Anak kelahiran Bandung, Indonesia berusia 39 tahun itu adalah simbol kreativiti pengkarya seni yang tulus dan jujur dalam berkarya, bahkan karisma yang dimilikinya meletakkan Fiersa dalam kelas tersendiri sebagai penghibur.
Menghargai perjalanan karier muziknya yang memberi inspirasi kepada ramai orang, Seraya Group berbesar hati membawakan konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober depan.
Kemunculan kedua Fiersa, selepas kejayaan penampilan sulungnya di pentas yang sama tahun lalu bakal membawa peminat mengembara ke sebuah persembahan yang sarat nuansa nostalgia dan apresiasi terhadap karya puitisnya.
Fiersa berkata, konsert tunggalnya itu akan membawa peminat mengimbau perjalanan karier seninya sepanjang 14 tahun menerusi pilihan lagu yang membantu memperkasakan namanya dalam industri muzik Nusantara.
“Ia termasuk lagu pilihan peminat yang jarang saya bawakan dalam persembahan pentas biasa, Curahan idea dan pembabitan semua dalam menjayakan konsert ini sangat memberi erti buat saya.
“Secara peribadi, konsert ini sudah lama saya dan mungkin juga anda semua nanti-nantikan. Bertahap, kita jadikan konsert ini sebagai perjalanan indah kita bersama,” katanya.
Untuk penampilan terbarunya di Zepp KL nanti, Fiersa tidak bersendirian, sebaliknya dia turut ditemani dua penyanyi muda berbakat besar yang sedang mencipta pengaruh tersendiri iaitu Feby Putri dan Aisha Retno.
“Kemunculan dua penyanyi hebat ini membangkitkan lagi keterujaan saya untuk beraksi di pentas Zepp KL nanti. Saya sudah tidak sabar lagi untuk berkongsi pentas dengan penyanyi berkarisma seperti Feby dan Aisha.
“Kembali ke Kuala Lumpur dan dapat berdiri di hadapan peminat adalah penghargaan terbesar buat saya. Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat memberikan saya inspirasi untuk mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan,” katanya bersemangat.
Dengan lontaran vokal yang sarat emosi dan jiwa, Fiersa bakal mengheret emosi penonton untuk ‘galau’ bersama dengan pilihan 18 lagu popular menerusi keunikan gabungan muzik pop indie, folk dan alternatif yang membentuk identiti nyanyiannya.
Pastinya himpunan lagu yang pernah mendaki carta popular seperti April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu, Fiersa bakal melarutkan emosi peminat dengan keindahan karya yang mempertahankan namanya sebagai pemuzik.
“Setiap lagu akan saya bawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur nanti membekas pengalaman bermakna buat peminat.
“Janji saya akan ada kejutan dan kelainan pada susunan muzik dalam beberapa lagu kegemaran ramai, namun jati diri Fiersa sebagai penyanyi dan pemuzik tidak sesekali dipinggirkan,” katanya.
Diskaun eksklusif
Sementara itu, Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri berkata, sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan peminat Fiersa, mereka menawarkan diskaun eksklusif 30% bagi pembelian tiket menerusi www.ticket2u.com.my.
Tiket boleh diperoleh pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk lapan orang).
“Peminat hanya perlu menggunakan kod promo: “FIERSALIVEINKL” ketika membuat pembelian menerusi ticket2u.com.my untuk menikmati diskaun 30% yang ditawarkan.
“Justeru, jangan lepaskan peluang hebat ini untuk menyaksikan persembahan Fiersa bersama Aisha dan Feby pada harga berhemat. Kami percaya kolaborasi istimewa ini menawarkan kembara pengalaman muzik melangkaui sempadan yang mempesonakan dan tidak terlupakan semua peminat,” katanya.
Layari Instagram Seraya Live (@serayalive) dan saluran media sosial rasmi Fiersa Besari untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur.
Mengenai Fiersa Besari:
Fiersa Besari adalah pemuzik dan penulis kelahiran Bandung, Indonesia pada 3 Mac 1984. Fiersa memulakan kerier muziknya pada 2009 sebagai vokalis untuk sebuah band indie.
Dia juga aktif merakamkan kerja muziknya hingga pada 2012, Fiersa melahirkan album sulung iaitu 11:11. Album lain yang dihasilkannya adalah Tempat Aku Pulang (2012), Konspirasi Alam Semesta (2015), Album 20:20 (2020) dan Berjalan Mundur (2022).
Keampuhannya sebagai pemuzik terbukti apabila Fiersa meraih penghargaan seperti Rookie Of The Year, IKAPI Awards pada 2019, Top Male Singer Of The Year (Billboard Indonesia Music Awards, 2022) dan Karya Produksi Folk/Country/Balada Terbaik, Anugerah Musik Indonesia menerusi lagu Runtuh, duet bersama Feby Putri pada 2022.
Kecenderungan terhadap muzik dan kecintaan terhadap sastera Indonesia, mendorong Fiersa menerbitkan enam buku antara 2016 dan 2019, selain dikenali sebagai antara pengasas komuniti Pencandu Buku.
Karya yang dihasilkannya turut meraih pelbagai kejayaan, malah memasuki senarai best seller. Enam buku yang dihasikannya adalah Garis Waktu, Konspirasi Alam Semesta, Catatan Juang, Arah Langkah, Album 11:11 dan Tapak Jejak.