Pelakon Fida Ibrahim akhirnya membuka mulut dengan menempelak produksi drama Kampungku dan Aidiladha sebagai tidak profesional sehingga memaksanya meninggalkan diri dari lokasi.
Menurut Fida, dia meninggalkan lokasi pada hari terakhir penggambaran selepas memikirkan banyak faktor dalam produksi termasuklah kecewa dengan lokasi, rombakan skrip dan keselamatan yang tidak terjamin.
“Jujur saya katakan saya tinggalkan lokasi penggambaran pada hari terakhir selepas diminta berbuat demikian oleh pengurus saya kerana merasakan permintaan tambahan pihak produksi terhadap adegan terakhir telefilem itu tidak munasabah.
“Bayangkanlah dalam adegan terakhir telefilem itu, pelakon diminta masuk ke dalam hutan iaitu sebuah kawasan yang baru diteroka. Ketika sampai di situ, saya mula bimbang akan keselamatan diri seperti faktor dipatuk ular dan sebagainya.
“Pemilihan lokasi dalam hutan untuk babak yang tidak sepatutnya itu menyebabkan saya nekad berbuat demikian kerana risau akan keselamatan diri saya.”
Pada hari Khamis lalu, portal Mstar melaporkan penerbit drama berkenaan iaitu Hazmimi Johar kesal dengan sikap pelakon itu yang telah menimbulkan masalah termasuklah meninggalkan set penggambaran di Baling, Kedah pada Ahad lalu. Hazmimi berkata, pelakon itu berbuat demikian gara-gara tidak berpuas hati dengan adegan akhir telefilem berkenaan apabila terdapat skrip yang dikatakan cuba menyindirnya. Dalam perkembangan sama, Fida berkata adalah tidak adil bagi pelakon sepertinya dilayan dengan buruk dan tidak profesional sedangkan dia cuba memberi komitmen sepenuhnya untuk menjayakan telefilem itu.
“Saya sedar akan perkara itu tetapi apa yang saya lakukan adalah untuk membetulkan masalah yang saya lihat terutamanya dari segi keselamatan para pelakon yang dipandang ringan terutamanya ketika di lokasi seperti dalam hutan yang mungkin mendatangkan bahaya kepada kami.
“Pun begitu, saya tidak pernah membuat kekecohan di set sebaliknya memberitahu apa yang tidak kena kepada pengurus saya bagi memberi ruang untuk dia berbincang dengan pengurus produksi mengenai masalah yang diutarakan.”
Tambah Fida, kebanyakan pelakon telefilem itu turut merungut mengenai pelbagai perubahan skrip dan lokasi pada saat-saat akhir namun tidak berani untuk bersuara. Ia termasuk soal bilik hotel yang tidak selesa diberikan kepadanya selain pindaan terhadap skrip yang berbeza daripada skrip asal. Sementara itu, Fida berkata, dia telah membuat laporan kepada Biro Aduan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengenai masalah tersebut bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku di antara mereka.
“Buat masa ini saya tidak mahu mengulas mengenai tindakan selanjutnya sebaliknya menyerahkan kepada pihak Seniman untuk membantu menyelesaikan masalah ini.”
Telefilem Kampungku dan Aidiladha diarahkan oleh Shuaimi Lua Abdullah dan diterbitkan oleh Langkah Karya Sdn Bhd untuk siaran bersempena Hari Raya Aidiladha di TV3.
Selain Fida, drama tersebut turut dilakonkan oleh Zalif Sidek, Razak Ahmad, Syafiq Kyle, Ameera Rusly dan Aidil Aziz. Sumber: Mstar Online