Sejak dilancarkan pada September 2024, filem Gayong sememangnya menjadi buah mulut para peminat filem tempatan yang tidak sabar menyaksikan hasil akhirnya di layar perak. Kisah dalam filem ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi turut membawa penonton mendalami kehidupan penuh inspirasi Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), tokoh terulung dan pengasas Seni Silat Gayong yang terkenal di serata dunia.
Gabungan Pelakon Hebat Jadi Tarikan Utama
Bukan calang-calang barisan pelakon yang dipilih untuk filem epik ini. Peneraju utama filem ini, Beto Kusyairy bakal memegang watak ADMAR dengan penuh karisma, dibantu oleh pelakon popular lain seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, dan Yayan Ruhian. Gabungan mantap pelakon hebat ini sudah pastinya menjanjikan satu persembahan luar biasa di pawagam nanti.
Lokasi Menarik dan Penggambaran Berkualiti Tinggi
Penggambaran filem ini dijalankan di lokasi-lokasi menarik seperti Kuala Lumpur, Sepang, dan Tanjung Sedeli. Menurut pengarahnya, Faisal Ishak, filem ini bukan sahaja menyajikan aksi-aksi pertarungan menarik tetapi juga sarat dengan mesej tentang warisan budaya Melayu.
“Gayong bukan hanya filem aksi biasa. Ia adalah platform untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak. Saya mahu penonton merasai jiwa dan semangat perjuangan di sebalik setiap gerak langkah dalam dunia persilatan,” jelas Faisal.
Cabaran Besar Mengangkat Kisah Lagenda
Faisal turut berkongsi bahawa menghasilkan filem berdasarkan tokoh terkemuka bukanlah satu tugas mudah. Beliau menegaskan bahawa cabaran terbesar bukan sahaja melibatkan aspek teknikal dan produksi, tetapi lebih penting memastikan ketulenan dan penghormatan kepada warisan tokoh itu sendiri.
“Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman bukan sekadar pendekar hebat tetapi juga seorang guru yang membawa falsafah kehidupan yang mendalam. Saya perlu memastikan filem ini benar-benar menonjolkan semangat dan perjuangannya,” tambah Faisal lagi.
Latihan Intensif Demi Ketulenan Seni Silat Gayong
Untuk memastikan setiap aksi dipersembahkan dengan sempurna, pelakon telah menjalani latihan intensif di bawah seliaan Pengarah Aksi, Yayan Ruhian, serta jurulatih Silat Gayong yang berpengalaman. Latihan ini bukan sahaja menumpukan kepada teknik fizikal, tetapi juga kepada pemahaman mendalam mengenai disiplin, semangat, dan falsafah di sebalik setiap jurus silat.
“Latihan yang diberikan adalah untuk memastikan pelakon benar-benar memahami dan mampu menjiwai semangat Silat Gayong,” jelas Faisal dengan penuh semangat.
Kerjasama Erat Dengan Waris Tokoh & Pertubuhan Silat Gayong
Menurut Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, proses penerbitan filem ini turut mendapat restu daripada waris ADMAR sendiri, terutamanya anak perempuan beliau, Hajah Fadzilah, serta cucunya, Zubaidah Hussin. Kerja penyelidikan yang bermula sejak Disember 2023 ini turut disokong penuh oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).
“Kami sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh PSSGM yang sentiasa memantau agar setiap aksi yang dipersembahkan dalam filem ini tidak menyimpang daripada teknik asli silat gayong,” kata Khairul lagi.
Harapan Besar Terhadap Sambutan Filem Gayong
Walaupun sedar akan persaingan sengit daripada filem-filem hebat lain yang turut tayang pada Mei nanti, Khairul tetap yakin dengan kekuatan Gayong yang mempunyai daya tarikan tersendiri.
“Kami percaya penonton akan memberi sokongan kepada filem ini, kerana ia bukan sahaja menawarkan aksi hebat tetapi juga mengangkat kisah tokoh tempatan yang luar biasa. Harapan kami agar filem ini mampu membangkitkan semangat juang dalam diri penonton,” tambah beliau optimis.
Sinopsis Filem Gayong
Gayong mengisahkan perjalanan hidup penuh inspirasi Mahaguru Datuk Meor Abdul Rahman yang berjuang mempertahankan maruah bangsa melalui gelanggang silat serta perjuangan menentang penjajahan demi tanah air tercinta.
Apa Kata Budiey?
Filem ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk generasi muda mengenali lebih dekat tentang seni silat Gayong, sebuah warisan budaya Melayu yang agung. Selain aksi yang menarik, nilai-nilai murni dan falsafah yang terkandung dalam filem ini pasti dapat memberi impak positif kepada penonton. Sebagai pencinta seni tempatan, Budiey menyarankan agar anda memberi sokongan padu kepada filem ini di pawagampada 8 Mei 2025 nanti!