Pelbagai aktiviti menarik bakal menanti pengunjung sepanjang tiga hari berlangsungnya Fiesta MED: Usahawan Wira Ekonomi pada 26, 27 dan 28 April ini.
Acara di MITC, Melaka itu menghidangkan pelbagai program yang boleh disertai oleh orang ramai secara percuma. Fiesta ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.
Program merangkumi aktiviti jualan, sukan, hiburan dan kemasyarakatan terbuka bukan sahaja kepada masyarakat di Melaka tetapi juga para pelancong.
Antara aktiviti utama adalah jualan barangan dengan harga murah dan patut oleh agensi kementerian berkenaan. Selain itu, Tekun pula akan menganjurkan jualan harga patut.
Bagi memberi lebih kemeriahan, pelbagai acara menarik turut dianjurkan dan menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada pemenang termasuk wang tunai.
Pada hari pertama, pertandingan Pidato Cilik dan persembahan pertandingan nasyid akan diadakan.
Acara ini terbuka kepada semua kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan isu yang bakal dikupas adalah berkaitan cabaran anak muda pada masa akan datang.
Manakala pada sebelah malam pula akan berlangsung ceramah agama oleh ustaz dan ustazah jemputan.
Acara pentas akan terus disemarakkan pada hari kedua fiesta. Awal pagi dimulakan dengan Fun Run Bank Rakyat @ Fiesta MED. Penyertaan terbuka kepada kepada umum dengan sasaran lebih 3,000 peserta untuk larian sepanjang 5 kilometer.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof akan hadir pada upacara pelepasan sekaligus merasmikan Fiesta MED 2019.
Kemudian beliau akan mengadakan lawatan ke Alor Gajah bagi program menyantuni rakyat. Beliau turut sudi meluangkan masa makan bersama masyarakat setempat dalam majlis jamuan rakyat.
Sementara itu di pentas utama Fiesat MED pula akan berlangsung pertandingan Battle Anak Muda yang mempertaruhkan bakat seni kumpulan muzik anak-anak muda.
Hadiah utama kepada kepada pertandingan ini ialah RM2,000 sebagai juara, RM1,500 (naib juara) dan ketiga (RM1000). Tujuh lagi kumpulan yang terpilih ke peringkat akhir turut menerima hadiah wang tunai.
Sebagai aktiviti selingan, orang ramai boleh mencuba nasib di pentas Karaoke Terbuka untuk penyertaan solo. Hadiah lumayan turut menanti peserta.
Kemuncak hari kedua fiesta, satu sesi borak santai bersama usahawan selebriti akan diadakan pada sebelah malam.
Antara artis yang bakal hadir adalah Datuk Dr Fazley Yaakob sebagai moderator, Datuk DJ Dave, Shima, Zamani Slam, Andi Bernadee, Nubhan, Fara Hazel dan Izzue Islam. Dua pengacara penuh humor, Roslan Shah dan Ani Maiyuni akan bertindak selaku pengacara.
Bukan sekadar berkongsi tentang perniagaan mereka, artis-artis ini akan turut menghiburkan pengunjung dengan lagu popular.
Pada hari ketiga, terus menanti pengunjung adalah pertandingan akhir Battle Anak Muda dan Karaoke Terbuka.
Selain itu, pengunjung berpeluang untuk beramah-mesra dengan selebriti popular tanah air yang hadir membuka gerai jualan.
Pertandingan Gadis Panca AGAPE juga akan mengambil bahagian pada hari ketiga. Pertandingan ini dianjurkan oleh akhbar Mingguan Malaysia melalui sisipan popularnya, Pancaindera.
Untuk penyertaan Gadis Panca AGAPE, orang ramai boleh membuat semakan dalam sisapan tersebut pada setiap Ahad.