in , ,

Filem Berhantu Gabung 3 Filem Pengarah Terkenal

FILEM BERHANTU

Filem Berhantu Gabung 3 Filem Pengarah Terkenal

Beberapa tahun lalu, Afdlin Shauki pernah ke Bali bersama Mamat Khalid dan Aziz M Osman bincang skrip yang menggabungkan karya mereka bertiga.

Filem Berhantu (dulunya diberi tajuk Tiga Jalan), sebuah projek cukup istimewa kerana ia menggabungkan karya tiga pengarah berbeza. Selain dirinya, turut menyumbangkan cerita bagi filem dalam genre seram itu ialah dua lagi sutradara popular, Mamat Khalid dan Aziz M Osman.

Filem ini ialah himpunan tiga cerita seram berbeza daripada Afdlin, Mamat dan Aziz. Ia dibuat berdasarkan kisah hantu yang kita dengar ketika kecil-kecil dulu. Setiap pengarah akan menyumbangkan sebuah cerita sepanjang 30 minit seorang. Filem ini akan diterbitkan oleh ketiga-tiga syarikat milik pengarah terbabit. Seandainya Afdlin memiliki Vision Works, Mamat pula dengan Naga VXS dan Aziz bersama Ace Motion Pictures.

Filem Sepi

Menurut Afdlin, usaha sama antara tiga pengarah itu dilakukan sebagai simbolik kepada keperluan kerjasama antara semua pihak terbabit dalam industri penerbitan di negara ini, bagi memajukan lagi dunia perfileman di Malaysia.

Pertama kali dilakukan di Malaysia, filem yang menggabungkan beberapa kisah daripada pengarah berbeza dalam sebuah judul bagaimanapun pernah diterbitkan di negara lain sebelum ini.

“Ia sebuah filem yang menonjolkan kebolehan berbeza beberapa pengarah dalam negara ini. Tentunya ia dilihat sebagai persaingan sesama sendiri, dalam memastikan karya siapa yang lebih baik. Namun, ia sebuah persaingan yang cukup sihat demi kemajuan industri. Memang kami sudah menjangkakan bakal ada perbandingan dilakukan di antara tiga karya berkenaan, apabila ditayangkan nanti. Maklum saja, ketiga-tiganya mempunyai gaya pengarah, penceritaan dan pembikinan filem yang berbeza. Namun pada akhirnya, ia produk kebanggaan kita semua,” tegas Afdlin.

Sempat berlawak, kata Afdlin, sudah tentulah filemnya paling menarik jika hendak dibandingkan dengan dua pengarah tadi.

EPISOD : KUS SEMANGAT
oleh Afdlin Shauki

Sewaktu Bob menjalankan tugasnya di sebuah hospital, dia telah menyaksikan suatu kejadian di mana seorang jururawat telah dirasuk hantu raya. Bob terperangkap di dalam lif bersama-sama jururawat tersebut. Apabila keluar dari lif, Bob terasa sesuatu yang aneh pada dirinya. Dengan segera, Bob pulang ke pejabatnya.

Beliau kemudian mengganas di pejabat dengan menghantui semua pekerja di pejabatnya. Seorang Pak Haji berusaha menyelamatkan Bob yang semakin menggila itu.

EPISOD : TANAMERA
oleh Aziz M. Osman

Malam. Di salah satu jalan di simpang empat, kelihatan sebuah van volkswagen buruk model 60 an meluncur laju dan mengambil simpang kanan (atau kiri…atau lurus). Di dalamnya, terdapat lima anak muda. Cico merupakan pemandu dan ketua kumpulan mereka. Duduk di sebelahnya – Kishz, sahabat setia Cico. Di belakang mereka pula ialah Sakhee, Liyana dan Bob. Sakhee seorang pemuda kacak merupakan kekasih pada Liyana. Bob pula seorang yang sangat becok.

Cico membawa vannya ke sebuah tempat terpencil dipinggir hutan dan berhenti di situ. Mereka kemudian seakan menunggu sesuatu. Seketika kemudian, kedengaran bunyi deruman kereta dan muncul sebuah kereta berjenama Hummer berhenti menghampiri mereka. Kereta tersebut dipandu Beego, seorang anak orang kaya yang sombong. Turut bersamanya ialah Bakri (kaki ampu), Arif (pencacai), Janet (beauty queen/kekasih Beego) dan Comel (pengkid). Mereka semua berpakaian ala tentera upahan.

