in

Filem 29 Februari Lakar Sejarah Tersendiri

“29 Februari”  Filem Stereoscopic 3D Pertama Malaysia

Sebagai peneraju penerbitan filem dengan penggunaan kesan khas (CGI), KRU Studios sekali lagi meneruskan tradisi untuk memberikan kelainan kepada peminat industri perfileman tempatan dengan filem Stereoscopic 3D (S3D) pertama Malaysia berjudul ”29 Februari”. Filem bergenre “biografi fantasi” ini diarahkan oleh Edry Abdul Halim – pemenang Pengarah Harapan FFM23 pada tahun 2010 serta pemenang Filem Terbaik FFM23 melalui filem “Magika”.

Filem 29 Februari

TGV Cinemas selaku operator pawagam terkemuka Malaysia mengambil kesempatan untuk memberikan sokongan penuh kepada penerbitan filem S3D pertama Malaysia dengan menyediakan previu eksklusif kepada pengikut filem tempatan. Sebagai misinya untuk sentiasa berjuang demi pembangunan arena perfileman tempatan, TGV Cinemas tidak melepaskan peluang ini untuk berganding bahu dengan KRU Studios untuk meletakkan filem ‘29 Februari’ dalam kalangan filem terbilang di persada tempatan dan antarabangsa.

Menurut Norman Abdul Halim selaku Eksekutif Presiden KRU Studios merangkap Penerbit Eksekutif filem 29 Februari “Pihak kami telah menjalankan kajian teknikal penerbitan didalam S3D ini sejak Januari 2011. Kebiasaannya, filem-filem sebegini hanya dihasilkan oleh studio-studio besar di Amerika Syarikat dan penghasilan filem “29 Februari” didalam format ini membuktikan sekali lagi kemampuan industri perfileman tempatan untuk bergerak ke hadapan sebaris dengan kemajuan teknologi diperingkat global. Dengan kos RM3.5juta (termasuk promosi), “29 Februari” bakal membuka lembaran baru industri perfileman kita di era digital.”

TGV Cinemas turut mendalami aspek penerbitan S3D dengan memperkenalkan sistem 3D X-Mirror yang membolehkan pengunjung pawagam melihat dan merasai penerbitan filem dalam S3D dengan lebih menyeluruh. Cermin mata X-Mirror yang hanya didapati di TGV Cinemas merupakan hasil kajian GXM Inc salah satu pakar dalam bidang 3D di Hollywood. Dengan adanya sistem 3D X-Mirror, penonton kini boleh melihat, merasa dan mengalami transformasi filem unjuran 3D dengan lebih efektif.

“TGV Cinemas menyedari akan pentingnya untuk terus berdaya saing dari segi teknologi untuk menyediakan pengalaman tontonan wayang gambar yang mantap kepada pengikut filem negara. Selain teknologi X-Mirror, TGV Cinemas terus menerajui industri pawagam Malaysia dengan menyediakan produk dan servis yang menarik, inovatif dan unik. Antaranya, sistem penyiaran digital IMAX, dewan wayang eksklusif TGV Club, ‘Beanieplex’ dan sebagainya. Seiring dengan perkembangan ini, saya yakin warga Malaysia dapat menyaksikan filem ‘29 Februari’ secara lebih menyeluruh dengan gandingan teknologi S3D dan X-Mirror, kata Kenny Wong, Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas Sdn Bhd.”

“Justifikasi penerbitan “29 Februari” didalam bentuk S3D bukanlah dari aspek teknikal semata-mata tetapi juga aspek naratif penceritaan yang menggambarkan bagaimana Budi (lakonan Remy Ishak) hanya dimakan usia dalam tempoh 4 tahun sekali. Ini membolehkan Budi melalui kehidupannya berlatar-belakangkan detik-detik bersejarah Malaysia semasa penjajahan British, penaklukan Jepun, Hari Kemerdekaan sehinggalah ke tahun 2012 dengan usia sebenar melebihi 100 tahun tetapi masih kelihatan berumur 20an. Dengan S3D, penonton boleh merasai pengalaman detik-detik tersebut dengan lebih mendalam dan digarapkan pula dengan lagu-lagu terbaru ciptaan saya.” ujar Edry Abdul Halim selaku pengarah filem “29 Februari”.

