Selepas dua filem terbitan Disney tidak ditayangkan di Malaysia hanya disebabkan gagal melepasi tapisan Lembaga Penapisan Filem, ramai peminat, khususnya yang meminati filem-filem Marvel, tertanya-tanya status filem terbaru MCU Black Panther: Wakanda Forever.
Walaupun Disney Malaysia giat mempromosikan filem tersebut menjelang debut globalnya, peminat tidak menaruh harapan tinggi kerana bimbang ia akan menjadi seperti Thor: Love and Thunder yang terpaksa membatalkan tayangan pada saat-saat akhir.
Kini, perkongsian dari beberapa media sosial pawagam terbesar negara nampaknya mengesahkan bahawa filem sekuel Black Panther itu sah akan ditayangkan di Malaysia, mengikut tarikh tayangan asal iaitu 10 November ini.
“#WakandaForever DILULUSKAN (sah tidak akan diban)!” menurut perkongsian dari TGV.
Sementara GSC pula mengumumkan bahawa, tayangan pertama Black Panther: Wakanda Forever akan bermula seawal 12.01 AM pada 10 November ini.
MBO Cinemas pula turut mengumumkan bahawa jualan tiket akan bermula pada 4 November ini.
Dengan Black Panther: Wakanda Forever sah akan ditayangkan di Malaysia, peminat Marvel pastinya tidak sabar untuk menonton entri terbaru MCU. Jangan lupa jadi yang terawal menonton Black Panther Wakanda Forever mulai 10 November ini.
Filem akan datang sekali lagi diarahkan oleh Ryan Coogler daripada lakon layar yang ditulis olehnya bersama Joe Robert Cole.
Ia menyaksikan banyak pelakon asal kembali, termasuk Lupita Nyong’o sebagai Nakia, Danai Gurira sebagai Okoye, Angela Bassett sebagai Ramonda, Martin Freeman sebagai Everett K. Ross, Letitia Wright sebagai Shuri, Winston Duke sebagai M’Baku, dan Florence Kasumba sebagai Ayo.
Menyertai mereka ialah pendatang baharu francais seperti Tenoch Huerta (Narcos: Mexico) sebagai Namor, Michaela Coel (I May Destroy You) sebagai Aneka, Mabel Cadena sebagai Namora, dan Alex Livinalli sebagai Attuma.