrose) mencari perlindungan setelah dianiaya oleh ibu tirinya Puan Sri Zaleha (Adibah Noor) dalam skim pelaburan saham yang merugikan. Puncak Mahligai kediaman mewah peninggalan arwah ayah Auni yang dipelihara oleh Iskandar Syah (PU Azman) dan isterinya, Kam (Elly Mazlein) menyimpan seribu satu misteri.
TKO Studio yang diusahakan Taufiq (Aisar Khaled), Kent (Izzue Islam) dan Oya (Shiha Zikir) sedang dalam kejatuhan dan mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan Puan Sri Zaleha dalam mempromosi Puncak Mahligai untuk menarik minat pelabur. Namun mereka berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik. Auni Qaisara Putri akan mempertahankan satu-satunya kenangan bersama arwah ayah dan ibunya di Puncak Mahligai.
Saksikan filem komedi seram, Hantu Ke Lima yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 7 Oktober 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.