Dua kumpulan ini (kumpulan Cico dan Beego) akan bertempur dalam satu permainan ‘woodsball’. Beego mendendami Sakhee kerana mendakwa Sakhee merampas kekasihnya Liyana. Dia juga berikrar untuk ‘membunuh’ Sakhee dan menumpaskan kumpulan Cico. Ketika ini, muncul ‘marshall’ mereka bernama Din. Din memberi taklimat tentang lokasi ‘perang’ yang akan mereka gempur sebentar lagi.

“Lokasi ini bernama TANAMERA. Ada mitos mengenai tempat ini, kononnya pada awal 70 an pernah berlaku pertempuran darah antara tentera dan komunis. Tiada seorang pun terselamat di dalam peperangan itu tetapi anehnya, tiada mayat dijumpai,” jelas Din. Mendengar penjelasan Din itu, Bob ketakutan dan mahu menarik diri. Cico pula tidak mahu mengambil risiko yang boleh menjejaskan keselamatan anak-anak buahnya. Beego menuduh kumpulan Cico sebagai pengecut. Sakhee, Kishz dan Liyana mendesak Cico menyahut cabaran Beego.

Akhirnya, mereka bersetuju untuk bertempur. Masing-masing mencapai ‘masks’ dan ‘marker’ mereka. Tentunya kelengkapan dan senjata kumpulan Beego lebih canggih dan bergaya. Din kemudian membawa mereka ke lokasi misteri berkenaan. Kawasan berpagar dan terdapat papan tanda tertulis – ‘KAWASAN LARANGAN. DILARANG MASUK.’ Din mengajak mereka menceroboh masuk ke kawasan itu. Di belakang papan tanda tadi tertulis – ‘ANDA MASUK JUGA? SELAMAT MENUJU NERAKA.’

Apakah mereka akan terselamat dan berjaya melepaskan diri dari TANAMERA.

EPISOD : LASKAR SEMANGAT
oleh Mamat Khalid

Sebuah cerita epik fantasi yang mengisahkan kesukaran panglima dan askar-askar sebuah negara yang dipanggil Kalame di hari-hari akhir kejatuhan pertahanan kota itu. Seorang panglima Kalame yang beranam Ngah terpaksa menipu untuk menaikkan semangat parajurit-parajurit yang semakin takut dan gusar agar mereka meneruskan perjuangan walaupun kekalahan mereka kian ternyata.

Ngah terpaksa menjanjikan mereka bahawa pertolongan akan muncul untuk membantu mereka walaupun pada hakikatnya Ngah sedar hanya mereka sahaja yang tinggal untuk mempertahankan Kalame sehingga ke titisan darah yang terakhir memandangkan tiada pihak yang berani datang untuk sama-sama mempertahankan kota itu. Pihak musuh semakin hampir ke pantai dan para parajurit kian patah semangat kerana pertolongan yang dijanjikan oleh Ngah itu tidak muncul-muncul ketika perperangan kian meruncing mengakibatkan mereka betul-betul tidak bermaya untuk terus berjuang.

Ngah menggunakan segala tipu helahnya menaikkan semangat bala tentera dengan mengatakan pertolongan yang dimaksudkannya adalah pertolongan dari tentera negeri seberang yang akan bersama-sama berjuang membantu mereka. Tetapi untuk tentera itu muncul, mereka haruslah bersatu untuk membuat satu serangan besar-besaran bagi menentang penjajahan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Mereka semua bersetuju dan mula berasa semangat untuk keluar berjuang habis-habisan. Ngah memberi isyarat dan mereka semua mula bersemangat berlari turun dari bukit menyerang tetapi alangkah terkejutnya mereka apabila melihat pihak musuh berlipatkali ganda ramainya dari mereka. Mereka semua terpaksa meneruskan perjuangan memandangkan mereka sudah turun berhadapan dengan pihak musuh yang semakin mara.

Tiba-tiba seperti yang dikatakan oleh Ngah, sekumpulan tentera ghaib muncul di celah-celah awan lalu turun bersama-sama mereka mara berhadapan dengan pihak musuh.

Mereka semua bersorak penuh semangat meninggalkan Ngah yang terkejut kerana apa yang dijanjikannya itu menjadi kenyataan. Mereka bertambah semangat berlawan kecuali Ngah yang tidak nampak akan keajaiban itu….l

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yang Menarik Tentang Program POPE BENEDICT XVI

Royal Wedding Coverage Prince William & Kate Middleton