Keistimewaan filem ini bukan terletak kepada lakonan mantap para pelakon, teknologi S3D serta CGI semata-mata tetapi juga skor muzik, penataan bunyi serta muzik asal yang dinyanyikan oleh para pelakon sendiri. Ini termasuklah lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Remy Ishak seperti “Kelip-Kelip”, “Jagalah Diri” dan “Seperti Dulu”.

Selain dari format S3D, filem “29 Februari” turut juga akan ditayankan dalam format 35mm dan digital 2D serentak di 79 buah pawagam di seluruh Malaysia dan 2 buah pawagam di Brunei. Selain itu, “29 Februari” juga akan ditayangkan di 2 buah panggung di Singapura mulai 6hb September 2012.

Sebahagian kos penerbitan filem “29 Februari” juga dibiayai melalui Dana Kesan Khas (CGI) yang disediakan oleh FINAS. KRU Studios amat menghargai sumbangan ini sekaligus membuktikan komitmen konsisten Kerajaan untuk membangunkan industri perfileman Negara bukan dari aspek ekonomi semata-mata tetapi juga memperkayakan khazanah budaya dan bangsa Malaysia.

TGV Cinemas juga menyedari akan pentingnya sokongan pihak bukan kerajaan dalam menyumbang kepada pembagunan filem tempatan. Selain ‘29 Februari’, TGV Cinemas turut memainkan peranan dalam perkembangan filem-filem tempatan lain pada tahun ini.

Saksikan lakonan mantap Remy Ishak sebagai ‘Budi’, pencinta sepanjang zaman yang pasti memukau dan merintih hati setiap yang menonton “29 Februari” di pawagam mulai 30hb Ogos 2012. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.krustudios.com, Facebook www.facebook.com/29februari atau taip “29 Februari (Trailer) di You Tube. Link youtube http://www.youtube.com/watch?v=YfSCY4n-rtk

Sinopsis 29 Februari 

Mengisahkan kehidupan Budi yang dilahirkan pada tahun lompat 29 Februari 1896 dan hanya dimakan usia 4 tahun sekali. Keadaan fizikalnya yang kelihatan terbantut menyebabkan masyarakat menganggap “kecacatan” itu sebagai suatu sumpahan, sedangkan ianya suatu anugerah kepada Budi untuk melalui era transformasi Tanah Melayu, Malaya dan akhirnya Malaysia yang bebas merdeka.

Masa seolah tidak berganjak buat Budi, dan akibatnya dia sentiasa kehilangan orang yang tersayang. Beliau diasuh di sebuah rumah bakti bersama sahabat baiknya Razak, yang cacat penglihatan. Budi melalui perjalanan hidup berlatarbelakangkan detik-detik bersejarah Negara dan mula mengenali erti kebahagiaan apabila berkenalan dengan Lily.

Walaubagaimanapun, kisah percintaan Budi dan Lily melalui pelbagai cabaran dan cinta terlarang. Apakah satu-satunya cinta Budi akan kekal abadi, seiring dengan hayatnya yang tidak dimakan usia?

Pelakon Utama : Remy Ishak – Budi
Jojo Goh – Lily

Pelakon Pembantu :Izzue Islam – Razak
Fizz Fairuz – Johan
Dian P.Ramlee – Sakinah (Ibu Budi)
Riz Amin – Halim (bapa Budi – era British)
Ramli Hassan – Halim (bapa Budi – era Jepun)
Chew Kin Wah – Mr Ho (bapa Lily)
Teng Ti Chan – Mrs Ho (ibu Lily)
Jing Ling – Julie (adik Lily)
Muniff – Arif
Namron – Encik Salam W Hanafi W Su – Khalid
Johan Abdullah – Mr Johnson Khathir – Maniappan
Lakon Layar : Edry Abdul Halim & Amir Hafizi
Pengarah : Edry Abdul Halim
Penerbit : KRU Studios

Filem 29 Februari

Filem 29 Februari

Filem 29 Februari

Filem 29 Februari

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Lancar MAXIS CENTRE Terbaru Di KLIA

Shila Amzah Jawab Tuduhan Mempersendakan Hijab