in

Filem Belukar

SERING kali penonton pawagam disogokkan dengan filem tempatan dengan genre cinta, seram, komedi dan aksi. Seakan menongkah arus pula apabila Preston Zaidan Production Sdn Bhd (PZP) mengambil langkah berani menerbitkan filem genre thriller berjudul Belukar arahan Jason Chong.

Filem pertama arahan Jason ini menonjolkan bakat personaliti terkenal, Daphne Iking dan pelakon yang semakin meningkat naik, Bront Palarae sebagai teraju utama. Ia berlatarkan panorama indah di sekitar Sabah.

Sebagai pendatang baru dalam pengarahan filem, pasukan penerbitan yang diketuai Jason harus diberi pujian selepas karya dipertontonkan di GSC 1Utama, Bandar Utama, baru-baru ini. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dari segi teknikal namun menonton filem sulung terbitan PZP pasti menyuntik sesuatu yang baru kepada penonton.

Ia menggabungkan elemen penyiasatan dan cinta sambil menyelitkan babak imbas semula.

“Asalnya penggambaran kisah ini dirakamkan untuk cakera padat video (VCD) namun selepas ditayangkan kepada rakan rapat saya dan segelintir mereka yang terbabit dalam industri filem, mereka berpendapat cerita ini mampu diketengahkan ke filem untuk tayangan di pawagam. “Pengalaman membabitkan diri selama lebih 10 tahun dalam lakonan dan komersial memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan skrip seterusnya mengarahkan filem ini,” katanya.

Katanya, memang mereka tidak berhajat untuk membuat filem lagi tetapi selepas bertemu dengan Penerbit Eksekutif PZP, Zulhaila Siregar, mereka mengambil keputusan untuk mempertaruhkan karya ini secara maksimum dengan . bajet sekitar RM800,000 saja.

“Kami mula menjalani penggambaran di Sabah sejak Mac tahun lalu. Memang kami sengaja memilih Sabah sebagai destinasi memandangkan negeri di Bawah Bayu itu turut mempunyai pemandangan menarik dan sesuai sebagai destinasi penggambaran. Tambahan pula PZP juga adalah anak syarikat kepada beberapa syarikat di negeri berkenaan,” kata Jason pada previu dan sidang media Belukar di GSC 1Utama, Damansara, baru-baru ini. Mengenai pemilihan teraju utama menerusi filem itu, Jason yang popular menerusi sitkom Fara memberitahu, karakter watak utama Eva memang sesuai dengan Daphne begitu juga Bront yang membawakan watak Nik.

Eva sering menipu syarikat insurans dan melarikan wang bernilai jutaan ringgit. Bagaimanapun, bagi menjejaki kerja kotornya, sebuah syarikat insurans mengupah penyiasat iaitu Nik. Daphne sendiri akui berasa risau dengan penampilan pertamanya di layar perak. Sebagai anak kelahiran Sabah, dia berbangga kerana diberi kepercayaan membintangi filem itu.

“Mula-mula mendapat tawaran daripada Jason (Chong) saya menolak dan tidak begitu yakin berlakon. Begitupun Jason tetap menaruh kepercayaan dan memberi keyakinan kepada saya. Sebelum ini saya tahu dia banyak menghasilkan skrip dan kami pernah bekerja sama menjayakan sebuah program TV.

“Saya sendiri berasa agak malu melihat penampilan saya di layar perak. Namun saya berdebar menantikan maklum balas daripada penonton,” katanya. Sementara Bront pula akui keserasian antara dia dan Daphne agak pantas dan mudah dibentuk, mungkin disebabkan mereka menjalani proses latihan terlebih dulu. “Cara paling berkesan untuk memastikan sesebuah filem itu hebat atau tidak adalah melalui pembacaan pertama skripnya. Selepas membaca skrip ketika sedang bercuti di Thailand tahun lalu, saya cuma membelek lima helai pertama, di tengah skrip dan kemudian di penghujung. Jelas Belukar memikat saya dan ada identiti tersendiri.

“Menariknya bukan hanya penonton tidak mampu meramal kesudahan filem ini malah segelintir pelakon malah saya sendiri tidak dapat mengagak babak mana yang dilakonkan tadi. Bukan kerana jalan cerita yang berkecamuk sebaliknya garapan pengarahnya,” kata Bront.

Selain Daphne dan Bront, filem yang akan ditayangkan mulai 6 Mei itu turut dibintangi Chew Kin Wah, Danny Anwa, Ahmad Tamimi Siregar, Azhar Sulaiman, Sabrina Hassan, Eyzendy Aziz, Ray Redzuan Awang, Linora Low, Xavier Fong, Azwan Kombos dan penampilan istimewa, Yazer Yusof dan Ekin Rahman AF.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Peserta Top Host 2010

Gambar Mas Idayu di Sidang Media Mentor