Filem DUA SURGA DALAM CINTAKU yang diarahkan oleh sutradara Kiki Nuriswan ini bakal ditayangkan di pawagam mulai 29 Ogos 2024. Filem ini diadaptasi daripada novel terlaris di Indonesia dengan judul yang sama karya Allahyarham Atho Al Rahman.
Cerita filem ini disusun oleh penulis terkenal Boni Faisal dan selanjutnya diinterpretasikan dalam babak bertemakan kemelut dalam perkahwinan dikemaskan dalam sinematik berdurasi 111 minit.
Filem ini dibintangi oleh Yuki Kato, Aliff Alli, Keira Shabira, Early Ashyla, Iwan Burnani, Ivanka Suwandi, Azza Galedda, Nurul Anissa Hasanah, Cahya Arynahara, Irza Mahatir, Yugo Werner, dan Edy Tambudo.
Filem ini diedarkan oleh syarikat yang baru bertapak iaitu AD Interact International Sdn Bhd dan diterbitkan oleh rumah produksi dan penerbit yang cukup berpengalaman. Filem ini telah pun disunting dan diedit mengikut kesesuaian penonton di Malaysia dan Brunei. Filem ini sebenarnya sudah menemui penonton di Indonesia pada 21 Mac 2024 dengan terbitan dari rumah produksi Cakrawala Pictures.
“Filem ini memiliki tajuk yang sangat kuat dan bermakna. Dalam Islam, poligami dibenarkan dengan sebab-sebab tertentu. Filem ini mungkin akan memberikan perspektif yang berbeza mengenai isu poligami, dan membuka ruang untuk pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan ini,†– Hilmy Othman, Pengarah Urusan AD Interact International Sdn Bhd (ADII Film)
Filem yang disulam dengan latar belakang cerita moden ini telah menjalani pengambaran di Mekah, Madinah dan Taif, Arab Saudi serta Bogor dan kampus Universiti Islam Negeri (UIN) Jakarta.
Filem ini menampilkan perpaduan budaya Islam dari Arab dan Indonesia, mencipta sisi cerita yang menarik dan bermakna melalui setiap dialognya.
“Hasrat kami adalah agar para peminat filem di Malaysia dapat menerima dan menghargai karya ini. Kami berkomitmen untuk terus membawa variasi yang berbeza kepada penonton di Malaysia. Selain itu, kami juga bercita-cita untuk menerbitkan filem pada masa akan datang,†– Hilmy Othman, Pengarah Urusan AD Interact International Sdn Bhd (ADII Film)
Apa yang lebih istimewa, lokasi penggambaran dilakukan di Tanah Suci Mekah dan Madinah, menjadikannya ikonik dan penuh makna bagi umat Islam. Dibarisi oleh pelakon-pelakon berpengalaman yang sudah banyak menghiasi layar lebar, filem ini menjanjikan pengalaman menonton yang tidak akan dilupakan.
Bintang Utama Hadir Malam Tayangan di TGV 1 UTAMA
Sempena dengan Malam Gala Filem DUA SURGA DALAM CINTAKU yang berlangsung pada 20 Ogos, pelakon utama filem ini iaitu Keira Shabira diterbangkan khas untuk hadir memeriahkan acara. Selain itu penyanyi bernama El Alice yang menjadi penyanyi dan pencipta lagu runut filem ini turut hadir mendendangkan lagu DUA SURGA DALAM CINTAKU.
Jadual pelakon utama juga padat dengan beberapa rangka promosi oleh pihak pengedar seperti rakaman podcast, majlis makan Hi-Tea dan temubual eksklusif bersama media.
“Promosi yang dijalankan disesuaikan dengan trend semasa, dengan fokus utama kepada media sosial, kolaborasi bersama influencer dan bloggers, serta hebahan melalui radio untuk memperkenalkan OST ini,†– Hilmy Othman, Pengarah Urusan AD Interact International Sdn Bhd (ADII Film).
Acara ini turut mendapat sokongan daripada Yayasan Ihsan Rakyat sebagai Rakan Kongsi, serta tajaan daripada pelbagai penaja iaitu Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, Hayyan Huda Opah’s Kitchen, Kiraku Japanese Restaurant, Moka Pot Café, Mama’s Ride, Mohd Chan Restaurant, dan HS Event & Entertainment.
SINOPSIS RINGKAS:
Arham, seorang mahasiswa di Jakarta, diam-diam mencintai teman kecilnya, Husna, dan mereka akhirnya berkahwin. Namun, kebahagiaan mereka tergugat apabila Husna disahkan menghidap kanser otak yang membawa maut. Arham tetap setia menemani Husna hingga akhir hayatnya, sebelum terpaksa melanjutkan pelajarannya dengan hati yang berat.
Dalam perjalanan hidupnya, Arham bertemu dengan Zilka, seorang wanita muda yang ingin berubah dari masa lalu yang gelap dan mencari bimbingan ke jalan yang benar. Hubungan mereka semakin rumit apabila Erwin, seorang psikopat dari masa lalu Zilka, muncul dan menambah tekanan dalam hidup Arham yang sudah sedia terbeban.
SINOPSIS FILEM
Filem Dua Syurga dalam Cintaku berkisarkan tentang Arham, seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti di Jakarta, yang terperangkap dalam situasi cinta yang rumit dengan dua wanita.
Arham mempunyai seorang sahabat sejak kecil bernama Husna di kampung halamannya di Bogor. Mereka saling mencintai dalam diam dan akhirnya, setelah dewasa, mereka mengakui perasaan mereka dan membuat keputusan untuk berkahwin.
Namun, kehidupan mereka berubah apabila Husna disahkan menghidap kanser otak, dan doktor meramalkan bahawa dia tidak mempunyai banyak masa yang tinggal. Arham, dengan penuh kasih sayang, berjanji untuk menemani Husna sehingga ke akhir hayatnya. Tetapi, Husna mempunyai pandangan yang berbeza. Dia meminta Arham untuk menamatkan pelajarannya terlebih dahulu, walaupun Arham berat hati untuk meninggalkannya.
Dengan sokongan daripada keluarga Husna, Arham akhirnya bersetuju untuk kembali ke Jakarta dan menyelesaikan pengajiannya. Di tengah-tengah kesibukan menamatkan pelajaran, Arham secara tidak sengaja bertemu dengan seorang wanita muda bernama Zilka, yang sedang melarikan diri daripada beberapa orang yang mengejarnya.
Zilka adalah seorang wanita yang terperangkap dalam dunia gelap, dan dia sedang cuba melarikan diri daripada bekas teman lelakinya, Erwin, yang sentiasa menghantuinya. Pertemuan dengan Arham memberikan Zilka harapan baru, dan dia berusaha mendekati Arham kerana dia percaya Arham boleh membantunya keluar dari kehidupan lamanya yang kelam.
Arham kini berada dalam dilema besar. Jika dia menerima Zilka dalam hidupnya, rumah tangganya dengan Husna mungkin akan hancur. Tetapi jika dia tetap setia kepada Husna, dia mungkin akan terus dibayangi oleh Zilka yang tidak mahu melepaskannya. Filem ini menyentuh tema cinta, pengorbanan, dan dilema moral yang sukar.