Hiburan Hujung Minggu : Filem Animasi Up Di TV2
Plot ceritanya yang ringkas tidak berfokus kepada elemen fantasi semata-mata, sebaliknya mesej serta pengajaran turut diselit sekali jadi penyebab utama kenapa anda mesti meluangkan masa menonton tayangan filem animasi Up disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melengkapkan hujung minggu anda pada 15 September 2012, jam 2.00 petang di TV2.
Mengisi slot Saturday Matinee yang tidak pernah menghampakan anda dengan filem-filem terbaik siarannya, sesuatu yang menarik, Up menonjolkan watak utama, terutama Carl, Russell dan Charles dengan baik sekali. Malah alih suara bagi ketiga-tiga watak yang didukung oleh Ed Asner, Christopher Plummer dan kanak-kanak berusia sembilan tahun, Jordan Nagai, digalas sempurna. Suara Ed Asner umpamanya mampu memberi impak, sekali gus membawa penonton untuk merasai segala emosi yang diterapkan menerusi watak Carl.
Garapan ceritanya mendapat pujian, selain aspek positif yang ditonjolkan mampu memberi kesan baik kepada penonton cilik.
Kronologinya berkisar pada impian sepasang kanak-kanak, Carl Fredricksen dan Ellie yang meminati bidang pengembaraan selain mengagumi pengembara terkenal, Charles Muntz. Setelah dewasa dan berkahwin, mereka memasang impian untuk mendirikan rumah di sebuah kawasan pergunungan air terjun, Paradise Falls. Ketika itu Carl sibuk bekerja sebagai penjual belon bagi mengumpul duit untuk merealisasikan impian itu.
Bagaimanapun, hayat Ellie tidak panjang dan Carl terpaksa hidup sendirian sehingga usianya mencecah 78 tahun. Pembangunan pesat memaksa Carl dipindahkan dari rumahnya, namun dia berkeras untuk mempertahankan.
Namun dengan impian yang belum terlaksana dan janjinya kepada Ellie, Carl mengambil keputusan untuk melarikan diri dengan menerbangkan rumahnya menggunakan belon. Ketika itu Carl ditemukan dengan kanak-kanak berusia lapan tahun, Russell yang juga meminati dunia pengembaraan.
Kongsikan babak-babak menarik ini hanya di TV2.