Skrip asalnya ditulis oleh Shahrulezad Mohameddin yang juga menulis untuk drama Emil Emilda yang sedang ditayangkan di TV3. Selain itu, pengarah fotografi Cicakman, Indra Che Muda juga terlibat sebagai pengarah fotografi. Anda boleh bayangkan sendiri bagaimana bentuk filem ini?
Pengambaran filem Fiksyen Komedi berjudul BS21 ini baru sahaja tamat. Kini sedang melalui peringkat suntingan dan dijangka akan ditayangkan di pawagam penghujung tahun ini.
Sambutan penonton yang memberangsangkan terhadap filem Tentang Bulan, telah memberikan inspirasi kepada Metrowealth (MIG) bagi menghasilkan karya bergenre fiksyen komedi bertajuk BS21. Filem ke 23 terbitan Metrowealth (MIG) kali ini, sekali lagi menampilkan kanak-kanak sebagai antara peneraju utama di samping pelakon-pelakon komedi dewasa terkenal tanahair.
Dengan bajet dianggarkan mencecah RM1.68 juta, BS21 akan menjalani pengambaran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Sekali lagi Ahmad Idham diberi tanggungjawab untuk mengarahkan filem ini setelah mengarahkan 3 filem box-office bersama Metrowealth iaitu Remp-it, Tentang Bulan dan Jangan Pandang Belakang. Filem BS21 telah memulakan pengambaran pada awal April lalu telah selesai seperti yang dirancangkan.
Pelakon cilik yang kian melonjak namanya, Nik Farith Adruce (Adik di 9) dan Nor Arina (Erin) akan membintangi filem ini sebagai pelakon utama. Filem ini turut dibantu oleh Fatin Nur Afifah (Fatin), artis yang juga di bawah naungan MIG Talent dan Eric sebagai muka baru di arena layar perak yang dikenalpasti dapat diketengahkan bakatnya.
Sememangnya filem ini tidak akan lengkap tanpa dikolaborasikan dengan gandingan mantap oleh pelakon dewasa seperti: Zul Yahya, Nik Sayyidah, Bob Kuman, Cat Farish, M Rajoli, Sharifah Shaheera, Khatijah Tan dan beberapa artis yang lain. Kehebatan mereka mampu memecahkan suasana panggung dengan celoteh dan aksi komedi spontan yang bakal dipaparkan.
Metrowealth juga telah memutuskan untuk mengguna teknik Computer-Generated Imagery (CGI) bagi ‘menghidupkan’ beberapa babak istimewa yang dapat disaksikan penonton dalam BS21. Sekurang-kurangnya BS21 akan memaparkan 30 minit babak Computer-Generated Imagery (CGI) ini.
BS21 bakal menjadi filem kedua Metrowealth (MIG) yang mengguna teknik CGI ini setelah Syukur 21 pada tahun 2000, dan pasti hasilnya adalah lebih baik. Tahun ini juga Metrowealth akan menghasilkan beberapa lagi filem pelbagai genre. Antaranya Congkak (Filem Seram) dan Aku Punya Cinta (Romantik) termasuk sebuah filem aksi kepolisan. Nantikan kemunculannya…
kredit foto: Metrowealth (MIG)